t>

Breaking News

10 Catatan Doktor Ketika Berhadapan Banjir YG Anda Mesti Baca - Hold Helikopter Utk VVIP Berbanding Mangsa Antara Pengalaman YG Dikongsikan.


Kawasan klinik saya di Badang dan PCB telah putus hubungan darat. Air melimpah dengan deras di segenap penjuru sungai kelantan dan anak-anak kecilnya ke setiap inci permukaan bumi di sini.
Tadi kami sempat menghantar pesakit recurrent pleural effusion ke HRPZ dengan mengharungi banjir dan sungai deras menggunakan Land Rover usang. Mujur ada trak ni. Jika dengan ambulans klinik mungkin kami dh hanyut atau terkandas di tengah banjir.
Bekalan elektrik telah terputus di beberapa kawasan terutama di Kuala Besar. Yang menakutkan air dah merentasi jalan tinggi ke kawasan sebelah di kuala besar. Rumah penduduk yang tinggi seakan-akan berada di tanah akibat air naik mendadak malahan ada yang dah mencecah bumbung. Runsing jika ada penduduk yang lena dibuai mimpi sedangkan rumahnya hampir dihanyut banjir.
Paras sungai kelantan dah capai 6.6m (Bahaya: 5m) manakala khabarnya benteng terakhir kota bharu iaitu kunci air Sungai Budur telah dibuka akibat paras sungai yang terlalu tinggi memburukkan lagi situasi kami.
Saya berdoa agar tiada kes antenatal yang in labour atau kes kecemasan lain. Saya juga merayu semua pihak untuk prihatin terhadap mangsa banjir dengan menderma dan terus berdoa agar kami terselamat daripada musibah yang lebih besar.
Kerjasama dan keprihatinan anda, kami dahului dengan ucapan jutaan terima kasih.
Laporan lain akan menyusul esok.
Yang Benar,
Dr Afiq Rahim, DAR
Pegawai Perubatan KK Badang

Diari Krismas 25/12/14
Catatan kedua. 
==================

Jam 8 pagi kring, kring, kring......

Saya menerima panggilan kecemasan daripada MA Shakri. Klinik kami bagai ribut pabila sang manusia berpusu mendapatkan rawatan.

Jangkaan kami juga tepat. Air bah telah menenggelamkan hampir 70% daratan di Badang. Kini air bah dengan laju menuruni jalan memasuki klinik kesihatan badang dan kawasan keseluruhan kami bakal ditenggelami 90% pabila air laut pula pasang malam ini. Kota Bharu telah lumpuh sepenuhnya.

Pagi tadi sempat menghubungi ayah bonda bertanya khabar. Mudah-mudahan berkat doa ibubapa mampu menyelamatkan kami daripada musibah lebih besar. Kelmarin juga menghubungi isteri menceritakan detik cemas hendak ke klinik kami malam tadi. (Isteri telah selamat bersama anak-anak dipindahkan ke rumah mertua di Semerak minggu sebelum ini)

Isteri bertanya mengapa saya tidak menyelamatkan diri ketika peluang ada. Saya berkata tugas saya bukan hanya menyelamatkan diri tetapi yang lebih penting menyelamatkan orang lain kerna itulah cita-cita saya. Moto KKM - 'Kami sedia membantu' adalah aspirasi saya.

Pagi, kami ke pusat pemindahan banjir untuk lawatan kesihatan. Mangsa semakin meningkat seiring dengan paras air di sungai kelantan - 6.84M kini (Bahaya - 5m). Pusat pemindahan di SK Kedai Buloh pula telah dinaiki air paras lutut dan mangsa terpaksa dipindahkan ke tingkat 1 sekolah. Mangsa banjir di Badang telah mencecah hampir 1000 orang tetapi pasukan saya hanya enam orang terus setia memberi rawatan. Kami merawat mana yang mampu.

Ada mangsa yang baru berhijrah sambil membawa anak kecil dan menjinjing barang umpama pelarian perang namun hajat mereka tidak dapat dilunaskan kerana kepadatan pusat pemindahan sedia ada. Mereka terpaksa ditempatkan di kawasan lain yang lebih jauh.

Masalah utama di pusat pemindahan adalah keperluan bantal, selimut, tikar dan makanan yang kekurangan. Pihak MKN mengatakan keperluan mencukupi tetapi di mana barang-barang tersebut? Bagai jatuh ditimpa tangga, trak yang membawa muatan bantuan ubat-ubatan dan diesel pula terjatuh lubang di Kg Pauh Binjai. Kini bantuan hampir 5 jam masih belum kesampaian. Stok ubat-ubatan di klinik digunakan semaksimanya. Ada pesakit yang perlu menjalani dialisis tidak dapat dihantar kerana tiada pengangkuatan yang sesuai kerana arus semakin deras.

Seorang bayi berusia tujuh hari saya syaki mengalami severe jaundice pabila paras kuningnya telah sampai ke perut dan peha atas. Saya menghubungi pihak NICU HRPZ untuk konsultasi, mereka memohon maaf tidak dapat berbuat apa-apa melainkan meminta ibu meneruskan breastfeeding kerana mereka juga kekurangan fasiliti pabila wad mereka dipindahkan. Kami hanya mampu berserah kepada tuhan untuk pesakit kronik dan kritikal.

