t>

Breaking News

Jawapan Untuk Najib Mengenai Kenaikan Harga Gula Untuk Kawal Diabetes - Fakta Dan Auta Yang Mesti Tahu.

Belanjawan 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Abdul Razak pada Jumaat baru-baru mendapat perhatian ramai dengan lima penekanan yang diberikan.

Antara yang menarik apabila PM mengumumkan penarikan subsidi gula RM0.34 yang menjadi langkah untuk mengurangkan penyakit diabetes yang dihidapi oleh ramai rakyat Malaysia.

Maka timbul persoalan, adakah ini kajian yang relevan atau andaian yang tidak berapa tepat? Sehubungan itu, kita perlu melihatnya dari sudut kajian, andaian dan hakikat.

(1)

 
KAJIAN: Bangsa India dan Melayu merupakan kaum paling tinggi menghidap diabetes, kemudian diikuti dengan Cina. Ini kerana makanan yang manis. Laporan tahun 2012 oleh Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional menyatakan, kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit diabetes.

ANDAIAN: Peningkatan harga gula dengan penarikan subsidi akan menyebabkan pengurangan gula dalam minuman dan makanan.

HAKIKAT: Makanan dan minuman tetap manis kerana sukatan gula tetap sama. Yang berbeza hanyalah harga makanan dan minuman yang lebih mahal kerana barangan asas harganya naik.

(2)

 
KAJIAN:Gula yang berlebihan merupakan faktor diabetes. Maka mengurangkan penggunaan gula mampu mengawal berlakunya diabetes.

ANDAIAN: Penarikan subsidi gula akan menyebabkan harga gula naik. Kesannya, mengurangkan penggunaan gula dengan mengurangkan pembelian gula.

HAKIKAT: Sukatan gula tetap sama dalam makanan dan minuman. Kenaikan harga gula hanya mempengaruhi harga jualan makanan dan minuman. Ini kerana gula merupakan barangan asas untuk makan dan minum.

(3)

 
KAJIAN: Harga mempengaruhi cara hidup rakyat. Seumpama kereta mewah dibeli oleh rakyat yang hidup mewah.

ANDAIAN: Kenaikan harga gula dengan penarikan subsidi mampu mengubah cara hidup rakyat dalam pemakanan. Ia menjadikan rakyat menggunakan gula pada kadar yang sedikit.

HAKIKAT: Gula merupakan barangan asas, tidak sama dengan barangan mewah atau perhiasan yang diguna oleh kelompok kaya sahaja. Gula diguna pakai oleh semua lapisan. Kenaikan harga gula hanya menambahkan perbelanjaan rakyat dan menjadi beban kerana ia bukan pilihan, tetapi barangan asas.

(4)

 
KAJIAN: Penarikan subsidi yang meningkatkan harga gula merupakan langkah kerajaan untuk mengawal penggunaan gula. Sebagaimana juga kenaikan harga rokok bagi mengawal kegiatan perokok agar tidak kuat merokok.

ANDAIAN: Harga yang tinggi menjadi pembelian berkurangan sekali gus mengawal penggunaan gula agar tidak berlebihan.

HAKIKAT: Gula digunakan oleh semua lapisan tidak seperti rokok. Merokok sememangnya memberikan kesan buruk manakala gula apabila berlebihan baru memberikan kesan buruk. Maka kawalan penggunaan gula dan rokok dengan kenaikan harga tidak sama kesannya.

Pemerhatian menunjukkan penarikan subsidi gula bagi mengawal penggunaan gula untuk menyelesaikan masalah diabetes tidak berapa tepat. 

Solusi yang terbaik ialah:

(1) Kerajaan dan pihak berwajib memperkasakan kempen pemakanan yang sihat. Ini kerana penggunaan gula berkait rapat dengan cara masakan dan pemakanan.

(2) Memberikan subsidi atau apa jua suntikan kerajaan ke atas barangan asas alternatif untuk kesihatan seperti minyak zaitun untuk memasak, gula perang dan gula stevia. Ini agar harga tidak lebih mahal dari barangan asas yang lain. 


MUHAMAD ZUHAILI SAIMAN graduan Universiti al-Azhar 2010 dalam bidang syariah.