Hubungan Cina - Melayu Semakin Tidak Baik.
Dua perhimpunan besar yang berlangsung di ibu kota iaitu Bersih 4.0 dan Himpunan Baju Merah menggambarkan hubungan etnik, khususnya Cina dan Melayu di negara ini, berada di tahap tidak baik.
Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, situasi ini boleh mencetuskan konflik yang lebih besar jika tidak diuruskan dengan baik.
“Ini bukan lagi soal baju kuning atau merah. Tetapi dua himpunan ini telah memperlihatkan manifestasi bahawa hubungan etnik Cina dan Melayu yang semakin tegang.
“Sedangkan selama ini kita hidup aman damai dalam tetapi kebelakangan ini berlaku cabar-mencabar antara kaum. Dalam hal ini, tiada sesiapa yang untung, bak kata pepatah kalau menang jadi arang, kalah jadi abu,” katanya, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan peserta yang memainkan isu perkauman di kedua-dua perhimpunan juga hanya akan menjejaskan imej negara di mata dunia.
“Di persada antarabangsa kita akan dilihat sebagai sebuah negara yang gagal menguruskan hubungan etnik. Semua ini bawa keburukan kepada negara kita,” katanya.
Menurutnya, isu tersebut jika tidak akan timbul sekiranya rakyat Malaysia tidak menjadikan perhimpunan beramai-ramai sebagai satu budaya.
“Seperti kita tahu, kelakuan manusia tak dapat dikawal apabila berkumpul beramai-ramai. Yang penakut pun boleh jadi berani apabila dihasut.
“Kadang-kadang himpunan disabotaj dan keadaan menjadi huru-hara. Semua perkara ini tak dapat dielakkan dalam mana-mana perhimpunan,” katanya.
Menurutnya, terdapat cara lain untuk rakyat mengusulkan tuntutan iaitu menerusi sistem demokrasi berparlimen.
“Bersih 4.0 membawa lima tuntutan, manakala himpunan baju merah ada 14 resolusi. Tetapi tak perlu pun semua itu dibawa melalui perarakan atau himpunan sebegitu.
“Sebab kita ada saluran yang lebih beradab melalui sistem demokrasi kita. Semua isu dan tuntutan itu boleh dibangkitkan oleh wakil rakyat di Parlimen,” katanya. -SH