Keadaan dijangka parah menjelang malam nanti apabila hampir semua jalan darat digenangi air dan fenomena air pasang memburukkan keadaan lagi. Bekalan air bersih seperti telah terputus. Hanya bekalan elektrik masih ada di sini, itupun jika keadaan parah maka nasib kami akan seperti Kuala Krai - bergelap tanpa cahaya bulan.

Saya merayu anda untuk teruskan menyumbang ke mana-mana tabung banjir pantai timur. Juga titipkan doa agar kami selamat dan tabah mengharungi musibah yang Maha Esa.
Oh ya, saya ingin mengucapkan selamat bercuti kepada perdana menteri kita di Hawaii sementara cuti kami semua telah dibekukan dan berkorban nyawa demi rakyat tercinta.
Ikhlas, 
 
Dr Afiq Rahim - DAR
Pegawai perubatan Badang yang hampir 'Burnout'.


Malam Krismas 25/12/14
Catatan ketiga
====================
Ketika penganut beragama Kristian dan penduduk Malaysia lain menyambut hari lebaran mereka, kami di Kelantan terus berbukam. Usai Solat Maghrib di masjid, saya berjalan longlai meredah banjir ke klinik. Tiba-tiba kelibat land rover klinik menyapa saya terus ke pintu kecemasan.

'Ah kes apa pula waktu maghrib begini' bisik hati.

"Doktor kes MVA with LOC!" kata MA saya ibarat menjawab bisikan hati ini.

Terus saya bergegas masuk ke klinik sambil hati berasa sangat tidak sedap.

Allah, ujian apa buat saya kali ini?

Saya diuji dengan kes MVA/accident melibatkan dua orang lelaki yang kedua-duanya mengalami LOC/pengsan dan amnesia/hilang ingatan.

Kami terus melakukan resusitasi. Kedua-dua mengalami kecederaan serius di kepala sehingga tulang juga kelihatan pada luka mereka. Kedua-dua GCS masih bagus tapi poor oreintation. Saya menyimpulkan kedua-duanya kemungkinan ICB / pendarahan otak dengan retak tulang kepala.

Saya segera menghubungi bilik gerakan banjir dan hospital. Kedua-duanya buntu. Buntu kerana bagaiman kami ingin membawa keluar pesakit daripada Badang. Kesemua jalan darat kami telah putus hubungan dan trak tentera yang kami harapkan akan tiba bersama bekalan berpatah balik setelah hampir tenggelam.

Saya tidak berputus asa lantas menghubungi sendiri pihak tentera darat. Mereka memaklumkan bahawa Badang tiada jalan lain yang boleh dilalui kerana air naik mendadak dengan arus deras. Begitu juga bot. Yang ada mungkin udara.

Saya hubungi pula tentera udara memohon bantuan helikopter. Pesakit semakin tenat. Mereka meminta 10 minit untuk berbincang dan mencari alternatif lain.

Kring....kring...kring telefon yang ditunggu dengan harapan menggunung ahli keluarga mangsa dan pihak perubatan saya jawab.

"Maaf doktor, helikopter kami semua telah dikerahkan ke Kuala Krai. Mohon doktor dan semua pihak bersabar kerana kami juga telah mengesahkan, tiada cara lain untuk membawa pesakit ke hospital daripads Badang" kata pegawai tentera.

Luluh hati saya mendengar jawapan itu. Dengan perasaan sedih saya terpaksa menyampaikan berita buruk itu kepada pasukan dan keluarga mangsa. Kami kini bertahan dengan hanya satu tangki oksigen sehingga esok pagi. Kk Badang diisytiharkan hospital sementara oleh saya. Jika terpaksa, maka saya akan melakukan intubasi dengan kadar oksigen yang sedikit dan tanpa sedatif pabila GCS pt drop hingga 8.

Saya meminta ahli keluarga untuk mula berkumpul dan membaca doa. Mudah-mudahan ajal mereka berdua masih panjang.Kami akan bergilir-gilir memantau pesakit. Luka yang besar kami jahit agar pendarahan berhenti.

Ketika hati baru ingin berdoa agar tidak ada lagi ujian buat pasukan saya, tiba-tiba saya terima panggilan daripada pusat pemindahan.

"Doktor ada bayi 2 bulan macam nyawa-nyawa ikan"

Saya tersentak dan tergamam....

Bersambung....

Dr Afiq Rahim

Christmas Midnight Show
Catatan keempat
=====================

Sambungan,

Saya tergamam dan tersentak mendengar. Anak kecil di kem pemindahan dalam keadaan tenat. Mereka mahu berpindah dengan trak tentera ke hospital berdekatan.

Saya menghalang.

Tidak akan ada satu pun kenderaan yang dapat masuk ke Badang. Inikan pula untuk keluar. Sahabat saya yang membawa bantuan bersama trak tentera yang terkandas tadi memberitahu bahawa trak itu bukan berpatah balik tetapi tenggelam ke perut bumi akibat arus deras. Mereka berpatah balik dengan bot. Innalillah....

Badang adalah ground zero!

Saya tidak mahu memperjudikan trak tentera sedia ada. Kami sangat-sangat memerlukannya kerana paras air semakin menjalar ke atas kaki kami. Anak kecil itu dibawa ke klinik saya. Rupa-rupanya anak kecil itu terkena sawan sebanyak 2x. Untuk bayi sekecil dan semuda 2 bulan ini hanya tepid sponging yang mampu kami offer. Baby ni kelihatan slightly dehydrated. Paru-parunya juga kedengaran crepitation. Dengan venous line sehalus rambut, saya gagal memberikan IV drips kepada anak tersebut selepas tiga cubaan.

