Potong Gaji 123,000 Anggota Polis, Kakitangan Awam, Untuk Bantu Mangsa Banjir - Apa Kata Anda?
PDRM dalam satu kenyataan kepada media yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, untuk membantu meringankan beban hampir 1,500 anggota polis yang terjejas akibat banjir, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat potongan gaji terhadap lebih 123,000 anggota dan pegawainya.
Tambahnya lagi, inisiatif itu dipersetujui semua wakil persatuan polis pada Isnin lalu dan potongan itu membabitkan gaji bagi bulan Januari ini, seperti yang dilaporkan menerusi Berita Harian.
Potongan itu melibatkan semua peringkat dalam PDRM, daripada kakitangan awam sehingga kepada ketua polis negara. Nilai potongan antara RM5 hingga RM100 bergantung kepada pangkat masing-masing.
"Perkara tersebut turut mendapat persetujuan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar," kata Mohamad Fuzi seperti dilapor akhbar itu.
Beliau juga berkata, seramai 1,422 pegawai dan anggotanya terjejas dalam banjir di beberapa buah negeri baru-baru ini.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mencadangkan kepada kerajaan agar setiap penjawat awam menyumbang melalui potongan gaji bulanan untuk membantu mangsa di negeri yang dilanda banjir.
Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam masa terdekat agar penjawat awam boleh menyumbang pada kadar yang munasabah sekurang2nya bermula pada jumlah rm5.
Semalam menerusi laporan yang tersiar di The Malaysian Insiden, Ahmad Maslan dipetik berkata lebihan GST sebanyak 10b akan digunakan bagi membantu mangsa2 banjir yang terjejas di beberapa negeri. Cadangan oleh CUEPACS itu mendapat kecaman dan kritikan ramai pengguna media sosial kerana dianggap tidak munasabah disamping mereka mempersoalkan janji Ahmad Maslan yang mahu membantu mangsa banjir dengan menggunakan duit cukai yang terhasil dari GST adalah sudah mencukupi untuk membantu mangsa banjir yang memerlukan.