t>

Breaking News

Perhimpunan Kami Didengari OIC, Bukan Macam BERSIH 5 Langgar Undang-Undang Sindir Najib Yang Berbangga OIC Layan Demo Najib Kecam Myammar.

Kekuatan suara rakyat Malaysia pada Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad lepas berjaya menarik tumpuan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kata Datuk Seri Najib Tun Razak


Perdana Menteri berkata susulan daripada perhimpunan itu, OIC akan mengadakan mesyuarat peringkat Menteri Luar dalam tempoh terdekat bagi membincangkan khusus isu penindasan Rohingya. 

Sehubungan itu, katanya, Malaysia akan berurusan dengan Sekretariat OIC mengenai mesyuarat itu yang diadakan bagi memastikan isu Rohingya dapat ditangani dengan sebaik-baiknya. 

“Perhimpunan yang kita adakan Ahad lalu didengari OIC dan mereka akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan apa yang menimpa etnik Rohingya,” kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran ulang tahun ke-10 Iskandar Malaysia di EduCity di sini, hari ini. 

Perhimpunan itu, yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengumpulkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh-tokoh politik, masyarakat dan negara sebagai tanda solidariti bagi menentang kekejaman terhadap etnik Rohingya. 

Najib juga menegaskan perhimpunan itu bukanlah tunjuk perasaan sebaliknya merupakan perhimpunan aman untuk menunjukkan pendirian rakyat Malaysia terhadap isu Rohingya. 

Beliau berkata perhimpunan itu juga berbeza dengan Bersih 5, yang merupakan demonstrasi jalanan dan tidak mempunyai permit undang-undang. 

“Apa yang kita lakukan ketika perhimpunan itu bukan tunjuk perasaan tetapi kerana kita berhimpun secara aman mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012. “Saya hadir kerana saya mahu suara rakyat Malaysia didengari dan diberi perhatian,” kata Najib

Turut hadir pada majlis ulang tahun ke-10 Iskandar Malaysia ialah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Datuk Ismail Ibrahim. — Bernama