t>

Breaking News

Tiba-Tiba Munculnya Kebanjiran Ulat Secara Misteri Di Salah Sebuah Kampung Di Kedah, Apakah Petandanya?

Lebih 1,000 tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan di Kuala Tebengau, Kuala Kedah, di sini, hari ini, terpaksa makan dalam keadaan tidak selesa apabila diganggu dengan ribuan ulat yang tiba-tiba muncul di kampung berkenaan.
Difahamkan, ulat itu muncul sejak seminggu lalu tetapi bertambah banyak sejak empat hari lalu sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk kampung terbabit.
Bapa pengantin, Mat Ali Zainol, 56, berkata, majlis perkahwinan anak perempuannya, Qurratuaini Md Ali, 28, terpaksa diteruskan hari ini walaupun ulat itu makin banyak.
Katanya, sejak semalam dia menyembur racun serangga di sekitar kawasan rumahnya untuk mengurangkan kehadiran ulat itu tetapi hari ini ia semakin banyak menyebabkan lebih 1,000 tetamu yang datang makan dalam keadaan tidak selesa.
"Semalam kami turut menghubungi anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar untuk membantu memusnahkan ulat berkenaan dan ia sudah berkurangan semalam tetapi hari ini ia makin bertambah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini tadi.


Sementara itu, Pegawai APM Kota Setar, Leftenan (PA) Mat Zain Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.40 pagi semalam berhubung kehadiran ulat itu dan tiga anggotanya bertindak menebang ranting kayu dan pokok yang dipenuhi serangga itu sebelum memusnahkannya.
Beliau berkata, setakat hari ni pihaknya belum menerima maklumat baru berhubung kehadiran ulat yang makin bertambah dan akan mengambil tindakan segera sekiranya maklumat diterima.
Gambar : Penduduk, Mohd Fadzlee Mat Tahir,44, menunjukkan ulat yang tiba-tiba muncul di kampung mereka sejak seminggu lalu lapor Harian Metro.