Perkataan 'JAMU' Hak Milik Indonesia, Malaysia Tidak Sepatutnya Menggunakan Perkataan Itu - Pengarah Mustika Ratu.
Sebuah syarikat jamu terkenal Indonesia semalam menuduh Malaysia meniru jamu negara itu.
Presiden Pengarah PT Mustika Ratu Tbk Putri Kuswisnu Wardani berkata, Malaysia tidak sepatutnya menggunakan perkataan jamu untuk ubat tradisional kerana perkataan itu berasal dari bahasa Jawa.
Menurut Putri, masyarakat Melayu Malaysia dulunya menggunakan perkataan ‘ubat kampung’ tetapi kerana semakin popular ia diubah menjadi ‘jamu Malaysia.’
“Malaysia menamakan ubat tradisionalnya ubat kampung. Seperti di China, ada ‘Chinese medicine.’ Di India, namanya ayuveda. Tetapi sejak kebelakangan ini, pengeluar ubat tradisional di Malaysia menamakan produk mereka ‘jamu,’” kata Putri kepada wartawan di Kementerian Perdagangan Indonesia di Jakarta, semalam.
Menurutnya, perkataan jamu itu berasal dari bahasa Jawa yang bererti ramuan kesihatan dan ia tidak ada dalam perkataan Melayu.
Dia menggesa supaya perkataan jamu itu didaftarkan segera sebagai milik Indonesia.
“Jamu berasal dari Indonesia. Asal perkataan jamu itu ialah ‘jampi usodo,’ bahasa Jawa yang bererti ramuan kesihatan. Kita perlu daftarkan perkataan itu segera,” kata Putri.
Sehubungan itu, dia mendesak Indonesia mendaftarkan perkataan berkenaan sebagai warisan budaya nasional asli Indonesia di UNESCO.
Putri berkata, dia sudah bertemu dengan Menteri Kajian Teknologi dan Pelajaran Tinggi M Nasir untuk tindakan lanjut segera.
“Kami menemui Nasir untuk mengemukakan perkara ini. Jangan sampai produk kita didakwa milik negara lain,” katanya. - Harian Metro