Pasangan Malaysia Di Sweden Didapati Bersalah Memukul Anak2.
Tindakan memukul kanak2 bukan merupakan satu jenayah selagi mana ia tidak melibatkan kecederaan. Kalau kanak2 dipukul secara berterusan dan meninggalkan parut2 luka ia juga merupakan satu jenayah kat negara neh. Penderaan. Fizikal dan mental.
Mungkin penderaan yang dialami oleh anak2 pasangan ini lebih kepada penderaan mental berbanding penderaan fizikal.
Tak siapa tahu.
Tapi boleh jadi juga anak2 pasangan ini keliru. Yelah, ko hidup kat negara yang mana mak bapak dilarang memukul anak2 tetapi ko sendiri kena pukul. Mesti ko rasa sesuatu. Orang kata dipengaruhi.
Apa pun diharapkan mereka semua dapat bersatu kembali sebagai sebuah keluarga. Harap2 mak dan bapak dia tak la mengalami tekanan perasaan selepas semua neh berlalu. Kot2 lepas neh mereka rasa seram ke nak marahkan anak2 sendiri. Tak pasal2 kena penjara.
Huhu..
Baca ;
Pasangan Malaysia, Azizul Raheem Awaludin, 38, dan isteri, Shalwati Nor Shal, 46, yang didakwa mendera anak-anak mereka di Stockholm, Sweden pada Februari lalu masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 10 dan 14 bulan oleh Mahkamah Daerah Solna hari ini.
Mahkamah juga memerintahkan Shalwati dan Azizul Raheem masing-masing membayar ganti rugi 67,200 SEK (RM33,900) dan 36,400 SEK (RM18,362) kepada empat anak mereka. Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat mengesahkan keputusan itu berdasarkan kenyataan penghakiman mahkamah berkenaan yang diserahkan kepada wakil misi khas SukaGuam di Stockholm.
Menurut kenyataan penghakiman itu, Azizul Raheem didapati bersalah atas pertuduhan mencabul integriti anak lelaki mereka, Ammar, 13, serta mendera Aishah, 15, dan Adam, 12. Bagaimanapun Azizul Raheem bebas daripada sebarang pertuduhan melakukan kesalahan terhadap anak bongsu mereka, Arif yang berusia lapan tahun.
Sementara itu, Shalwati pula didapati bersalah kerana mencabul integriti Aishah dan Ammar serta mendera dua lagi anak mereka. Selain itu, pasangan tersebut diarahkan membayar pampasan kepada kanak-kanak terlibat bagi kesalahan yang diputuskan mahkamah berkenaan.
Menurut hujah penghakiman yang dibentangkan oleh Hakim Mattias Moller, mahkamah mendapati keterangan yang diberikan keempat-empat anak pasangan itu sebelum ini mempunyai kredibiliti.
Jelas Moller dalam keputusan itu, tiada sebarang hujah tepat bagi menyokong idea bahawa kanak-kanak tersebut mahu menjejaskan ibu bapa mereka dengan memberi maklumat tidak benar kepada pihak polis berhubung tindakan pasangan itu. "Walaupun tiada bukti sokongan melalui bentuk pemerhatian perubatan, butir-butir yang diberi kanak-kanak itu adalah disahkan termasuk dengan keterangan oleh saksi mengenai apa yang dirahsiakan kanak-kanak itu," katanya.
Menurut Moller, walaupun kekasaran yang dilakukan terhadap kanak-kanak itu bersifat kecil, kesalahan tersebut diputuskan mahkamah sebagai satu pencabulan serius terhadap integriti mereka yang melibatkan keganasan berulang dan sistematik.
Agensi berita AFP melaporkan, Moeller memberitahu agensi berita TT: "Kami telah menganalisis beberapa video rakaman temu bual antara pihak polis dengan kanak-kanak itu selama 30 jam. Ia memberikan satu gambaran yang sangat kuat."
Kes itu telah mengejutkan beberapa pakar hak asasi kanak-kanak di Sweden dan mencetuskan kemarahan penduduk di Malaysia yang mana tindakan memukul kanak-kanak bukan satu jenayah. Sweden merupakan negara pertama di dunia yang mengharamkan tindakan memukul kanak-kanak pada 1979 dan kemudian tindakan itu turut diikuti 36 negara lain.
Sementara itu, Khairul Anwar memaklumkan pasangan tersebut kini dalam rayuan bagi meringankan hukuman. Kata Khairul Anwar, Shalwati mungkin hanya perlu menjalani hukuman penjara selama tujuh bulan sementara suaminya pula hanya berhadapan dengan penjara selama tiga bulan.
Pada 10 Februari lalu, Azizul Raheem dan Shalwati didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka. Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di Spanga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember tahun lalu.
Perbicaraan di mahkamah itu bermula pada 18 Februari dan berakhir pada 14 Mac lalu. Berikutan penahanan pasangan itu, empat anak mereka diletakkan di bawah jagaan sementara keluarga angkat bukan Islam di Sweden sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Kini, keempat-empat anak pasangan itu diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka di Wakaf Tok Wali, Melor, Kelantan. -UM-