Selang sejam anak itu kembali mendapat sawan. Selepas seminit saya bersedia untuk memberi PR diazepam. Kemudian sawannya kebah kembali. Ya Allah....kasihanilah anak ini. Saya terpaksa menyampaikan berita buruk kepada pasangan muda. Saya mahu mereka bersedia jika Allah ingin mengambil anak kecil itu.

Sama juga seperti pesakit MVA saya, saya titipkan pesanan kepada mereka utk terus berdoa dan menghubungi ahli keluarga lain. Pesakit MVA kami kini menunjukkan prognosis berbeza. Ada yang semakin sedar dan ada juga semakin tenat. Yang sedar saya khuatiri akan simptom lucid interval. Yang tenat, saya risau akan pergi dalam hembusan nafas tidur yang terakhir.

Saya keluar daripada hiruk pikuk di zon kecemasan klinik memerhatikan situasi kami. Seperti dijangka air pasang menyukarkan keadaan kami.

Jam 1130 malam, "Doktor, ada pesakit nak beranak!".

Allah, ujian lagi.

Bilik doktor saya ubahsuai menjadi labour room. Kami terputus bekalan air. Mujur kami mempunyai beberapa tong air mineral. Pesakit muda anak pertama. Selepas melakukan pemeriksaan, pesakit dalam keadaan early labour. Kini, saya sedang menunggu ibu muda melahirkan anak sulungnya, seorang bayi yang tenat bersama dua pesakit yang disyaki ICB.

Saya perlu berehat kerana saya hanya tidur 3 jam sejak semalam. Badan sudah terasa sengal dan mata sudah layu tapi otak masih memutarkan pengalaman sedih tadi.

Semasa di tikar sejadah, saya merayu kepada tuhan agar diringankan ujian kami dan diberi kekuatan kepada semua mangsa banjir. Air mata jantan mengalir deras. Adakah kami akan turut tenggelam dan meninggalkan dunia yang fana? Hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Oh ye, ada yang berkata dalam keadaan sibuk masih sempat berkongsi cerita. Saya terpaksa. Jika tidak anda di luar tidak akan tahu situasi kami kerana wartawan pun tidak mampu meredah banjir dan membahayakan nyawa hanya untuk secebis berita biasa.

Juga, jangan lupa untuk kongsikan kisah ini kepada pihak atasan agar keluhan dan rintihan kami mangsa banjir dapat terus didengari. Teruskan menderma.

Selamat Malam Dunia Bawah Air.
Ikhlas,
Dr Afiq Rahim- DAR

Mentari yang suram
26/12/14 - 1630H
Catatan ke-5
================

Alhamdulillah malam dingin berlalu sepi. Tiada ujian baru. Hanya saya tidak lena tidur takut ibu mengandung mengalami komplikasi melahirkan anak manakala anak kecil pergi menemui Rab-Nya.

Mentari muncul daripada ufuk timur sekaan gagal memberi sinar harapan kepada kami di Kelantan. Air mengalir deras ke segenap daerah di sepanjang sungai. Jika dahulu ada pihak berani mendabik dada rumahnya takkan dinaiki air, kini menggigil kesejukan menunggu bantuan penyelamat. Pagi ini saya dihujani panggilan daripada serata pelusuk dunia. Daripada penolong pengarah hingga ke keluarga. Terima kasih kepada mereka yang prihatin kepada situasi kami.

Situasi banjir di Badang semakin parah. Di kawasan hospital 'darurat dan daif' Badang, air naik melebihi paras lutut dan terus meningkat. Mujur klinik kami telah ditinggikan selepas bencana banjir 2004 namun di sebelah bahagian ibu anak telah selamat ditenggelami air.

Situasi mangsa banjir juga bertambah parah. 2 pusat baru dibuka menjadikan 5 pusat pemindahan di sini dengan jumlah mangsa mencecah 3500 orang. Di Kem Kijang dan SK kedai Buloh 1 air telah naik sedikit demi sedikit sehingga ada mangsa dipindahkan. Dari satu pusat ke satu pusat mangsa banjir berhijrah menyelamatkan diri.

Masih ramai lagi mangsa yang belum diselamatkan. Bot penyelamat terakhir kami di sini akhir terbalik ditepis arus deras. Dengan ini tiada lagi bantuan menyelamat di kawasan kampung yang sukar dimasuki trak tentera. Hanya Allah mampu menyelamatkan mereka.

Bekalan makanan dan air bersih amat terhad. Elektrik masih belum dipotong tetapi khabarnya malam ini kami akan bergelap. Penyakit bawaan air telah mula menyerang seperti food poisoning dll. Pusat pemindahan seperti kem pelarian. Mereka tetap juga lemas tetapi di dalam kesesakan manusia.

Pesakit kritikal saya kini bertambah kepada 5 orang. Pagi tadi seorang budak 3 tahun mendapat lelah akibat jangkitan kuman dan keadaan lemah walaupun selepas 2 nebs and IV hydrocort. Seorang lagi juga pesakit seorang budak dengan diagnosis denggi berdarah in decompensated shock dalam fasa kritikal. Kedua-duanya dapat diresusitasi dengan jayanya. Namun mereka perlu pengawasan berterusan di hospital.

