Peniaga Kagum Najib Hanya Makan Nasi Ayam Dan Minum Air Limau Suam.
Hanya hidangan nasi ayam beserta air limau suam diminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa menjamu selera bersama beberapa penerima bantuan TEKUN pada tengah hari tadi di Restoran Matahari di Kuala Lumpur.
Pemilik restoran itu, Umi Abd Kadir, 51, ketika ditemui Bernama di restorannya yang terletak di Kampung Baru di sini, menceritakan betapa teruja beliau dan rasa tidak percaya bahawa pemimpin nombor satu negara itu sudi berkunjung ke restorannya untuk menikmati makan tengah hari.
"Sebenarnya, saya sudah dimaklumkan oleh wakil daripada pihak perdana menteri menerusi panggilan telefon beberapa hari sebelum ini bahawa Datuk Seri Najib akan makan tengah hari di sini selepas program TEKUN (Program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga).
"Saya berkata kepada wakil berkenaan 'eh betul ke ni?' Perasaan takut dan teruja timbul di hati saya selepas menerima panggilan berkenaan," katanya. Umi juga menceritakan bahawa tiada hidangan istimewa yang dimasak kerana menyangka bahawa Najib tidak jadi hadir ke restorannya.
Mengenai cara melayan pemimpin negara itu, Umi berkata ia mudah kerana perdana menteri cukup merendah diri dan tidak mahukan layanan istimewa sebagai orang penting dalam negara.
"Pada mulanya saya cukup risau dan terfikir 'cerewet ke perdana menteri ini'.., beliau pemimpin negara dan restoran saya biasa-biasa sahaja.
"Namun sangkaan saya meleset kerana Datuk Seri Najib tidak memerlukan sebarang layanan yang istimewa, malah hidangan nasi ayam dan minumannya juga dihidangkan menggunakan perkakas sedia ada seperti yang digunakan pelanggan lain," katanya yang turut menyajikan kuih Talam Keladi dan Seri Muka kepada Najib.
Umi yang pertama kali bersemuka dengan Najib meluahkan kekaguman terhadap pemimpin itu kerana baginya Najib seorang pemimpin yang mudah didekati.
"Datuk Seri Najib ini apabila saya tengok di kaca televisyen cukup berbeza ketika beliau berada di depan mata. Beliau juga mudah berkawan dengan semua orang.
"Beliau juga cukup mesra dan kami di sini gembira dengan kehadirannya. Semua pekerja dan saya sendiri tidak melepaskan peluang bergambar bersamanya," kata Umi yang menetap di Damansara.
Kunjungan Najib ke Kampung Baru itu merupakan lawatan secara mengejut ke Bengkel Harun Halim Auto Ent yang dikelolakan pengusaha Orang Kurang Upaya sebelum singgah makan tengah hari di restoran berkenaan.
Menerusi entri di Facebooknya, Najib turut memuatkan gambar ketika sedang menikmati makan tengah hari di Restoran Matahari itu bersama beberapa pengusaha TEKUN yang lain. -TMI
------------------
Nota : Baru jumpa Najib sekali, itu pun kali pertama, dan-dan la puji Najib mudah berkawan dengan semua orang. Baik kau talk dengan dia tentang masalah rakyat lagi bagus.
WAKAKAKAKA.