t>

Breaking News

Kenapa Tak Lawan Isu Rasuah, Da'i Wan Kena Sound Kaw-Kaw - Nak Berdakwah Tak Perlu Mengedik Kata Ustaz Rozaimi.

Surat Terbuka Untuk Dai Wan Dazrin dan Seluruh Graduan Realiti TV Agama. -Pertama dan terakhir aku komen isu ni-

Untuk saya memulakan surat ini, sungguh saya tercari-cari ayat paling puitis yang mampu saya lakarkan. Meladeni lama, akhirnya saya akur. Saya meskipun berlatar belakang aliran sastera dan penulisan masih belum mampu menyamai taraf anda. Saya tabik dengan kemampuan anda itu. Saya telah membaca status luahan hiba anda itu. Ayat demi ayat . Maka kerana itu, surat terbuka saya ini hadir menyusulinya. Jika di awal luahan itu anda mengakui meskipun anda ustaz tetapi mempunyai iman yang turun naik.

Jika seorang ustaz sendiri mengakui imannya turun naik, apa lagi gadis biasa macam saya yang hanya mempunyai asas agama ini?. Pastilah iman saya seperti biskut Chipsmore yang sekejap ada, sekejap tiada. Dai Wan Dazrin, Sebagai sesama muslim saya merasa terharu melihat kalam berbaur nasihat daripada anda itu. Kerana sesungguhnya ia menepati hadis yang berbunyi, "agama itu adalah nasihat.kami (sahabat) bertanya kepada siapa?

Berkata Rasulallah SAW :

Kepada Allah dan kepada kitabNya,serta rasulNya juga kepada pemimpin islam dan semua umat islam. (Hadis riwayat muslim). Bahkan nabi juga telah menggariskan tiga kaedah nasihat iaitu dengan lidah,tangan, dan juga hati sebagai selemah iman. Namun demikian, terdapat juga ayat lain yang melarang kita untuk mendedah serta menyebarkan kesalahan orang. Ini merupakan perkara asal dalam agama apabila berhadapan dengan orang yang melakukan maksiat untuk tidak mendedahkannya secara umum dan menasihatinya secara bersendirian.

Rasul SAW bersabda :

"Sesungguhnya Allah itu maha menyembunyikan (kesalahan) dan amat suka menyembunyikan (kesalahan).(Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud). Anda telah betul dalam memberi nasihat. Tetapi sebelum anda memberi nasihat secara terangan sebegitu adakah anda telah menggunakan segala saluran untuk menasihatinya secara bersendirian( peribadi)?.

Berkata imam as-Syafie, "Barang siapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi, maka dia benar-benar menasihatimu. Dan sesiapa yang menasihatimu di depan umum, maka sebenarnya dia sedang menghinamu...

 Bahkan ia turut di sentuh Fudhail bin Iyadh yang berkata, "Seorang Mukmin menutupi kesalahan seseorang lalu menasihatinya. Tetapi seorang pembuat dosa mengisytiharkan lalu mencelanya. Saya mengerti kesedihan anda apabila melihat saudara seagama anda memutuskan untuk membuka tudung selepas beristiqamah selama tiga tahun.

Namun, kenapa kesedihan itu anda luahkan hanya kepada beliau?. Bahkan anda dalam komen meminta ia di sebarkan juga mengakui tulisan itu dinukil khusus buat saudari Uqasha Senrose. Sebelum ini bukan tiada artis yang bertudung kemudian membuka kembali apabila aktif semula dalam industri. Nama-nama seperti Amelina, Raja Ema, Azrinaz Mazhar Hakim yang sebelum ini bertudung litup bahkan ada berpurdah. Juga kepada wanita pertama kita tidak mahukan anda mengutus surat terbuka juga padanya?.

Anda tidak mahu meluahkan kesedihankah melihat mereka? .Atau kesedihan anda itu berpilih-pilih antara dara dan janda?. Sebagai menghormati hak bersuara anda, saya tabik dengan keberanian anda. Tetapi sebagai seorang perempuan bertudung , saya merasa terhina apabila anda menyatakan ingin memakmurkan dunia lantas anda menulis teguran itu.

Persoalan saya, adakah kemakmuran dunia bergantung kepada sehelai tudung di atas kepala?.atau maksud lain anda dunia kita tidak makmur kerana wanita-wanitanya tidak semua bertudung?. Anda berasal daripada rancangan realiti pendakwah milenia.

Suatu istilah yang membawa maksud pendakwah di tengah masyarakat yang tercerah. Atau maksud lainnya, masyarakat yang cerah dari zaman kejahilan. Maka, setaraf dengan maksudnya yang gah itu, adalah sangat lekeh seorang lepasan akademi itu hanya mampu berbicara seputar isu tudung. Sedangkan seminggu sebelum ini kita digemparkan dengan isu maahad tahfiz yang berlaku pencabulan terhadap kanak-kanak di situ.

Adakah sehelai tudung lebih besar impaknya berbanding pencabulan?. Bahkan kita juga sedang gawat dengan isu MO1 yang menyebabkan negara kerugian berpuluh billion angkara penyelewengan?. Menyedihkan kerana dalam perkara awlawiyyat yang lebih hampir memusnahkan umat dan negara, pada akhirnya isu tudung yang mahu diviralkan anda.