Pasti ramai yang tertanya-tanya keadaan anak kecil itu. Alhamdulillah berkat doa kalian, bayi itu masih hidup. Begitu juga pesakit kemalangan saya yang mana kedua-dua telah sedarkan diri dan dalam keadaan stabil.

Harapan baru yang kelam kini muncul kembali. Trak bantuan tentera tiba pagi ini membawa bekalan kepada kami. Pihak tentera juga bersetuju untuk membawa pesakit saya keluar untuk dirujuk ke hospital. Berita baik buat kami dan seluruh Malaysia yang mengikuti diari banjir di Bandang.

Dari pagi hingga tegak matahari. Dari sesak di kecemasan hingga reda. Trak masih belum muncul. Khabarnya masih memunggah bekalan.

Jam 3 ptg, saya mendapat berita yang memdukacitakan.

Bersambung...
Dr Afiq Rahim, DAR

Sinar di sebalik Mendung
26/12/14 - 2230H
Catatan Ke-6
=============

Sambungan

Berita mendukacitakan itu berbunyi

"Dr, pegawai kami telah membuat pemeriksaan awal di jalan perhubungan ke Badang. Pagi tadi kami masih boleh melalui dengan trak itu pun air sudah menenggelami lampu trak kami. Kini bukan setakat lampu sahaja tenggelam bahkan mungkin trak tentera itu sendiri akan karam ditelan arus deras." kata koordinator tentera di sini.

Saya kelu sambil memandang wajah waris pesakit yang melihat saya dengan penuh harapan. Mereka menunggu dengan sabar transportasi ke hospital.

"Maaf, tiada jalan lain kecuali helikopter..." saya memberitahu mereka dengan perasaan sugul. Mereka juga tunduk mengenang nasib masing-masing. Awan mendung berarak di atas kami. Di saat kami menjangkakan ribut pasti melanda, tiba-tiba sinaran mentari memancar di sebaliknya. 
 
Saya menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.

"Tuan doktor, kami telah berjaya mendapatkan bantuan helikopter tentera. Dijangka sampai petang ini. Kami akan memberitahu pihak tuan jika kami akan berlepas." Ya Allah, saya mendongak ke langit bersyukur kerana secebis berita gembira ini. Namun seperti sebelumnya harapan kami semakin malap. Jam berganti waktu. Tiada panggilan daripada pihak mereka. Wajah waris dan staff daripada girang bertukar resah ibarat seorang ibu menunggu kepulangan anaknya di pintu rumah.

Ketika harapan itu semakin kabur, akhir saya menerima panggilan pihak tentera udara yang mereka akan berlepas ke sini. Kami bergegas meredah banjir ke kawasan helipad di SMK Badang. Helikoptar tentera kelihatan berlegar-legar di ruang udara untuk mendarat.

Jam 7.15 malam dalam kepekatan hitam, semua 5 pesakit kritikal saya berjaya diterbangkan ke HUSM. Hati tidak henti2 berzikir mensyukuri pertolongan ini. Di udara, sebahagian Kota Bharu bergelapan. Kawasan saya Badang telah bertukar menjadi Pulau Badang dengan dikelilingi sungai-sungai berarus deras. Kenderaan berpusu-pusu keluar daripada bandaraya ini. Chaos!

Kami selamat mendarat di padang HUSM sekitar jam 740 malam. Saya disambut sahabat saya Mejar Afnan. Pesakit dipindahkan segera dan saya perlu bergegas pulang ke Hospital Darurat Badang. Seorang pesakit disyaki stroke baru tiba di hospital dan sedang menunggu saya.

Sepanjang perjalanan pulang di udara, barulah beban di pundak saya terasa ringan. Lega. Kelegaan itu menerbitkan segala kesakitan yang disembunyikan badan semasa bertugas. Kepala saya berdenyut kuat mungkin akibat deruman enjin helikopter berfrekuensi tinggi.

Setiba di 'klinik', Allah anugerahkan lagi pertolongan kepada saya. Seorang doktor daripada Bachok melapor diri. Saya mohon berehat sebentar. Belum sempat kaki melangkah keluar, seorang waris datang dan memberitahu bahawa ahli keluarganya kini sesak nafas akibat lebihan air dalam paru-paru. Pesakit sudah 4 hari tidak dialisis!

Allah.....saya mengarahkan pesakit segera dibawa ke sini. Oh ya, saya juga mempunyai 3 org ibu yang dalam fasa awal mahu melahirkan anak manakala ibu muda itu masih belum melahirkan anak. False labour.

Hehehe.....saya masih belum boleh berehat rupanya. Saya mohon sahabat baru saya take over sebentar utk saya bersolat dan mengemas diri.

Terima kasih tentera darat dan udara.
Terima kasih agensi kerajaan yang terlibat.
Terima kasih rakyat Malaysia yang mendoakan kami.
Terima kasih Malaysiakini yang mensensasikan statement kontroversi saya.
Terima kasih Allah akan ujian-Mu yang mengajar kami banyak ilmu baru.
Teruskan berdoa dan menderma. Percayalah, Allah mendengar rayuan kita semua.

Salam Bisikan Sayu dari Pulau Badang.

