Pulau Pinang Henti Bantuan Utk Sekolah Agama Dakwa PAS.
Dewan Ulama PAS Pusat meminta penjelasan kerajaan Pulau Pinang berhubung
dakwaan bantuan kepada sekolah agama rakyat (SAR) milik persendirian
ahli PAS telah ditarik balik.
Ketua penerangan Dewan Ulama PAS pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman
Razali berkata, beberapa sekolah agama persendirian tersebut telah
mendapat bantuan tahunan sejak beberapa tahun lalu.
"Tetapi akhir-akhir ini bantuan mereka telah dihentikan," katanya dalam satu kenyataan.
"Bahkan surat tawaran bantuan yang telah dihantar ke beberapa buah sekolah terbabit didakwa telah ditarik balik," tambahnya.
Sehubungan itu, katanya, Dewan Ulamak PAS pusat mengingatkan kerajaan
DAP dan PKR Pulau Pinang agar jangan bertindak seperti parti pemerintah
sebelum ini yang didakwanya menyekat dan tidak memberi bantuan kepada
sebahagian sekolah agama rakyat milik ahli PAS kerana sentimen politik.
"Tindakan ini memberi mesej bahawa DAP dan PKR yang sebelumnya menjadi
pembangkang apabila berkuasa juga menjadi zalim dan tidak memberikan
keadilan dan hak terhadap mereka yang tidak sehaluan politik dengan
mereka," tambahnya. - Mkini.