t>

Breaking News

SKMM, Tutuplah Website Yang Ajar Proses Dadah Sendiri, Kata PENGASIH.

Pusat pemulihan penagihan dadah, Pengasih bimbang kerana kini golongan remaja mempunyai akses mudah untuk mendapatkan dadah menerusi Internet dan telefon pintar.
Pengasas dan Presiden Pengasih Yunus Pathi berkata remaja biasanya mula terjebak dengan dadah yang dapat dibeli di jalanan.
“Bila mereka tidak mampu membelinya, mereka ke online dan cari resipi dadah yang mampu memberikan kadar khayal hampir sama dengan dadah dibeli di jalanan,” katanya.
Beliau berkata ada beberapa laman web dan forum online yang boleh mengajar sesiapa jua “memasak” dadah mereka sendiri.
“Jadi, kalau mereka tidak cukup duit untuk beli syabu, mereka cari resipi online di komputer atau telefon pintar dan pergi ke kedai perkakasan terdekat untuk beli bahan diperlukan,” katanya.
Beliau berkata bahan itu termasuk pencair cat dan gam, dan kedua-duanya barang murah yang mudah didapati.
Yunus berkata dadah juga diiklankan dan dijual menerusi aplikasi jaringan sosial.
“Pengedar akan guna ‘nama jalanan’ dadah sebagai status atau logo mereka. Apa yang perlu dibuat ialah hubungi saja mereka,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan maklum balas yang diterima daripada penghuni Pengasih, dadah boleh didapati dengan mudah di jalanan.
“Dulu, orang terpaksa cari pengedar dadah. Mereka akan pergi pada mereka kerana tidak mahu pengedar tahu di mana mereka tinggal,” katanya.
Bagaimanapun, katanya sekarang banyak pengguna memilih perkhidmatan penghantaran di mana pengedar akan terus ke rumah mereka dan hantar dadah.
“Terlalu mudah untuk dapat dadah. Sudah tentu, orang akan tuding jari, tetapi siapa yang hendak disalahkan?
“Anda hendak salahkan semuanya pada polis, Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana tidak sekat laman web, atau Jabatan Pendidikan kerana gagal tangani perangai itu? Tidak adil untuk buat begitu,” katanya.
Yunus berkata ini kerana penyalahgunaan dadah dan ketagihan berlaku di seluruh dunia dengan penawar kepada masalah sosial itu ialah menerusi pendidikan dan kesedaran.
“Pencegahan ialah penawar terbaik untuk menangani dadah dan ia perlu bermula dari rumah dengan ibu bapa,” katanya.
Yunus berkata beliau berharap kerajaan dapat menutup laman web yang menyediakan “resipi” untuk memasak dadah.
Katanya, kerajaan juga perlu mengawal kedai perkakasan supaya individu bawah umur tidak boleh membeli bahan industri untuk masak dadah.
Awal tahun ini, Kementerian Dalam Negeri berkata 131,841 penagih dadah didaftarkan antara Januari 2010 hingga Februari tahun ini.
Daripada jumlah itu, 127,797 lelaki dan 4,044 perempuan.
Pengasih setakat ini menjadi satu-satunya pusat pemulihan dadah di Malaysia yang dikendalikan sepenuhnya oleh bekas penagih dadah lapor Free Malaysia Today.