Mangsa Rogol Polis Merayu Saksi Muncul Bagi Membantu Siasatan.
Seorang wanita, yang mendakwa dirogol anggota polis selepas diberikan minuman memeningkan, memohon saksi tampil untuk siasatan. Tukang jahit itu, yang dikenali Atie, mencari pasangan keturunan Cina yang cuba membantu membawanya ke balai polis awal pagi Ahad lalu, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian 2.30 pagi, wanita itu cuba menyelamatkan dirinya ketika dibawa ke sebuah hotel berdekatan ibu pejabat polis daerah (IPD) Wangsa Maju, di Jalan Pudu, di sini. Menurut mangsa, sebelumnya, beliau bersama anggota polis itu keluar bersama untuk mengambil telefonnya yang hilang daripada seorang lelaki di Cheras.
Wanita itu kemudian mengikuti suspek, didakwa bertugas di bahagian narkotik di IPD Wangsa Maju, ke sebuah pusat hiburan. Di situ, beliau berasa pening setelah mengambil minuman yang disyaki dicampurkan dengan sesuatu sebelum lelaki itu membawanya ke sebuah hotel. Meronta-ronta agar dilepaskan lelaki tersebut, wanita itu dilaporkan menahan kereta yang dinaiki pasangan berusia sekitar 30-an yang melalui di hadapan hotel berkenaan.
Lelaki itu didakwa mengugut pasangan tersebut dengan menunjukkan kad kuasa polis. Setelah gagal mendapat bantuan lain, wanita itu diseret semula ke hotel berkenaan sebelum dirogol.
Kejadian itu dilaporkan telah disahkan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa. Beliau berjanji tidak akan berkompromi dengan anggota yang terbabit dalam jenayah. - MalayMail