Kerana Hadi Awang, Keluarga Pendebat Terbaik Asia Tidak Akan Undi PAS Lagi..
Pendebat Terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui keluarganya tidak akan lagi mengundi PAS pada pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Katanya, beliau dan keluarganya kecewa kerana perjuangan PAS ketika ini
sudah lari daripada perjuangan sebenar di bawah kepimpinan Presiden,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Syed Saddiq yang seringkali mendakwa mewakili
golongan muda di negara berkata, mereka juga kecewa kerana PAS membuat
kenyataan mahu menjadi Penasihat UMNO.
Katanya, Abdul Hadi tidak serius berhubung isu skandal
1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila gagal melihat kontroversi
yang berlaku kepada anak syarikat milik kerajaan itu sebagai skandal
rasuah.
“Ahli keluarga saya yang sebelum ini merupakan pro-PAS pun sudah bertekad tidak mengundi untuk PAS lagi.
“Kita sedang berhadapan dengan skandal terbesar negara yang telah mendatangkan impak negatif cukup besar pada maruah Malaysia. Saya sejujurnya amat kecewa dengan PAS terutama sekali dengan Tuan Guru Hadi Awang.
“Selama ini saya fikirkan PAS merupakan sebuah parti yang tidak akan
sekali-kali mengorbankan integritinya sendiri. Tapi apabila kita
mengharapkan semua pihak bersatu, PAS memutuskan untuk hanya berada di
tepi,”katanya menerusi kenyataan Facebooknya.
Syed Saddiq yang terkenal kerana kritikan pedas terhadap Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak berkata, PAS sebagai sebuah parti Islam
seharusnya menantang ketidakadilan yang berlaku, bukannnya bertindak
menyerang bukan Islam sebagai asas perjuangan.
“Isu 1MDB ini melibatkan korupsi, salah guna kuasa dan pelbagai lagi.
Semua ini merupakan isu yang bertentangan dengan prinsip Islam. Apa yang PAS sedang lakukan? Islam menentang ketidakadilan. 1MDB adalah satu ketidakadilan.
“Saya merayu pada PAS dan Presiden PAS, kembalilah pada PAS yang kami
kenali dahulu. Berjuanglah menentang ketidakadilan ini, sebelum rakyat
menentang ketidakadilan kamu,” katanya. -FMT