t>

Breaking News

Terima Kasih MB Terengganu Kerana Tak Membantu Saya - Luah Azizulhasni Awang.


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya penyokong-penyokong saya dan TeamAzizul. Pertamanya saya ingin mencuapkan ribuan terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus menyokong dan mendoakan kejayaan saya dan rakan sepasukan.

Tidak kira apa jua bangsa dan agama, Melayu-Cina-India, Sabah Sarawak dan bumiputra, terima kasih atas sokongan jitu anda semua dan sentiasa mendoakan kejayaan saya. Sesungguhnya doa dari anda semua adalah senjata buat saya.

Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ayah dan Mak saya di kampung yang sentiasa memberi sokongan penuh dan sentiasa mendoakan dalam apa jua yang saya lakukan, juga merestui pilihan jalan hidup yang dipilih ini. Ribuan maaf dari anakanda kerana tidak dapat berada disisi selalu dan tidak dapat menjaga makan minum Ayah dan Mak.

Apa yang dapat dilakukan oleh anakanda adalah berdoa kepada Allah Yang Maha Esa supaya sentiasa menjaga dan melindungi Ayah dan Mak dikampung. Tidak lupa juga adik beradik dan seluruh ahli keluarga samada yang dekat mahupun jauh, terima kasih kerana sentisa berdiri di belakang saya ketika saya jatuh mahupun berdiri. Moga Allah merahmati anda semua.

Terima kasih juga kepada Isteri yang disayangi Athiah Ilyana dan sudah tentu kedua cahaya mata ku Amna Maryam dan Amna Khadeeja. Rindu sungguh kepada anda semua. Terima kasih sayang kerana sanggup bertoleransi dengan suami mu yang banyak kerenah, yang amat strict dengan rutin harian dan sangat cerewet ini. Suami mu berharap kamu memahami inilah attitude seorang juara dan atlet professional.

Terima kasih kerana bertoleransi dan banyak berkorban terutamanya melupakan hasrat untuk menjadi seorang Arkitek dan memilih untuk berdiri di belakang suami mu ini untuk memberi sokongan kepada karier lumba basikal juga menjaga anak-anak kita. Hanya Allah dapat membalas jasamu ini dan suami mu berdoa agar kamu dianugerahakn syurga Firdaus.Insyaallah. Terima kasih kepada Mr John Beasley dan Vicky Beasley. John bukan saja seorang jurulatih tetapi seperti bapa kepada atlet lumba basikal yang berlatih di Melbourne.

Sifat dan sikap John Beasely banyak mempengaruhi kehidupan aku sampai ke harini dan aku sangat berterima kasih atas seluruh tunjuk ajar yang diturunkan kepada ku. Terima kasih kerana menghormati adat dan agama ku yang amat kontra dengan apa yang ada di Melbourne dan aku sangat menghormati tindakan mu yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan makanan Halal untuk atlet-atlet mu ketika berada di mana-mana kejohanan.

Terlalu banyak untuk diceritakan tetapi cukupla seringkas ini.

Terima kasih kepada Rozimi Omar, jurulatih pertama yang mengcungkil bakat aku ketika di daerah kecil Dungun lagi. Tanpa dikau, maka tiadalah aku. Engkau insan yang amat unik, berkorban wang poket sendiri demi membantu anak-anak kampung seperti aku yang mengejar cita-cita untuk bergelar atlet lumba basikal. Masih segar dalam ingatan apabila aku dipilih untuk berada di bawah program Atlet Pelapis Kebangsaaan dan memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Engkaulah insan yang menghantar aku dari pekan kecil Dungun ke bandar besar Bukit Jalil. Di tengah-tengah malam ketika dalam perjalanan, engkau memasang lagu band kegemaranku Greenday dan kita menyanyi bersama berulang-ulang dari Dungun sampailah ke kota Kuala Lumpur.

Walaupun jarak memisahkan kita selepas itu, kita masih berjumpa dan meluangkan masa untuk berkongsi masalah dan cerita. Sungguh engkau insan cekal, diharap manusia yang sentiasa ingin menjatuhkan engkau itu dibukakkan pintu hatinya dan dibawa kejalan yang lurus. Aku sedih engkau telah tiada dan pergi dulu , dan aku yakin dan percaya engkau semestinya bangga dengan pingat GANGSA yang aku kecapi pada hari ini. Abg Mie, jijoe buat habih teer doh ni, lebih dari hok mampu tapi ini saja rezki Allah swt kali ini, jijoe akan cube lagi Abg Mie.

Semoga Allah menempatkan Abg Mie dikalangan yang terbaik. Terima kasih kepada Team Berbasikal Olimpik Rio. Dari persiapan di Melbourne ke Portugal ke Rio dan akhirnya melabuhkan tirai dengan pingat GANGSA ini.

Terima kasih Fatehah Mustapa yang banyak membantu dalam pelbagai aspek terutamanya ketika hari pertandingan. Terima kasih kerana menjadi pembantu jurulatih,pembantu mekanik dan personal assistant. Terima kasih Chee Lee Ming kerana anda melakukan hampir kesemua benda.

