t>

Breaking News

Bauskit - Penduduk Telah Bakar 6 Lori Kerana Protes!


Kemarahan penduduk terhadap perlombongan bauksit di sini sudah sampai ke kemuncaknya apabila mereka berani membakar lori yang mengangkut galian tersebut.

Wakil rakyat Beserah berkata kejadian seumpama ini bukanlah yang pertama tetapi lima lori pernah dibakar dalam insiden berasingan sebelum ini.

“Kerajaan tidak boleh melengah-lengahkan lagi perkara ini dan saya bimbang kejadian sama terus berulang memandangkan [kejadian] ini kali keenam kejadian lori terbakar berlaku.

“Jadi dalam hal ini, kerajaan atau pihak berkenaan perlu membuat sesuatu agar masyarakat tidak bertindak sendiri kerana ia boleh mengundang sesuatu yang lebih teruk lagi berlaku pada masa akan datang,” kata Andansura Rabu seperti dilaporkan Sinar Harian.

Wakil rakyat PAS itu berkata kemarahan penduduk juga didorong kematian seorang guru akibat ditimpa tayar lori bauksit yang dilaporkan tercabut dan terpelanting ke arah kereta allahyarham kelmarin.

Tambahnya, tindakan penduduk itu kerana terlalu kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang gagal menangani masalah tersebut.

“Selepas tragedi itu, masyarakat mula melihat kegagalan pihak berkuasa untuk menangani dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung masalah tersebut.

“Alasan ini menyebabkan masyarakat nekad untuk mengambil tindakan sendiri dan ini akan mengundang pelbagai kejadian tidak diingini,” beliau dilaporkan berkata.

Nohaili Ahmad Zabidi, 40, maut pada Isnin selepas kereta dinaikinya terkena tayar tengah lori membawa muatan bauksit yang tercabut di Jalan Pintasan-Pelabuhan berhampiran Sungai Karang.

Ketika kejadian, guru di Sekolah Kebangsaan Balok itu yang berada di tempat duduk penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi nahas akibat hentakan tayar yang terpelanting ke arah Perodua Myvi.

Andansura berkata isu berkenaan sudah berulang kali di bawa ke sidang Dewan Undangan Negeri namun masih belum ada apa-apa tindakan daripada kerajaan negeri.

“Kita minta agar kerajaan dengar suara rakyat demi kesejahteraan semua penduduk di daerah ini,” katanya lagi. - MalayMail.