t>

Breaking News

20 Persoalan Tentang HUDUD YG PAS Mesti Jawab - Eric Paulsen.


Ada beberapa point yang aku tak setuju. Terutamanya no 9. Tapi aku nak tengok cara PAS menjawab persoalan2 tersebut. Nak tengok akal mereka macam mana dalam berbahas dan menerangkan hudud yang bakal mereka laksanakan di negara mereka.
Pada aku. Ada 3 persoalan pokok.

Pertama. Tafsiran hudud dan jenis hukuman. Ini perlu diselesaikan dan dibahaskan sebaik mungkin berdasarkan bukti dan dalil yang jelas.

Kedua. Pihak pelaksana. Ini perlu ditentukan dan ditetapkan tanpa sebarang kesilapan dan perlu bebas dari unsur2 kronisma, manipulasi, nepotism, propaganda, jalan belakang, rasuah dan sebagainya.

Ketiga. Keadaan dan situasi ketika ia dilaksanakan. Aku tak nampak PAS akan bersikap adil meskipun undang2 Allah itu adil. Undang2 yang adil hanya akan diperlihatkan dan dilaksanakan secara adil JIKA tukang pelaksana itu sendiri adil. Bila sampai satu2 perkara kepadanya, dia akan memilih untuk menjadi adil ataupun tidak. Inila yang dipersoalkan oleh orang2 macam aku. Mempersoalkan samada PAS akan bersikap adil, telus, bersih, amanah, bebas, terbuka bermaksud mempersoalkan PAS. Bukan mempersoalkan Allah dan Islam. Kenapa persoalkan PAS? Kenapa perlu timbul persoalan sebegini ke atas? Ini kerana PAS telah menunjukkan betapa tidak adilnya mereka kepada rakyat di negara neh sebab tue la persoalan itu timbul.

Fikirkan dan mohon PAS jawab dan huraikan 20 persoalan2 kat bawah neh secara kristis dan berhemah. Jangan tuduh2 dan jangan kata orang bukan Islam tak berhak campur tangan plak ek.

Baca ;

1. Bolehkah hudud dilaksanakan dalam keadaan terdapatnya perbezaan besar di antara golongan berada dan papa, di antara golongan paling kaya seperti Syed Mokhtar, Mokhzani Mahathir, Vincent Tan, Ananda Krishnan dengan mereka yang miskin, papa dan tiada tempat tinggal? Ia menjadi jelas apabila Indeks Pekali Gini (yang mengukur tahap ketidaksamaan dalam agihan pendapatan) menunjukkan Malaysia sebagai negara yang ke-3 paling tidak adil agihan pendapatannya di Asia.
2. Bolehkah hudud dilaksanakan dalam keadaan orang-orang kaya dan berkuasa biasanya terlepas daripada penguatkuasaan undang-undang? Bilakah kali terakhir seorang VVIP didapati bersalah dan benar-benar menjalankan tempoh pemenjaraannya? Seterusnya, bolehkah hudud wujud apabila VVIP orang Islam masih duduk dalam Lembaga Pengarah Genting Berhad, memiliki saham dalam syarikat bir San Miguel atau mempunyai rangkaian kelab Hard Rock Café di dalam negara?
3. Adakah hudud (seperti undang-undang Syariah sekarang) diamalkan secara terpilih dan mempunyai kesan tidak seimbang terhadap golongan lemah dan miskin, manakala orang-orang kaya dan berkuasa dapat melepaskan diri daripada hukuman? Sebagai contoh, hanya orang Islam biasa dan buruh Indonesia yang akan disebat kerana minum arak, atau adakah akan terdapat menteri Umno, ahli kerabat diraja dan anak-anak mereka, serta para pelancong beragama Islam dari Timur Tengah juga yang akan disebat?
4. Dengan begitu banyak rasa tidak puas hati terhadap Mahkamah Syariah sekarang ini dan penguatkuasaan undang-undang (terutamanya hal nafkah atau tanggungan penyelenggaraan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan suami), tidakkah pihak berkuasa mengambil kira apa yang akan berlaku jika mereka tersalah jatuh hukum seseorang yang tidak bersalah untuk dipotong tangan atau kakinya atau pun merejam dengan batu sehingga mati seorang wanita yang tidak bersalah?
5. Bolehkah hudud hanya dilaksanakan untuk orang Islam, manakala orang bukan Islam tertakluk kepada undang-undang yang berbeza? Adakah adil, jika dua orang ditangkap di Kelantan atas sebab kecurian motosikal, seorang beragama Islam dipotong tangannya, sedangkan seorang lagi yang bukan Islam dipenjara selama setahun?
6. Bolehkah hudud hanya dilaksanakan di Kelantan sahaja, manakala negeri-negeri lain di negara ini melaksanakan undang-undang jenayah sedia ada? Adakah adil jika dua orang lelaki Islam yang ditangkap kerana kecurian motosikal, satu di Kelantan dan satu lagi di Selangor; lelaki di Kelantan itu dipotong tangannya, sedangkan lelaki di Selangor dipenjara selama setahun?

