Anjur Solat Hajat, PKR Tolak Takdir Kata MP BN.
Pengerusi PAC yang juga ahli parlimen bagi kerusi Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengatakan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu mengadakan solat hajat setelah penghakiman dijatuhkan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'menolak takdir'.
Menurutnya, jika mereka membuat solat hajat sekali pun ia tidak akan mengubah nasib Ketua Pembangkang itu.
"Kalau dia buat solat hajat pun (ia) tidak akan mengubah nasib Anwar Ibrahim.
"Kalau dah berlaku bermakna ia sudah ditakdirkan, jika mereka lakukannya untuk meminta dia (Anwar) dibebaskan bermakna mereka menolak takdir," kata Nur Jazlan seperti yang dilaporkan oleh Awani.
Awani turut melaporkan Nur Jazlan berkata tentang tindakan PKR yang mahu memfailkan usul kes liwat 2 tersebut di Parlimen, sebagai tidak menghormati sistem kehakiman negara.
"Saya fikir mereka tidak hormat pada sistem kehakiman kita yang membuat keputusan dengan cara berkecuali," katanya.
Nur Jazlan turut mempersoalkan mengapa anggota-anggota PKR begitu taksub dengan Anwar, sedangkan satu-satu perjuangan bukan hanya terletak pada diri seorang individu sahaja.
Justeru, beliau menyifatkan ketaksuban PKR itu sebagai satu ketandusan politik kerana pada mereka tiada lain melainkan Anwar.
Katanya, sokongan terhadap Anwar juga dilihat semakin berkurangan berbanding sewaktu penahanannya pada tahun 1998 dahulu.
"Anwar sekarang sudah tidak ada hubungan emosi dengan rakyat, orang-orang muda sudah tidak kenal Anwar. Mereka sengaja hendak menaikkan emosi rakyat... rakyat sudah tidak minat," katanya.
Selain itu, Nur Jazlan turut membuat jangkaan bahawa Pakatan Rakyat akan menghadapi masa hadapan yang sukar kerana ternyata ianya hanya lah hubungan berdasarkan kepentingan tertentu.
Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang ketika itu berumur 23 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, selepas membacakan keputusan selama hampir 2 jam.
Susulan itu, PKR telah menggariskan tiga langkah segera yang akan diambil susulan kegagalan Anwar mengenepikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan keatas kes Liwat II yang dihadapinya.
Dalam satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti itu, Presiden PKR dan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata langkah pertama yang akan diambil untuk adalah untuk menfailkan usul di parlimen bagi mengkritik perilaku hakim-hakim Mahklamah Persekutuan yang mengendalikan kes terbabit.
Selain itu, PKR juga mengajak orang ramai menyertai perhimpunan di hadapan Penjara Sungai Buloh setiap hari bermula Rabu malam bagi menunjukkan solidariti kepada Anwar dan juga menganjurkan Solat Hajat pada Khamis malam di setiap cabang Keadilan.