t>

Breaking News

Luahan Pelarian Rohinghya - 'Saya Hanya Mahu Mati Sahaja'.

"Dalam fikiran saya hanya ada satu sahaja - mati. Saya hanya mahu mati kerana mati lebih senang daripada hidup," menurut seorang pelarian Rohingya yang berjaya melarikan diri dari kem transit di Wang Kelian.

Bercakap secara eksklusif kepada Bernama hari ini, Nurul Amin Nobi Hussein (lelaki), 25, berkata, sepanjang dua bulan penahanannya di kem transit di Wang Kelian itu, beliau hilang segala harapan untuk hidup dan hanya memikirkan tentang kematian.

"Sepanjang dua bulan di dalam kem transit itu tahun lepas, saya dikurung seperti kambing dan ayam dalam kandang dan setiap masa dikelilingi oleh kematian. Setiap hari lima hingga enam orang daripada kami menemui ajal sama ada disebabkan penyakit atau dipukul dan ditembak," katanya.

Menurutnya, pelarian Rohingya bersesak-sesak di dalam apa yang disifatkan sebagai 'reban' kecil yang menempatkan sehingga 200 hingga 300 orang, dengan lelaki dan wanita diasingkan reban mereka.

Antara lima hingga enam pengawal yang berbahasa Thailand, katanya, berkawal 24 jam sehari mengawasi kira-kira 1,500 tahanan dengan bersenjatakan batang kayu, pisau, pistol dan senapang.

"Tahanan tidak dibenarkan bercakap. Sesiapa yang bercakap akan dipukul. Pengawal sering melaungkan "sleep, sleep, sleep," mengarahkan kami semua supaya tidur dan tidak bercakap antara satu sama lain," katanya.

Nurul Amin berkata 'reban' itu dipagar oleh batang-batang kayu dan didirikan di atas tanah lembut dan apabila hujan ia akan menjadi lumpur, di mana tahanan hanya diberikan lampiran plastik untuk membolehkan mereka duduk.

Tahanan akan berdiri dan duduk di dalam lumpur air sekiranya kem transit dilanda hujan lebat, menyebabkan ramai dalam kalangan tahanan dijangkiti penyakit sehingga membawa maut, katanya.

"Ramai dalam kalangan tahanan Rohingya mengalami bengkak kaki akibat terlalu lama duduk dalam lumpur, menyebabkan mereka tidak boleh bergerak dan makan, dan seterusnya menemui ajal," katanya yang berasal dari Maungdaw, Myanmar.

Nurul Amin berkata mereka hanya diberikan sedikit makanan iaitu nasi berlaukkan ikan bilis dan ubi untuk menahan kelaparan, menyebabkan ramai juga dalam kalangan mereka yang mati akibat kelaparan.

Menyifatkan apa yang berlaku di kem transit itu sebagai 'neraka dunia', beliau berkata terlalu banyak peristiwa ngeri dan menyedihkan yang tidak dapat dilupakannya selagi beliau hidup.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakannya adalah bagaimana pengawal-pengawal itu tanpa sebarang belas kasihan memukul sehingga mati kanak-kanak berusia 12 tahun hanya kerana keluarganya di Myanmar tidak mempunyai duit untuk membayar duit pembebasannya.

"Ada juga bayi yang baru berusia beberapa bulan mati kelaparan selepas ibunya yang sakit serta kelaparan gagal menghasilkan susu badan untuk anaknya. Tidak lama selepas anaknya mati, wanita itu juga menemui ajal," katanya sedih.

Selain itu, kata Nurul Amin, pengawal-pengawal terbabit turut merogol beberapa wanita itu.

"Kami boleh mendengar teriakan ketika wanita-wanita itu dirogol secara beramai-ramai oleh pengawal berkenaan. Apa yang lebih malang, ada antara wanita itu yang telah mengandung hasil perbuatan itu," katanya.

Pengawal-pengawal tersebut disifatkannya lebih teruk daripada 'haiwan'.

Beliau mengambil keputusan nekad untuk melarikan diri kerana selepas dua bulan di kem transit itu merasakan kematian semakin menghampirinya disebabkan keadaan sekeliling serta tidak mempunyai sebarang duit untuk membayar sindiket.

Menurut Nurul Amin, anggota sindiket meminta bayaran daripadanya sebagai syarat untuk melepaskannya ke Malaysia dan jika gagal menjelaskannya, berdepan dengan penahanan lebih lama di kem transit itu dan akhirnya kematian.

"Saya tidak boleh membayar mereka kerana tiada lagi duit selepas menjual segala harta dan tanah untuk ke Malaysia. Mereka akan pukul saya sampai mati jika saya tidak membayar mereka," katanya.

Berdepan dengan kemungkinan ditahan lebih lama dan dipukul sehingga mati oleh anggota sindiket, beliau bersama-sama lima yang lain nekad melarikan diri pada pukul 1 pagi selepas mendapati pengawal kem transit itu tertidur.

Beliau terpaksa merangkak ratusan meter dalam keadaan gelap-gelita, sebelum berlari ke dalam hutan, tanpa mengetahui arah tujuan.

"Dalam apa juga keadaan sekalipun, jika saya gagal melarikan diri mereka (anggota sindiket) akan tembak mati saya atau jika terus tinggal dalam tahanan, saya akan dipukul hingga mati kerana tiada duit.

"Mati adalah lebih baik daripada hidup," kata Nurul Amin yang membayar RM6,500 untuk menaiki bot selama 22 hari dari Maungdaw ke sempadan Myanmar dan Thailand.

Setibanya di bandar sempadan itu, menurut Nurul Amin, pelarian Rohingya itu akan dibawa menaiki trak-trak pikap menuju ke selatan Thailand dalam perjalanan yang mengambil masa antara 10 hingga 11 jam.

Sementara itu seorang lagi pelarian Rohingya, Mohamad Osman Nurul Amin, 22, pula menceritakan pengalamannya ditahan di sebuah lagi kem transit di kawasan hutan di Padang Besar, Thailand, tahun lepas.

"Ia adalah neraka. Setiap hari soal kematian sentiasa bermain dalam kepala saya. Pada ketika itu, kematian adalah jalan terbaik untuk menamatkan segala penderitaan," katanya.

Sama seperti Nurul Amin, beliau turut menjadi saksi pembunuhan dan kematian dalam kalangan tahanan Rohingya di tangan pengawal-pengawal kem yang kejam dengan memukul atau menembak mati menggunakan senjata api.

Bagaimanapun nasibnya lebih baik berbanding Nurul Amin kerana keluarganya berkemampuan untuk membayar sejumlah duit kepada sindiket yang bertindak membebaskannya selepas hanya sebulan ditahan di kem transit itu.

"Sehingga kini, saya masih tidak dapat menerima kenyataan bagaimana seorang manusia boleh berlaku begitu kejam kepada manusia yang lain," kata Mohamad Osman.

- Bernama