Ikhlas berkhidmat
Dr Afiq Rahim, DAR

Gerimis Sendu
27/12/14 - 22o0H
Catatan ke-7
===============

Hujan dan gerimis di siang hari kadangkala memberi kegusaran kepada kami. Banjir sedikit surut di sebelah petangnya namun kerana lokasi kami di muara sungai Kelantan maka kami berkemungkinan penutup episod duka dan malang dalam sejarah negeri Darul Naim. Selagi Kuala Krai,Tanah Merah tidak surut maka kami akan terus ditenggelami air dan dideritakan lagi dengan fenomena air laut pasang.

Mangsa banjir terus meningkat di Kelantan. Di Kota Bharu sahaja mangsa mencecah hampir 25,000 orang di berpuluh pusat. Pusat-pusat pemindahan sesak dan padat hingga mangsa baru tidak dibenarkan menduduki pusat banjir sedia ada. Maka mereka terpaksa mencari alternatif menduduki sekolah yang tidak diwartakan sebagai pusat banjir dengan mengharungi air sedalam paras pinggan bersama anak kecil membimbit peralatan masing-masing.

Di Badang sahaja, jumlah mangsa mencecah 4000 orang dan mereka hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bekalan makanan kami di sini hanya mampu bertahan sehingga malam ini. Begitu juga diesel untuk kegunaan tentera dan pasukan kesihatan yang semakin surut ke dasar tangki.

Hari ini saya seharian di pusat pemindahan. Tiga pusat pemindahan kami di tenggelami air menatijahkan penyakit bawaan air seperti taun dan kulit yang saban hari meningkat terutama di kalangan anak-anak kecil. Keadaan sanitasi yang teruk, banjir dan kesesakan manusia di kawasan padat adalah kombinasi yang dahsyat untuk impending cholera outbreak dan juga penyakit berjangkit lain seperti Batuk kering/TB dll. Kami perlukan bekalan air bersih untuk memasak dan pengurusan diri.

Kami sangat-sangat memerlukan bantuan makanan, air bersih dan diesel di sini. Tiada jalan darat yang dapat menghubungkan kami. Hanya bantuan daripada udara. Semasa dalam perjalanan ke SK Semut Api untuk pemantauan kesihatan di sana, kami berselisih dengan trak tentera. Mereka memberitahu, trak mungkin boleh keluar kerana air sudah surut sedikit namun kami mempunyai masalah baru iaitu jalan runtuh akibat arus deras. Kami tetap juga terputus hubungan dengan dunia luar.

Saya memaklumkan situasi semasa kami kepada bilik gerakan tentera dan kesihatan. Bantuan akan tiba dengan helikopter namun sehingga petang saya tidak mendapat sebarang berita pengesahan tentang bantuan tersebut walaupun saya melihat beberapa helikopter yang melintas di ruang udara kami. Terdapat beberapa NGO yang menghubungi saya namun apabila saya mengatakan bahawa bantuan perlu disalurkan dengan helikopter, mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

Koordinasi bantuan juga sangat teruk. Terdapat pusat pemindahan yang langsung tidak mendapat bantuan. Jika ada pun, terlalu banyak ketirisan sebelum sampai ke tangan sepatutnya. Penduduk di sini terpaksa mengais untuk survival dengan menangkap ikan dan bermacam cara lagi. Kami di hospital Badang juga hanya berlaukkan sardin, ikan goreng dan nasi putih sejak bencana berlaku. Itu pun syukur teramat. Di daerah lain sehingga ada mangsa mengemis memohon makanan sambil mengharungi air paras dada untuk keluarga. Bahkan ada ibu yang mengendong anak kecil di bahunya ke hospital saya bertanya di mana mereka boleh mendapatkan bekalan makanan.

"Nikmat tuhanmu yang mana kamu dustakan" - Ar- Rahman.

Pagi tadi seorang pakcik mengharungi banjir paras dada semata-mata untuk ke hospital saya kerana bekalan ubat darah tingginya kehabisan. Jalan ke kampungnya telah runtuh dan banjir pula berarus deras. Mujurlah beliau sempat ke sini dan mendapatkan rawatan. Penduduk semakin terdesak. Mereka terpaksa berusaha sendiri kerana pihak penyelamat sudah hampir lelah melaksanakan tugas mereka tanpa rehat yang cukup dan masih terus bekerja.

Di sebalik kepiluan itu, penduduk di sini bagai berpicnic di sebelah petangnya dengan bermandi manda dengan penuh keseronokan. Wajah-wajah anak kecil bagai tiada apa yang berlaku tetapi di minda mereka ini adalah pesta air paling besar dalam hidup mereka. Namun di wajah ayah dan ibu terselit kegelisahan di sebalik senyuman mereka. Apakah nasib mereka selepas ini? Hanya tuhan yang tahu.

Sebentar tadi saya menerima berita bahawa helikopter untuk memindahkan pesakit buah pinggang tahap akhir saya ke HUSM terpaksa ditangguhkan. Pesakit saya sudah tidak boleh bertahan lagi. Dia perlu didialisis segera. Dia mencari alternatif sendiri dan sanggup mengambil risiko meredah banjir dan sungai ke airport kota bharu untuk menerima rawatan dialisis di Johor.

