t>

Breaking News

Haramkan Pendakwah Seperti Zakir Naik Datang Ke Malaysia Kata Bekas Menteri.

Sewajarnya Jabatan Mufti Negeri Terengganu tidak menafikan dakwaan mengatakannya tidak menyenangi kehadiran tokoh ilmuan Islam Dr. Zakir Naik di negeri itu seperti yang dilaporkan  oleh TerenganuKita Online.

Sebenarnya inilah  perasaan yang terpendam di kalangan orang Islam yang mempunyai prinsip kejatian diri Melayu Islam termasuk para ulama dan mufti-mufti lain di negara ini dengan  kehadiran dan sanjungan "gila" terhadap ulama asing dari India yang seolah-olah menafikan peranan pemimpin Islam tempatan bagi modenisasi  dan kemajuan Islam di negara ini.

Lebih menakjubkan ia sampai memukau seorang dua menteri UMNO dan juga Menteri Besar Terengganu sehingga sanggup untuk memberikan tanah di Tasik Kenyir baginya membina sebuah pusat latihan dakwah. Apakah Pusat latihan dakwah kita mundur dan kurang berkesan?

Sikap dermawan MB ini sehingga menimbulkan kemurkaan baginda Sultan Terengganu.

Dr. Zakir sebenarnya seorang  tokoh Islam yang kontroversi yang tidak memberikan imej positif Islam kepada bukan Islam sebagai agama persaudaraan antarabangsa. Menerusi kepakaran perbandingan agamanya dia menyemaikan perasaan buruk sangka dalam masyarakat berbilang agama dan kaum.

Dia adalah konspirator  Ahmed Deedat (Allahyarham) pendakwah dari Afrika Selatan yang pernah di bawa oleh anasir-anasir ABIM untuk berdakwah di Malaysia dalam masa Anwar Ibrahim berpengaruh dan berada dalam kerajaan. Ahmed Deedat tidak disenangi oleh orang Islam di Afrika Selatan sendiri.

Bagaimanapun Polis Bahagian Khas kita tetap sedar dan waspada dan dapat mencegah pergerakannya di Malaysia setelah dia membuat ucapan menghasut kebencian antara agama di Dataran Merdeka dengan  menghina agama lain untuk  menunjukkan  kebesaran Islam.

Video-videonya yang cuba diedar di sini juga telah dirampas.

Bukanlah cara kita mengembangkan Islam di Malaysia dengan memperkecil dan menghina agama lain dengan apa cara sekalipun. Ini  juga dicegah dengan tegas di Singapura  hingga kini termasuk sekiranya pendakwah Kristian cuba menjual agamanya kepada orang Islam di Singapura.

Pihak Polis di Raja Malaysia juga mengetahui pendekatan dakwah "Merbahaya" Zakir Naik kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia tetapi cubaan untuk menyekatnya dari berdakwah di Malaysia telah digagalkan oleh kepentingan politik yang memerlukan sokongan kekuatan dari semua pihak.

Benar seperti kata Zainah Anwar dalam tulisannya di Sunday Star (8May2016)

Was this the reward that UMNO had hoped to gain-endorsement by a charismatic evangelist to push a reluctant PAS worried about its grassroots sentiment into arms of its once die- hard enemy?

Really? Desperate times call for desperate tactics

Bahawa Kerajaan Terengganu menganjurkan kedatangannya ke Malaysia dan mahu memberikan tanah di Kenyir untuknya membina Pusat Latihan Dakwah adalah menunjukan pemimpin-pemimpin baru UMNO tidak menghayati prinsip beragama  di negara ini yang diterapkan oleh Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman dan juga Tun Abdul Razak yang diwarisi Tun  Hussein Onn dan Tun Mahathir.

Kita sekarang mempunyai pemimpin-pemimpin negara yang sanggup menjual prinsip-prinsip dan identiti Islam UMNO dan Melayu  untuk menyerupai imej Pas yang jumud dan ketinggalan zaman dan mahu menyerupai  pemimpin-pemimpin terikat dalam cara mensandiwarakan peribadatan. Tidak hairanlah jika pemimpin-pemimpin  di bawah juga turut tersesat.

Islam di Malaysia mendapat penghormatan dunia dan di kalangan penduduk bukan Islam di negara ini  selama ini bukanlah dengan pendekatan  memburukkan  dan memperkecilkan  agama lain tetapi dengan mengembangkan sikap  toleransi  yang menunjukkan tolak ansur dari segi sosio budaya untuk hidup bersama dengan orang lain.

Sikap ini masih hidup subur di Sabah dan Sarawak tetapi sedang terhakis dan dihakiskan di Semenanjung termasuk menerusi sesetengah ustaz-ustazah selebriti di program-progaram agama TV.

Ulama-ulama Malaysia telah memberikan sumbangan besar dari sejak awal kemerdekaan dalam membantu membangunkan imej  "Moderation Of Islam" di Malaysia dan menerusi  permodenan dan peradaban  Islam sesuai dengan keperibadian  negara ini  tetapi berbagai anasir politik dan persaingan politik telah semakin menolak orang Islam di Semenanjung ke arah pemahaman Islam yang sempit yang lebih condong kepada ke Araban dari kejatian diri Melayu Islam.

Tahniah kepada Tun Taib Mahmud dan juga Tan Sri Adenan Satem yang mencegah kebebasan anasir-anasir jahat agama ini di samping anasir perkauman dari berleluasan di Sarawak.

Kita dapat melihat pembangunan Islam di Malaysia terutama program-progaram TV yang lebih berunsur ritual, fahaman Islam yang bersifat sentimen melulu dan tidak mengajar dan memahamkan orang Islam terhadap keperluan hidup beragama dalam realiti ketamadunan manusia. Semuanya boleh diatasi dengan doa dan penyerahan kepada Allah. Tidak semudah itu wahai ustaz dan ustazah.

Beribu orang datang untuk mendengar syarahan Dr Zakir Naik ini di Terengganu sekalipun mereka tidak memahami bahasa Inggeris oleh kerana didorongkan oleh perasaan sentimen, emosi dan keghairahan melulu.

Seorang  remaja bukan Islam memeluk agama Islam kerana mendengar syarahan pendakwah India ini di gemparkan seolah-olah sebagai kemenangan besar umat Islam tetapi berapa banyak bukan Islam yang telah di Islamkan oleh ulama-ulama tulen kita tanpa digembar gemburkan sejak sekian lama.

Saya sendiri dan rakan-rakan dari Malaysia melihat ramai pelawat dari Republik Rakyat Komunis Cina yang di Islamkan di Majid Malabar di Singapura tanpa heboh.

Demikianlah  semakin terhapusnya kehalusan, kebijaksanaan dan  kecekapan dan diplomasi dalam mendakwahkan  Islam di Semenanjung.
 
Zainuddin Maidin
Bekas Menteri Penerangan Malaysia 2006 - 2008.
(rujuk)