t>

Breaking News

Ini 7 Skandal Kewangan Yang Merugikan Berbillion2 Wang Pembayar Cukai YG Anda Mesti Tahu.

Kontroversi mengenai urus niaga syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berterusan tanpa henti, tetapi ini bukan kali pertama kerajaan persekutuan dibelenggu skandal kewangan besar.

Terdapat banyak kes serupa dalam tempoh 3 dekad yang lalu, bermula semasa era pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

1MDB kini mempunyai hutang RM42 bilion dan bergelut untuk membayar faedah kepada kedua-dua bank tempatan dan antarabangsa.

Dengan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 1MDB ditubuhkan pada 2009, dan segera melaksanakan pelbagai urusan penjanaan bon dan usaha sama antarabangsa yang mengejutkan dunia kewangan.

Dua projek perdana utama, Tun Razak Exchange (TRX) dan pembangunan Bandar Malaysia diberikan kepada 1MDB. Terdapat ura-ura 1MDB menjual atau mencairkan aset tertentu, tetapi tahap kerosakan yang dialami kerana urus niaga hanya akan diketahui selepas laporan audit ke atas syarikat itu, pada akhir Jun.

Di sini, kita lihat skandal kewangan sebelumnya yang menguasai tajuk-tajuk utama akhbar, bermula dari 1981:

BMF

Skandal kewangan besar yang pertama di Malaysia meletus pada 1983 apabila didapati Bumiputra Malaysia Finance (BMF), sebuah anak syarikat Bank Bumiputra Malaysia Bhd (BBMB) memberi pinjaman RM2.5 bilion kepada syarikat-syarikat yang mempunyai rekod prestasi samar-samar, termasuk Carrian Group yang berpangkalan di Hong Kong.

Skandal itu berlarutan dengan pembunuhan seorang pembantu pengurus yang dihantar ke Hong Kong untuk menyiasat transaksi, kebankrapan Carrian Group, dan akhirnya kerajaan Malaysia mengepam lebih banyak wang untuk menyelamatkan BBMB daripada ditutup.

Perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir berulang kali menjarakkan diri daripada skandal tersebut, merujuk ia sebagai urusan bank yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan.

Kerugian yang ditanggung dalam kemelut itu, termasuk suntikan modal berulang oleh kerajaan, dianggarkan sekitar RM10 bilion. Pada masa itu, BBMB merupakan bank terbesar di Asia Tenggara dan keruntuhan Carrian adalah kebankrapan terbesar Hong Kong.

Skandal itu berlaku hanya 2 tahun selepas Dr Mahathir menerajui kerajaan, pada masa beliau bersungguh-sungguh mengejar industrialisasi Malaysia.

Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan, tetapi walaupun apa pun cadangannya, tidak ada yang didakwa di Malaysia berhubung skandal itu. Segelintir eksekutif didakwa di Hong Kong manakala Pengerusi BMF Lorrain Esme Osman hidup dalam buangan di London sehingga kematiannya pada 2011.

Maminco

Pada 1981, sebuah syarikat bernama Maminco Sdn Bhd ditubuhkan tidak lama selepas Dr Mahathir menjadi perdana menteri, bertujuan mengawal harga timah di bursa London.
Maminco mengambil pinjaman berjumlah RM1.5 bilion dari Bank Bumiputra tetapi menanggung hutang apabila harga timah jatuh akhirnya.

Satu lagi syarikat yang dipanggil Makuwasa Sdn Bhd ditubuhkan untuk menutup kerugian Maminco itu. Saham baru kononnya dicipta dan dirizabkan bagi golongan miskin Bumiputera ditukar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menjual saham dan pasaran harga murah untuk menggantikan kerugian Maminco.

Pembayar cukai kehilangan sekitar RM1.6 bilion dalam skandal Maminco itu.

Perwaja Steel

Pada 1982, Perwaja Steel dimulakan sebagai syarikat usaha sama antara kerajaan dan Nippon Steel Corporation Jepun. Apa yang sepatutnya menjadi satu projek mega bagi menggalakkan perindustrian Dr Mahathir menjadi tidak keruan kerana syarikat menghadapi masalah pengeluaran, akhirnya melihat Nippon menarik diri daripada kerjasama.