'Bateri' saya juga semakin low hingga kadangkala menulis surat rujukan boleh tertidur. Begitu juga pasukan saya. Sehingga pada sesetengah waktu jika tiada pesakit, hospital kami ibarat banglo kosong kerana semua orang mengambil port merehatkan diri. Saya sehingga kini bersyukur kerna Dr Haza daripada PKD Bachok yang juga wakil PAPISMA Kelantan sudi berkorban meninggalkan anak kecil di rumahnya membantu saya di pusat kesihatan kami.

Bencana adalah peringatan Allah kepada kita untuk kita bersama bermuhasabah. Teruskan menderma dan berdoa. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan.

Salam Perut Keroncong
Ikhlas,
Dr Afiq Rahim, DAR


Gloomy Sunday Morning
28/12/14
Catatan ke-8
===================

Jam 3.30 pagi

"Dr, kita ada satu kes ibu mengandung ingin melahirkan anak" - kata MA Karim mengejutkan saya daripada deep sleep cycle. "Berapa contraction dan OS dia Kak Su" tanya saya kepada SN Su yang sudah 3 hari oncall tanpa henti menunggu ibu bersalin.

"Contraction 3:1:15s dan OS 5cm" balasnya. Pesakit sudah lebih jangka daripada tarikh sepatutnya melahirkan anak.

"Ok kita buat partogram di sini. Saya tunggu di bilik sebelah jika ada apa-apa." Balas saya. Pesakit semakin kuat mengerang.

Jam 6 pagi

Saya bangun untuk solat subuh. Sebelum itu saya menjenguk pesakit untuk mengetahui statusnya. Secara tiba-tiba, mata saya tertumpu pada tompok hijau di atas katil yang basah lencun.

Allah, light meconium stained liquor (bayi berak dalam perut)! Sepantas kilat, saya mencapai glove dan melakukan vaginal examination(VE) untuk pemeriksaan lanjut. Kepala bayi sudah di bawah, membrane intact dan OS masih 5cm.

Pesakit perlu ke bilik bedah segera kerana bayi juga sudah menunjukkan tanda-tanda fetal distress/lemas. Mimpi ngeri saya bermula. Di kawasan ground zero ini, saya berhadapan kes obstetric emergency.

Saya segera menghubungi bilik bersalin HUSM. MO mendengar masalah saya lalu meminta saya menghantar pesakit dengan segera ke hospital dengan nada seperti kes biasa. "Dr, I'm in ground zero area and I need an helicopter now!" Saya menjelaskan situasi kritikal saya. Dr O&G itu bagai tergamam mendengarnya lantas segera berlari mendapatkan bantuan. Saya juga menghubungi bilik gerakan dan memaklumkan situasi terkini saya.

Selang beberapa minit, datang sebuah hilux membawa seorang lagi ibu mengandung. Selepas pemeriksaan, saya mempunyai seorang lagi pesakit yang ingin melahirkan anak dalam active phase of labor.

Ibu pertama terus mengerang kesakitan. SN SU melakukan VE dan mendapati OS sudah fully dan pesakit ready untuk bersalin. Kami terpaksa menyambut bayi ini di Hospital Badang juga dengan kelengkapan yang sangat terhad. Mesin suction dihidupkan. Kami memulakan second stage of labor. Apabila kepala bayi keluar, kegelisahan kami bertambah melihat tali pusat melilit leher bayi. Dengan segera, ia dipotong dan bayi itu dikeluarkan bersama najisnya yang turut sama keluar. Selang beberapa saat, bayi itu menangis dan tangisan itu memberi kelegaan kepada kami.

Namun mimpi itu baru memasuki episod awal. Uri di dalam perut ibu pula tersangkut dan terasa tali pusat seperti mahu putus. Kini saya mempunyai masalah baru iaitu retained placenta. Ketika sedang runsing bertanya bagaimana status helikopter saya, tiba-tiba seorang bayi yang mengalami demam panas mendapat sawan betul-betul di depan mata saya. Terus saya membawanya ke atas katil dan melakukan resusitasi. Selepas 30 saat, sawannya kebah tetapi anak itu sangat-sangat kepenatan. Saya segera memaklumkan situasi semasa kepada bilik gerakan banjir. Semua pihak bertungkus lumus mencari helikopter.

Jam antara 7-8 pagi.

Sebuah helikopter tentera mendarat di Kolej Jaiputra. Saya terus disambut Dr Muzammil, pegawai perubatan tentera. 2 bayi dan seorang ibu diterbangkan segera ke HUSM. Sebelum terbang, Dr Muzammil sempat membisik ke telinga di celah kebingitan putaran bilah Helikopter : "Good Luck"

Saya bergegas pulang ke hospital darurat Badang dan mendapati ibu kedua kini memasuki fasa kedua bersalin. Sama juga seperti pesakit pertama, ibu kelihatan sukar untuk memberi momentum bersalin. Saya tidak mempunyai vacuum machine ketika ini. Selepas hanya tinggal 10minit untuk pesakit memasuki fasa prolongef second stage of labor, akhirnya bayi yang ditunggu-tunggu berjaya dilahirkan.

Selepas uri berjaya dikeluarkan kami bersorak gembira hingga saya ternampak sesuatu yang tidak patut muncul. Kelihatan seperti bibir berwarna merah kehitaman dengan koyakan besar muncul di celah-celah genangan darah di bahagian tempat bersalin.
Ya Allah, Cervical Tear(cerviks koyak) pula!