Tidaklah saya mengharapkan lebih daripada graduan realiti tv yang hanya menjadi alat kapitalis mengaut untung atas nama agama, namun sebagai rakyat dan manusia, saya hanya minta anda untuk cakna. Dai Wan Dazrin, Kenalkah anda dengan nama-nama seperti Imam Ahmad, Ibnu Tamiyyah,Ibnu Hanbal,Abu Hanifah, Imam Malik,Imam Syafie,Hamka,dan Syeikh Ahmad Yassin?. Ya, mereka ini adalah agamawan tersohor kita. Mereka agamawan, cendekiawan bahkan mereka juga adalah yang paling lantang menentang kezaliman.

Benar mereka agamawan yang turut membincangkan fekah aurat wanita namun perlu lihat seberapa besar perbincangan itu.Mereka tidak punya masa untuk berbicara isu picisan apatah lagi isu dosa peribadi insan. Kerana mereka adalah agamawan yang mengerti ayat quran yang menyeru menentang kezaliman. Sesungguhnya jihad yang paling afdhal adalah dengan berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.

(Riwayat at-Tirmidzi no. 2174, Abu Daud no. 4344 dan an-Nasa’ie no. 7834).Juga dalam kitab Al-Mustadrak no 4884, Imam Al-Hakim meriwayatkan sepotong hadis dari Jabir r.a sabda Rasul SAW yang berbunyi,

"Penghulu orang yang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Mutalib dan juga seorang pemuda yang bangkit menegur dan menasihati pemerintah yang zalim, sehingga ia dibunuh oleh pemerintah tersebut. Maka dai Wan Dazrin, sebagai agamawan dimanakah suara anda ketika anda melihat begitu dahsyatnya kezaliman dan kerosakan yang berlaku?.

Tahukah kenapa umat islam di negara ini tiada anjakan baik dari segi pemikiran mahupun ketamadunan?. Kerana agamawan seperti anda hanya lebih berminat membicarakan soal-soal dosa dan mengaturkan halal haram kepada orang tetapi bukan pada diri sendiri.

Anda sedarkah bahana rasuah angkara MO1 yang sedang secara berdikit telah memusnahkan negara ini?.Sedang sebagai agamawan anda lebih maklum bahana penyelewengan ini dari sudut al-quran.

 " Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil (tidak halal) dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui." ( Al-Baqarah : 188 ) . Anda mahu memakmurkan dunia.

Tetapi anda berdiam pada rasuah dan penyelewengan yang jauh lebih dahsyat.Anda ingin memakmurkan dunia tetapi anda fokus kepada teguran seorang artis yang membuka tudung.

Ya, ia tidak salah. Tetapi awlawiyyat anda sebagai seorang yang mengaku ustaz, mengaku dai, mengaku sebagai pendakwah tidak melambangkan semua itu. Maaf kerana pada mata saya, anda hanya agamawan yang berTuhankan nafsu, buta pada realiti, dan tuli pada perkara yang lebih besar mudaratnya. Isi dalam quran bukan hanya berbicara soal tudung,atau aurat.

Berpuluh ayat yang bercerita tentang kezaliman, kepentingan melawan mungkar, penyelewengan, riba. Tiada kemakmuran jika hanya menyuruh perempuannya bertudung maka mengharapkan ia datang. Tetapi terus membiarkan rasuah dan riba bermaharajalela. "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa Riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba),

Maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), Maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak Menganiaya dan tidak (pula) dianiaya."(Al Baqarah 278-279) .

Dai Wan, Akhir kalam saya menyeru anda untuk meletakkan keutamaan kepada perkara sepatutnya. Sedarilah, seorang wanita boleh menjadi fitnah kepada seorang lelaki. Ingatlah kisah Yusof yang terfitnah angkara Zulaikha. Bahkan nabi SAW juga bersabda "tidaklah aku tinggalkan kalian fitnah yang lebih besar melainkan fitnah wanita"(HR Bukhari dan Muslim).

Tetapi dalam hal ini, anda sendiri telah membiarkan diri anda terfitnah.Atau adakah anda merasa diri anda lebih baik maka surat itu ditulis bahkan anda merayu disebarkan pula?.Wallahualam.

Disebutkan dalam kitab Sittuna Qishshah kisah ahli ibadah yang masuk neraka dan ahli maksiat yang masuk syurga. Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda, “Pada zaman Bani Israil dahulu, hidup dua orang lelaki yang berbeza karakternya. Yang satu suka berbuat dosa dan yang lainnya rajin beribadah.

Setiap kali orang yang ahli ibadah ini melihat temannya berbuat dosa, ia menyarankan untuk berhenti dari perbuatan dosanya.Suatu kali orang yang ahli ibadah berkata lagi, ‘Berhentilah dari berbuat dosa.’

Dia menjawab, ‘Jangan pedulikan aku, terserah Allah akan memperlakukan aku bagaimana.Adakah engkau diutus Allah untuk mengawasi apa yang aku lakukan?.’Lelaki ahli ibadah itu berkata, ‘Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh-Nya atau kamu tidak mungkin dimasukkan ke dalam surga Allah.’

Kemudian Allah mencabut nyawa kedua orang itu dan mengumpulkan keduanya di hadapan Allah Rabbul’Alamin. Allah ta’ala berfirman kepada lelaki ahli ibadah, ‘Apakah kamu lebih mengetahui daripada Aku?

Ataukah kamu dapat merubah apa yang telah berada dalam kekuasaan tanganKu.’Kemudian kepada ahli maksiat Allah berfirman, ‘Masuklah kamu ke dalam surga berkat rahmat-Ku.’Sementara kepada ahli ibadah dikatakan, -Masukkan orang ini ke neraka.”(HR. Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Mubarak dalam Az-Zuhd, dan Ibnu Abi Dunya dalam Husn Az-Zhan, dan Al-Baghawi Syrah As-Sunnah.

-Siti Aishah- (Ustazah Celup)