t>

Breaking News

Lagi Perkampungan Warisan Digadai Kepada Pemaju - Apa Kata DAP?

Takde sorang pun komen. Walaupun satu.

Kenapa?

Sebab DAP kah?

HAHAHAAH..

Oke. Malas nak tuduh2. Baca dulu. Dan DAP perlu tampil membuat penjelasan. 


Lebih 50 penduduk dan pemilik premis perniagaan di Kampung Siam, Pulau Tikus kini hidup dalam keadaan tertekan apabila tanah yang mereka duduki dipercayai dijual untuk tujuan pembangunan.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Siam Pulau Pinang, Boon Leua Aroonratana, 56, berkata, mereka difahamkan tanah itu dijual kepada pemaju oleh pemegang amanah yang menyimpan geran tanah berkenaan.

“Kampung ini adalah warisan daripada nenek moyang kami lagi. Dianggarkan ia berusia lebih 200 tahun dan telah didiami enam generasi termasuk saya. Sepanjang tinggal di sini, tidak pernah berlaku kes seperti ini namun sejak terima notis pertama iaitu
pada April lalu serta notis pengosongan awal bulan ini, ia amat meresahkan kami. Mereka bagi tempoh hanya dua minggu.

“Apa yang lebih mengecewakan, penjualan tanah ini langsung tidak dimaklumkan kepada kami. Kami difahamkan, ia berlaku di antara antara pemegang amanah dan pemaju. Sebagai penduduk, kami kesal dengan sikap yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya kepada media semalam.

Boon berkata, perkara itu dilihat semakin rumit selepas identiti pemegang amanah tidak dapat dikenal pasti kerana ia dipercayai beberapa kali bertukar tangan.

“Tanah ini telah diberi milik Syarikat Hindia Timur British kepada empat individu awal keturunan Siam dan Burma di kawasan ini pada tahun 1845 untuk kepentingan generasi keturunan kami. Semua penduduk di sini pelik apabila kami, termasuk pemilik premis perniagaan diberi notis pengosongan itu. Kami tidak pernah tahu hal penjualan, tiba-tiba kena keluar.

“Apa yang lebih menghairankan, sejak dahulu lagi, tanah ini hanya satu lot iaitu satu geran tetapi apabila terima notis dari peguam pemaju, kami difahamkan bahawa tanah ini dibahagikan kepada dua lot. Kami nak tahu, bagaimana pula ia boleh terbahagi kepada dua?,” katanya.

Peniaga, Noor Jahan Shamshudeen, 48, berkata, jika gerainya yang berusia lebih 70 tahun itu dirobohkan, dia akan hilang mata pencarian untuk menyara keluarganya.

Menurutnya, dia kini hidup dalam keresahan kerana bimbang gerainya akan dirobohkan untuk tujuan pembinaan hotel.
“Saya sedih dan kesal dengan keadaan sekarang. Jika benar tanah ini dijual, di mana saya nak cari rezeki? Ini saja punca pencarian saya. Saya sangat bimbang sekarang ini.

“Walaupun pihak pemaju ada menawarkan pampasan sebanyak RM30,000, tetapi itu bukan isu sebenar. Apa yang kami minta, kami tidak mahu keluar. Kami nak berniaga dan tinggal di sini,” katanya.

Sebelum itu, kesemua penduduk kampung itu mengadakan protes aman bagi membantah tindakan sebuah syarikat pemaju yang mahukan mereka mengosongkan kediaman dan premis perniagaan masing-masing bagi tujuan komersial.

Janji Adun

Perhimpunan itu turut disertai Adun Pulau Tikus, Yap Soo Huey yang berjanji akan menyelesaikan perkara itu dengan baik.

Soo Huey berkata, beliau ada membantu untuk berunding dengan peguam yang mewakili pemaju melalui peguam yang dilantik penduduk.

“Sejak Julai lalu, penduduk sudah melantik peguam untuk menyelesaikan masalah ini. Buat masa ini, kita masih di peringkat rundingan dan saya akan berusaha sedaya upaya untuk menuruti kemahuan penduduk iaitu kekal di sini.

“Bagi pihak saya, saya juga tidak setuju dengan pembinaan hotel di sini kerana ia akan melibatkan banyak premis perniagaan. Di mana mereka mahu menjalankan perniagaan jika semua premis mereka dirobohkan untuk membina hotel?” katanya.


Menjadi tanda tanya

Sementara itu, bagi penduduk Noo Wan @ Wan Dee Aroonratana, 90, penduduk tidak sekali-kali menghalang pembangunan tetapi pelik bagaimana tanah mereka boleh diasingkan daripada keseluruhan tanah yang telah diberi milik oleh British sejak dahulu lagi.

“Kami mahu tahu bagaimana urusan pembahagian tanah ini dilakukan. Adakah ia mengikut prosedur kerana jelas perkara ini tidak mengambil kepentingan kami yang telah mendiami kawasan ini sejak lama dahulu.

”Saya sedih dengan apa yang berlaku kerana kampung ini adalah kawasan kehidupan saya sejak dilahirkan.

“Saya dilahir dan dibesarkan di sini tetapi kini diminta pindah, ke mana saya mahu pergi sedangkan sepanjang 90 tahun inilah tempat saya. Diharap pihak-pihak terlibat terutamanya mereka yang mempunyai kuasa dapat membantu dalam menyelesaikan kemelut perkampungan kami ini kerana di sinilah tempat kami,” katanya.