Luka itu sangat besar di bahagian bawah dan terus berdarah dengan lajunya. Saya sendiri berasa pucat lesu melihatnya. Saya belum pernah menjahit cervical tear lebih-lebih lagi tanpa bius dan peralatan secukupnya.

Bersambung....

DAR


Mati hidup semula
28/12/14
Catatan ke-9
===================
Sambungan

Darah mengalir dengan derasnya daripada luka cerviks itu. Dikala wajah saya bertukar kepucatan, tiba-tiba tuhan seolah-olah mendengar rintihan pilu saya. Dr Haza hadir tepat pada masanya.

Beliau terus mengambil posisi dan melakukan pemeriksaan lanjut. Luka episiotomy hanya kecil tetapi luka cerviks itu berukuran 3cm di posterior, satu lokasi yang sukar. Jika di hospital, pasti kes ini akan dibawa ke bilik bedah namun kami tidak punyai masa untuk menunggu satu lagi helikoter.

Syntocin kami yang terakhir telah diberikan kepada pesakit. Pitocin yang ada juga yang terakhir. Memang Allah itu maha pengasih, Dr Haza adalah bekas MO OnG. Lantas beliau memulakan prosedur menjahit tanpa sedatif/bius yang cukup. Saya segera mengemaskini status helikopter saya kerna saya perlukan sebuah lagi untuk ke HUSM.

Dr Haza menggunakan pengalaman beliau di bilik bersalin. Akhirnya pendarahan itu berjaya dihentikan namun episod malang kami masih belum berakhir. Ibu itu kini mendapat uterine atony/rahim tidak mengecut dan seterusnya PPH/tumpah darah.

Saya mengaktifkan kod merah di klinik saya. Semua staff dikerahkan ke klinik dengan kadar segera. Ketika saya keluar daripada bilik bersalin saya, seorang wanita berumur lingkungan 50an didapati terbaring di atas stretcher saya di kecemasan sambi dikelilingi orang ramai. Saya bertanya status pesakit ini kepada MA Shakri

"Hypoglycaemia doc. Dxt 1.4!"

"Oh god another headache!" Bisik hati saya. Lantas saya meminta SN Zu memberi D50 dan mengarahkan MA Shakri untuk take over pt itu kerana saya ada red code case di labour room.

Bantuan tentera dan polis telah tiba. Katanya helikopter telah mendarat di Kolej Jaiputra. Ketika kami bersiap untuk mengangkut pesakit ke atas troli, pesakit mengeluh sesak nafas dan secara tiba-tiba tidak sedarkan diri. Ibu itu kini dalam Shock State akibat kehilangan darah yang banyak. Tekanan darahnya sangat rendah dan nadinya sangat lemah. Hujung jari jemarinya terasa seperti di kutub utara.

Kami melakukan resusitasi dan terus mengangkut pesakit ke sana. Setibanya di kolej tersebut, kelibat helikopter langsung tidak kelihatan. Aduh kenapa banyaknya ujian pagi ini keluh saya. Terus saya membawa pesakit ke kantin kolej itu. Pesakit semakin lemah. Nyawanya seperti di hujung tanduk seolah-olah malaikat maut sedang berdiri di hujung kepalanya. Pasukan kami tidak berputus asa. Kami meneruskan uterine and nipple massage untuk merangsang pengeluaran hormon oxytocin dan pengecutan rahim. Saya meminta semua staff yang ada untuk mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah. Juga memohon bantuan orang ramai membina tabir agar aib dan auratnya dijaga ketika proses resusitasi.

Anak yang baru dilahirkan diazankan kemudian diberi susu ibu agar dapat membantu merangsang deria rasa ibunya. Saya bertali arus dihubungi bilik gerakan namun bantuan helikopter masih tidak kunjung tiba. Akhirnya sebuah helikopter agensi kerajaan dikhabarkan dalam perjalanan ke sini. Tidak lama selepas itu, saya menerima berita menyayat hati:

"Dr, helikopter itu kami terpaksa hold untuk seorang VVVIP yang ingin melawat kawasan banjir"

Bagai disambar halilintar saya mendengarnya lalu saya menjerit ke telefon saya:

"What!!!!!! I need my helicopter now,now, now! Pt is dying here!!!!"

Lalu meletakkan telefon dengan perasaan yang sangat frust. Frust kerana pihak autoriti gagal meletakkan prioriti antara nyawa dan individu VIP tersebut.

Selepas kami berjaya secure satu lagi IV line di kaki (total 3 large bore branula/jarum) kami meneruskan fluid resuscitation. Total 9 botol air dimasukkan dalam kadar pantas. Selepas 30 min,pesakit mula sedarkan diri. Tekanan darah kembali normal tetapi nadinya masih lemah.

Masalah kami belum berhenti di sini. Masalah baru pula muncul di saat genting ini.
Bersambung.....

DAR


Bagai jatuh ditimpa tangga
28/12/14
Catatan ke-10
=====================

Sambungan

Helikopter yang ditunggu-tunggu masih gagal kelihatan di udara. Bilik gerakan tentera, Bilik bersalin HUSM, FMS dll menghubungi saya dan bertanya keadaan pesakit dan status helikopter saya tetapi saya hanya mampu memberi jawapan hampa.

