Individu Dedah Kejadian Perlakuan Sumbang Di Sekolah Asrama Lelaki.
Baru-baru ini, kecoh dan viral kes beberapa orang pelajar yang menjadi mangsa serangan/buli seksual di sebuah maahad tahfiz. Apabila membaca kisah tersebut, saya amat yakin ianya adalah kisah benar kerana kisah ini mengingatkan saya kepada apa yang berlaku di zaman persekolahan dahulu. Saya bersekolah di sebuah sekolah agama lelaki berasrama, 16 tahun yang lalu di utara tanah air dari Tingkatan 1 hingga awal Tingkatan 4. Ketika belajar di situ, beberapa orang rakan menjadi mangsa serangan/buli seksual seperti seks oral, urut kemaluan dan sebagainya yang dilakukan oleh senior dan rakan sebatch.
Disebabkan rakan-rakan saya menjadi mangsa kes sumbang ini, saya berasa tidak seronok untuk belajar di sekolah ini. Timbul perasaan jijik dan marah kepada mereka yang melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Pada masa itu, kisah ini tidak diceritakan kepada guru dan ibu bapa oleh sebab takut kepada senior. Saya berazam dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan cemerlang dalam PMR kerana ingin berpindah ke sekolah asrama lain setelah tamat Tingkatan 3. Apabila keputusan PMR keluar pada bulan Disember, saya mendapat 8A 1B. Saya sangat gembira kerana impian saya untuk berpindah ke sekolah asrama lain akan tercapai. Saya hanya memohon ke MRSM sahaja.
Bulan Januari, keputusan tawaran belajar panggilan pertama(first intake) MRSM keluar. Nama saya tiada dalam senarai. Saya amat sedih dan membuat rayuan. Bulan Mac, keputusan panggilan kedua(second intake) keluar. Sekali lagi nama saya tiada dalam senarai. Saya membuat rayuan kali kedua. Bulan Mei, keputusan panggilan ketiga(third intake) keluar.
Alhamdulillah, kali ini nama saya ada dalam senarai. Saya ditawarkan ke sebuah MRSM di selatan tanah air. Walaupun sangat jauh dari rumah saya di utara, namun saya nekad untuk keluar dari sekolah agama ini dan masuk ke MRSM. Sepanjang saya di MRSM tersebut, tiada kes-kes seksual songsang yang saya dengar. Sekarang umur saya 28 tahun dan sudah berkahwin. Saya mempunyai ramai rakan lelaki yang sebaya/lebih tua tetapi masih belum berkahwin. Sebilangan kecil daripada mereka ini tidak berkahwin kerana tidak mempunyai nafsu terhadap perempuan. Mereka hanya bernafsu kepada lelaki.
Mereka ini adalah orang yang baik, bersolat di masjid, membaca al-Qur'an, tetapi sejarah hitam mereka di sekolah menyebabkan mereka tidak bernafsu pada perempuan. Mereka menjadi mangsa buli seksual oleh senior di sekolah. Di usia yang muda(Tingkatan 1), mereka dikenalkan dengan seks songsang. Mereka dijadikan alat/hamba seks oleh senior di sekolah.
Disebabkan pengalaman hitam ini, mereka lebih tertarik kepada lelaki. Mereka sudah mencuba pelbagai cara untuk menghilangkan nafsu terhadap lelaki namun sampai sekarang masih tidak berjaya.
Bayangkan peristiwa hitam yang mereka lalui di sekolah dahulu telah merosakkan hidup mereka sekarang. Mereka tidak dapat berkahwin dan masih berusaha menghilangkan nafsu terhadap lelaki. Nasihat saya, kepada ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah asrama, tak kiralah sekolah agama/SBP/MRSM/maahad tahfiz dan sebagainya, ataupun rakan-rakan yang mempunyai adik di sekolah asrama, cubalah berbual dan bertanya pada anak/adik anda, adakah terdapat kes-kes pelik/sumbang yang berlaku di sekolah mereka. Sekiranya ada, keluarkan mereka dari sekolah tersebut dan carilah sekolah lain.
Terdapat beribu-ribu sekolah di Malaysia. Sekolah bukanlah punca masalah ini, tetapi terdapat beberapa individu bermasalah yang merosakkan sekolah tersebut. Nak buang mereka susah, jadi andalah yang kena berkorban keluarkan anak/adik anda dari sekolah tersebut.
Bayangkan sekiranya anak/adik anda menjadi mangsa serangan/buli seksual ini, lagi 10-20 tahun mereka tidak dapat berkahwin kerana tidak bernafsu pada perempuan. Sekiranya perkara ini tidak dibendungkan dari sekarang, ianya akan merebak dan merosakkan komuniti dan masyarakat pada masa hadapan. Pengalaman hitam ini akan menghancurkan masa depan mereka.
Sama-sama lah kita memainkan peranan untuk menyedarkan masyarakat tentang masalah ini. Mencegah lebih baik daripada mengubati.
Sumber : Wardina Saffiyah Official Page