Terima kasih atas segala bantuan yang diberikan dari data-data latihan dan analisa video perlumbaan sampailah ke video motivasi dan juga melayan kerenah saya yang gila-gila ini. Terima kasih Izham Mohamad yang menguruskan hal ehwal program podium dan memastikan training camp di Portugal lancar dan juga ketika berada Olimpik Rio.

Terima kasih kerana menjadi rakan borak dan rakan berdebat sepanjang misi ini, aku harap kau tahu ini adalah salah satu terapi buat diri aku ini. Juga terima kasih kepada Dato Amarjit Sigh selaku Team Manager di Sukan Olimpik yang memastikan semua didalam keadaan terbaik. Terima kasih kerana sanggup melayan kerenah semua ahli pasukan ini dan sentiasa memastikan semua ceria dan dalam mode gelak ketawa.

 Terima Kasih kepada Institut Sukan Negara yang memilih saya untuk bernaung dibawah Program Podium. Program baru sukan negara yang menuju kearah professionalism sukan dan banyak membantu dari segi aspek Sains Sukan dan keperluan atlet elit untuk membantu mereka mencapai kejayaan diperingkat tertinggi khususnya Sukan Olimpik.

Tidak lupa juga Masjlis Sukan Negara yang menjadi platform saya sebelum ini, yang membawa saya dari peringkat bawahan dan sampai ke peringkat atasan. Saya bernaung dibawah mereka ketika saya masih hingusan sampailah berjaya memenangi Piala Dunia dan menjadi Pelumba No 1 dunia. Terima kasih atas saluran dan platform yang disediakan.

Terima Kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan yang sentiasa menyokong dan mendengar rintihan saya. Khususnya Chief Khairy Jamaluddin yang sentiasa memberi sokongan padu dan kepercayaan tinggi kepada saya. Di harap pingat GANGSA ini dapat membalas pelaburan yang diberikan kepada saya selama ini. Diharap pihak KBS akan terus memberikan kepercayaan kepada thepocketroketman untuk mengejar EMAS di Tokyo 2020 pula nanti.

Terima Kasih kepada Yayasan Sime Darby yang memberikan biasiswa untuk saya melanjutkan pembelajaran di Melbourne dan penubuhan Team Yayasan Sime Darby Trade Team dimana matlamat penubuhan team ini adalah untuk membantu saya dan Fatehah Mustapa untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio dan membawa pulang pingat untuk negara.

Mungkin ramai tidak tahu sepanjang 3 tahun setengah saya dan Fatehah menggunakan wang tajaan Yayasan Sime Darby untuk menyertai kejohanan-kejohanan untuk mengumpul mata ke Sukan Olimpik. Sungguh kami berdua bangga bernaung dibawah keluarga Yayasan Sime Darby yang melayan kami lebih dari ahli kelurga sendiri dan kami berdua berharap Yayasan Sime Darby akan menyambung kontrak Projek Team Yayasan Sime Darby yang bakal berakhir pada hujung Ogos ini dengan Projek baru untuk persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo pula. Insyaallah.

Kepada Menteri Besar Terengganu , Datuk Ahmad Razif . Saya dan Fatehah masih ingin mengucapkan terima kasih walaupun Datuk MB tidak berkenan untuk membantu saya dan Fatehah dua anak jati Negeri Terengganu yang berjuang di peringkat Dunia dan Olimpik ini. Terima kasih kerana tidak sudi membeli kan sebuah basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaan kami didalam persiapan Sukan Olimpik walaupun sudah dihantar proposal lebih kurang setahun sebelum Sukan Olimpik Rio.

Terima kasih juga kerana tidak memberikan feedback dan membisu apabila manager saya menghubungi Tuan Menteri Besar. Untuk pengetahuan Datuk MB, Saya dan Fatehah atlet bertaraf Dunia dan Olimpik ini sentiasa terlepas pandang oleh Datuk MB. Mungkin ianya adalah kerana faktor yang kami berlatih di luar negara. Diharap Datuk MB dapat mengambil semua ini sebagai suatu yang Positif dan diharap semua ini akan membuka mata Datuk MB dan orang-orang yang sepatutnya memainkan peranan. Walau apa jua yang berlaku, kami tetap bangga menjadi anak jati Negeri Terengganu dan kami Ganu Sokmo Bohh.

Terima kasih Nazree dan team 360 management yang banyak membantu disebalik tabir dan diharap kejayaan ini adalah titik permulaan yang terbaik untuk anda dan team 360. Diharap warga 360 tersenyum lebar dengan pingat GANGSA ini dan tunggu saya balik untuk merasai kenikmatan pingat dari Sukan Olimpik.

Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang menyokong dan membantu saya secara langsung dan tidak langsung. Saya memohon maaf kerana tidak dapat menyenaraikan satu persatu nama anda tetapi percayalah , anda sentiasa berada disatu sudut hati saya. Saya mendoakan agar anda semua dirahmati selalu dan dibalas dengan kebaikan akan apa anda berikan kepada saya.

Sesungguhnya otak saya sudah amat tepu, setelah habis perlumbaan sampai sekarang saya masih belum sempat untuk berehat lagi. Jam sudah menunjukkan pukul 3pagi dan waktu untuk saya berehat sebentar.

 Sekian saja dari saya Azizul Awang dari Rio. Sungguhku tidak sabar untuk pulang ke tanah air yang tercinta. I LOVE YOU ALL!!