Ibu muda itu semakin sedarkan diri. Anaknya diteruskan menyusu untuk mendapatkan colostrum yang berharga. Rahimnya telah mengecut dengan baik. IV Dripsnya kami perlahankan. Hanya selepas 5 pints Hartman dan 4 pints Normal Saline, aggresive massage and moral support, Allah memanjangkan nyawanya.

Kemudian kami dimaklumkan bahawa helikopter akan mendarat di SMK Badang kerana mereka gagal memperoleh koordinat lokasi Kolej Jaiputra. Sekali lagi, dengan segala peralatan resusitasi, ibu dibawa trak tentera mengharungi banjir sejauh 500-700m ke SMK Badang. 2 kali kami berpindah kerana masalah pendaratan helikopter. Kami pasrah.

Setibanya di sana, helikopter masih belum muncul jua. Dr Muzammil memberitahu bahawa dia telah mengarahkan helikopter Nuri ke Badang dan meminta saya memindahkan semua pesakit yang masih ada di klinik ke HUSM. Di 'hospital' saya masih mempunyai seorang pesakit dengan diagnosis hypertension urgency and hypoglycaemia dan 3 ibu mengandung yang dalam fasa awal bersalin. Kesemuanya dipindahkan segera ke sekolah tersebut.

Ketika Adrenaline saya hampir surut, seorang remaja perempuan bertemu saya di bawah khemah sementara kami di sekolah:

"Dr, boleh tolong tengok mak saya. Dia tenat."

"Maaf dik, saya dalam emergency, adik boleh bawa mak adik ke klinik badang dahulu. Bila sudah selesai di sini, saya akan tengok ibu adik di klinik" balas saya.

"Tetapi dr, buah dadanya dah nak 'meletup'. Dia ada Breast Cancer" jawab adik tersebut.
OMG, di tengah-tengah kekalutan memindahkan pesakit kritikal saya, masih boleh lagi terselit ujian baru untuk krew saya di kem pemindahan ini. Saya rasa habis sahaja episod malang ni, saya akan merendamkan diri di dalam air bunga selama seminggu membuang badi dan beruzlah membersihkan dosa.

Saya meminta Sister Rusmaini memeriksa pesakit. Selepas beberapa minit, saya menerima panggilan daripadanya.

"Dr, saya rasa kita hantar sekali pesakit ni ke HUSM. Memang dah nak 'meletup' ni dr." Kata sister Rusmaini dalam nada cemas.

Setibanya di khemah kami, kami melakukan pemeriksaan lanjut. Seorang wanita berusia lingkungan 50an dalam keadaan sangat tenat dan terpaksa dipapah kemari. Ternyata buah dadanya sudah mencapai seperti tahap 4 Breast Cancer dan bagaikan buah betik yang dipenuhi nanah dan bersedia untuk pecah. Sangat tenat keadaannya.

Tiba-tiba kami dikejutkan dengan ngauman helikopter di udara. Warnanya biru dan putih. Saya pasti bukan milik tentera. Helikopter itu mendarat di padang sekolah tersebut. Rupa-rupanya ia adalah helikopter milik Maritim Malaysia. Mereka dalam operasi menghantar bantuan makanan dan untuk memindahkan pesakit.

Saya tiada pilihan lain, helikopter Nuri masih belum kunjung tiba. Saya perlu memindahkan dua pesakit kritikal saya dengan kadar segera sebelum terlambat. Hanya 2 pesakit kritikal saya mampu dimuatkan ke dalam helikopter itu. Saya meminta Dr Haza mengiringi mereka kerana keluasannya dan seatnya sangat limited. Saya pula menunggu di ground area untuk terus melaksanakan koordinasi operasi di Badang.

Selepas 20 minit, sekitar jam 1-2 petang. Helikopter itu kembali untuk membawa baki pesakit saya seramai empat orang. Sebelum pulang, saya dan pasukan tentera dijamu dengan lauk ikan singgang, sardin dan nasi di kem pemindahan SMK Badang. Kerna saya tidak makan sejak pagi lagi, berselera saya menjamahnya lebih-lebih lagi bersama Budu. Namun di sudut hati saya, saya masih bertanya bagaimana nasib mangsa banjir lain yang kebuluran berhari-hari. Ya Allah, bantulah kami.

Di sebelah petang, Dr Faisal daripada HUSM dihantar bilik gerakan dengan bot Bomba ke Hospital saya membantu kami. Saya bersyukur kerna sememangnya bateri diri sudah 'kong'. Namun, tidur petang saya tetap terganggu kerna panggilan daripada bilik operasi.
Malamnya aktiviti kami sedikit tenang. Kami berbual dan merefleksi kembali kenangan pagi tadi sambil menunggu pesakit di bilik kecemasan. Ketika kami bersedia untuk berehat panjang bila keadaan semakin membenarkan, tiba-tiba kami menerima panggilan telefom kecemasan.

"Dr, ada 2 ibu kini tengah sakit nak bersalin. Kami otw ke klinik ni".

Menggeletar lutut saya mendengarnya. Tengah malam begini di saat angin sedang bertiup kencang dan awan gelap, bantuan operasi udara pastinya tiada.

"Baiklah, kami menunggu mereka di sini"

Tamat Hari Ke-5 bencana.

Salam Kedinginan Bilik Bersalin

Ikhlas membantu
Dr Afiq Rahim, DAR
Bilik beradu saya.


Rujukan : sini