7. Bolehkah hudud wujud beriringan dan selaras dengan undang-undang jenayah sedia ada yang jauh lebih menyeluruh daripada kesalahan hudud yang terhad, walaupun ditambah dengan kesalahan-kesalahan takzir, qisas dan diyat? Adakah adil jika seorang lelaki Islam ditangkap kerana kecurian motosikal di Kelantan dan tangannya dipotong manakala seorang lelaki Islam yang ditangkap kerana pecah amanah (sama ada di Kelantan atau sebaliknya) untuk jumlah yang jauh lebih besar daripada kos motosikal itu pula dipenjarakan selama setahun?
8. Adakah adil jika dua lelaki yang ditangkap kerana rogol di Kelantan, seorang lelaki Islam hanya dihukum di bawah takzir mengikut budi bicara hakim, manakala lelaki bukan Islam dipenjarakan sekurang-kurangnya lima tahun dan juga disebat di bawah undang-undang jenayah yang sedia ada?
9. Adakah adil bagi mangsa rogol Islam untuk didedah kepada kemungkinan pertuduhan zina atau qazaf (tuduhan palsu zina) jika dia gagal memberikan keterangan atau saksi yang mencukupi? Apa yang berlaku dalam keadaan seorang wanita atau gadis hamil kerana dirogol sama ada dengan kekerasan atau pun rogol bawah umur? Adakah ianya akan diambil sebagai bukti muktamad kejadian zina jika dia, meskipun mangsa rogol, tidak dapat menyangkal tuduhan kerana beban bukti yang tidak seimbang?
10. Adakah adil, jenayah rogol, suatu kesalahan yang lebih serius daripada zina, hanya diklasifikasikan sebagai kesalahan takzir yang boleh dihukum mengikut budi bicara hakim manakala orang yang sudah berkahwin yang melakukan zina akan direjam dengan batu sehingga mati?

11. Adakah adil, kerana tidak ada kesalahan hudud untuk penipuan secara besar-besaran, penyelewengan, pecah amanah, rasuah (contohnya skandal "peminjaman" NFC dan penyelewengan RM250 juta dana kerajaan) manakala seseorang yang mencuri motosikal akan mendapati tangannya dipotong?
12. Adakah adil jika hanya lelaki Islam sahaja yang biasanya dianggap berkelayakan untuk memberi keterangan manakala keterangan wanita dan orang bukan Islam tidak diterima atau mempunyai nilai yang lebih rendah? Mengapa harus orang bukan Islam terutama wanita melibatkan diri dalam undang-undang jenayah Islam yang memang memperlakukan keterangan orang bukan Islam atau wanita sebagai bersifat lebih rendah nilainya daripada orang lelaki Islam?
13. Bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah itu melibatkan pelaku orang Islam dan mangsa bukan Islam? Bagaimana jika pelaku orang Islam mendesak untuk memakai hudud (kerana beban pembuktian yang lebih tinggi dan kurangnya nilai keterangan orang bukan Islam), manakala mangsa bukan Islam tidak ingin berserah kepada bidang kuasa perundangan Islam?
14. Bidang kuasa manakah yang terpakai – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah itu melibatkan pelaku bukan Islam dan mangsanya orang Islam? Bagaimana jika mangsa Islam menuntut hanya hudud yang dapat memberikan keadilan dan hukuman yang setimpal?
15. Bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika kesalahan yang dilakukan seperti kecurian dan rompakan terdapat dalam kedua-dua bidang kuasa? Bolehkah pelaku orang Islam meminta diadili di bawah undang-undang jenayah sedia ada kerana dia tidak mahu tangannya dipotong? Atau dia boleh memilih hudud kerana beban pembuktian yang lebih tinggi, yang membolehkan dirinya melepaskan diri daripada hukuman?
16. Bagaimana hudud akan dapat berfungsi jika ia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam? Bolehkah pihak berkuasa memaksa orang bukan Islam untuk membantu dalam penyiasatan atau memberi keterangan di Mahkamah? Adakah keterangan mereka bernilai?
17. Adakah adil jika orang bukan Islam yang membantu dan bersubahat dengan orang Islam yang melakukan kesalahan untuk dilepaskan, manakala orang Islam itu pula tertakluk kepada hukuman rejam dan sebat dalam kes-kes zina dan syurb (pengambilan alkohol)?
18. Adakah hukuman rejam sampai mati, penyaliban, sebatan dan pemotongan anggota badan masih diterima di zaman ini? Adakah ianya tidak tergolong sebagai penyeksaan, hukuman kejam dan tidak berperikemanusiaan? Bagaimana jika Israel mahu mengenakan hukuman undang-undang Yahudi yang sama, yang terdapat dalam Taurat (yang berkongsi asas  hukuman yang sama dalam Al-Quran) terhadap rakyat Palestin yang menentang pemerintahan mereka?
19. Adakah pihak berkuasa prihatin terhadap kemungkinan kematian ataupun sebarang komplikasi lain yang mengancam nyawa akibat pemotongan anggota badan? Siapakah yang akan bertanggungjawab?

20. Bagaimanakah hukuman ini dijalankan? Siapakah yang akan memotong, menyalibkan dan membaling batu sehingga mati itu? Adakah dilakukan oleh pegawai-pegawai Mahkamah, "profesional" terlatih, saksi, mangsa-mangsa jenayah atau ahli keluarga mereka atau orang ramai? Adakah hukuman ini dilakukan di khalayak ramai atau secara rahsia? – 15 Disember, 2014.
* Eric Paulsen ialah pengasas bersama dan pengarah eksekutif Lawyers For Liberty.