Pengarang Suara Keadilan Di Arah Beri Penjelasan Kerana Artikel Hishammuddin Rais Yang Mengkritik Pemimpin PKR..
Hishammudin Rais kan aktivis pro rakyat yang pro kepada PKR? Takan la kerana kritikan dia yang bersifat terbuka dan menyuarakan apa yang dia rasa ada sesetengah pihak meminta penjelasan kenapa menyiarkan artikel tersebut melalui Suara Keadilan?
PKR bukan memperjuangkan kebebasan media ka?
Ini apa hal pula baru kena kritik sikit terus nak minta penjelasan?
Hehe..
PKR yang seringkali memperjuangkan kebebasan media dikatakan mengeluarkan arahan meminta akhbar rasmi mereka, Suara Keadilan untuk memberi penjelasan berhubung penyiaran artikel kolumnis, Hishamuddin Rais bertajuk "Khalid dan Azmin" kerana dikatakan memfitnah timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali.
Menurut satu sumber, arahan itu dikeluarkan minggu lalu secara lisan kepada pengarang Suara Keadilan, tanpa menyatakan tarikh berbuat demikian.
"Seseorang daripada pemimpin PKR tidak berapa senang dengan tulisan artikel tersebut kerana dikatakan mengkritik kepimpinan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali secara keterlaluan, tambahan pula ia disiarkan di akhbar rasmi parti sendiri. Kerana itu mereka meminta penjelasan bagaimana artikel itu dilepaskan untuk disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur semalam.
"Tidak ada penarikan, saya tidak dengar mengenai itu, Suara Keadilan hanya diminta beri penjelasan dan ia disampaikan melalui komunikasi tertentu, tiada surat atau apapun," katanya.
Artikel "Khalid dan Azmin" ditulis Hishamuddin dan disiarkan dalam ruangan kolumnis Suara Keadilan bilangan 160 pada 11 Februari lalu, dan turut disiarkan di portal berita Malaysiakini.
Artikel tersebut menganalisis dan menerangkan kemelut yang melanda antara Azmin dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam artikel itu, Hishamuddin menyifatkan Azmin masih mempunyai unsur dan ideologi Umno dan kurang disenangi parti komponen Pakatan Rakyat (PR) lain seperti PAS dan DAP.
"Mungkin PAS dan DAP juga menyedari dan terpengaruh apabila mengetahui bahawa sosok yang bernama Azmin Ali ini tidak diminati ramai dalam PKR sendiri. Azmin Ali disurahkan sebagai pemilik DNA United Malays National Organisation. Azmin disurahkan sebagai sedang membawa budaya gerombolan ‘lanun Melayu’ ke dalam badan politik PKR," tulis artikel tersebut.
"Jika ini hujahnya - sayugia diingatkan bahawa bukan Azmin Ali seorang sahaja yang memiliki DNA gerombolan Ketuanan Melayu. Ramai pemimpin tertinggi PKR memiliki DNA yang sama. Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution, Johari Andul, Rahim Ghause – adalah watak-watak yang dikenali umum yang memiliki DNA United Malaya National Organisation. Jangan kita lupa bahawa Khalid Ibrahim juga adalah DNA ‘budak ekonomi’ United Malays National Organisation. DNA inilah yang membolehkan si Khalid ini menjadi kaya raya malah berupaya untuk berhutang berjuta ringgit," tulis Hishamuddin dalam artikel tersebut.
Hishamuddin ketika diminta mengulas tulisan itu, menegaskan beliau mengeluarkan pandangan secara peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak.
"Memang saya bertanggungjawab 100% setiap tulisan saya, namun selepas ia disiarkan, sahih atau tidak itu terpulang kepada pembaca untuk menilai, sekiranya mereka merasakan sebegitu, maka ia diluar kemampuan saya," katanya kepada The Malaysian Insider.
Menurut Hishamuddin, beliau mengamalkan kewartawanan Gonzo dalam penulisannya.
"Saya tidak kata siapa-siapa, siapa yang terberak dialah yang terbau kentot," katanya.
Kewartawanan Gonzo merujuk kepada gaya kewartawanan yang ditulis tanpa tuntutan objektiviti sebagaimana laporan di mana seseorang wartawan juga dimasukkan sama.
Perkataan "Gonzo" mula digunakan pada tahun 1970 untuk menggambarkan satu artikel yang ditulis oleh Hunter S Thompson. Kemudian ianya menjadi pop.
Istilah 'gonzo' telah ditakrifkan dalam kesusasteraan akademik sebagai cara dan bentuk penulisan yang bertenaga di mana penulis juga menjadi protagonis.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menafikan parti itu ada mengeluarkan arahan penarikan atau meminta Suara Keadilan memberi penjelasan berhubung penyiaran artikel tersebut, bagaimanapun mengakui isu tersebut ada dibincangkan.
"PKR tidak langsung mengeluarkan sebarang arahan meminta Suara Keadilan menarik kembali artikel atau memberi penjelasan, tambahan pula isu berkenaan kini masih lagi berada di tahap perbincangan," katanya.
Beliau juga menegaskan pihak parti memahami dan menyokong kebebasan media, kerana itu memutuskan Suara Keadilan bergerak bebas biarpun dikenali sebagai lidah rasmi parti.
"Isunya di sini apabila terdapat sesetengah pemimpin yang namanya dikaitkan dalam artikel tersebut menyuarakan hal itu, bagaimanapun parti masih tidak memutuskan apa-apa lagi, dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik malam ini," katanya. -TMI-