Bayaran faedah meningkat dan kerajaan terpaksa menyuntik RM2 bilion untuk menyelamatkan syarikat itu, bersama-sama pinjaman daripada KWSP dan Bank Bumiputra. Tan Sri Eric Chia, sekutu Dr Mahathir, dibawa masuk untuk menerajui Perwaja selama 7 tahun, tetapi meninggalkan syarikat itu dalam keadaan lebih buruk berbanding ketika beliau mengambil alihnya.

Syarikat ini menanggung kerugian tambahan sebanyak RM5.7 bilion dan kerugian RM2.5 bilion.

Chia didakwa pecah amanah pada 2004 tetapi dibebaskan 3 tahun kemudian, dan tiada siapa dipertanggungjawabkan bagi kerugian dalam skandal Perwaja, yang didakwa termasuk mengganggu rekod perakaunan.

Keseluruhan kerugian skandal itu dianggarkan hampir RM10 bilion.

Forex

Pada awal 1990-an, Bank Negara mula berkecimpung dalam perdagangan mata wang spekulatif dan perdagangan pertukaran asing dengan jumlah wang yang besar wang, membimbangkan institusi perbankan lain di seluruh dunia.

Ia kehilangan hampir RM30 bilion antara 1991 dan 1994, sebelum muflis daripada segi teknikal dan terpaksa diselamatkan oleh Kementerian Kewangan.

Tiada seorang pun daripada eksekutif tertinggi dalam Bank Negara dituduh kerana aktiviti-aktiviti perdagangan itu kerana kerajaan menyerap kerugian sepenuhnya.

Selepas itu, Bank Negara tidak menceburi apa-apa perniagaan berisiko tinggi untuk mengelakkan ia berulang.

Malaysia Airlines (MAS)

Pada 1994, ahli perniagaan Tan Sri Tajudin Ramli mengambil pinjaman daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan untuk membeli kepentingan mengawal saham MAS pada harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran – RM8 sesaham.

Tujuh tahun beliau menerajui MAS adalah tempoh didakwa berlakunya pelbagai urusan penipuan.

Syarikat itu mempunyai RM600 juta rizab tunai apabila Tajudin mengambil alih, tetapi menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM9.4 bilion apabila beliau meninggalkan syarikat itu pada 2001.

Walaupun rugi besar, kerajaan masih membeli semula MAS daripada Tajudin dengan harga sama ia dijual – RM8 sesaham – kerana terdesak untuk memastikan syarikat penerbangan terus bertahan bagi memungkinkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA).

Tajudin terlibat dalam beberapa tindakan undang-undang dengan syarikat-syarikat berkait kerajaan menuntut pinjaman tidak dibayarnya dan walaupun kalah terhadap kes Danaharta dan diarahkan membayar lebih RM500 juta, syarikat dan Tajudin menyelesaikannya di luar mahkamah, apa yang dipanggil sebagai "bailout" oleh pengkritik.

MAS mengalami masalah kewangan sejak itu.

PKFZ

Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) berlaku 6 tahun lalu, dianggarkan kerugian kerajaan kira-kira RM12.5 bilion, tetapi tiada siapa setakat ini disabitkan ke atasnya.

Enam orang didakwa, 2 dibebaskan manakala 4 kes lain belum selesai. Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) baru-baru ini membincangkan untuk menggugurkan saman RM720 juta terhadap kontraktor Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), menimbulkan persoalan sama ada wang itu akan diperoleh semula.

Projek ini mula diketahui apabila didapati kos menubuhkan zon bebas melebihi RM3.5 bilion. Kuala Dimensi juga membuat keuntungan modal RM993 juta kerana ketika ia membeli tanah dari Pulau Lumut Development Cooperative Berhad pada kadar hanya RM95 juta sebelum menjualnya kepada PKA dengan harga RM 1.8 bilion.

Kerajaan juga melanjutkan pinjaman mudah RM1 bilion bagi projek itu, selepas PKFZ dinasihatkan untuk membangunkan keseluruhan projek dalam fasa tunggal, yang menelan belanja RM1.8 bilion.

Bekas Menteri Pengangkutan Tun Ling Liong Sik adalah antara mereka yang didakwa, tetapi beliau dibebaskan daripada tuduhan menipu berkaitan penyelewengan dalam penilaian tanah. -TMI.