t>

Breaking News

Laporan : Skim Pembiayaian Akhir Tidak Selesaikan Masalah Perumahan, Pembeli Jangan Terjebak - AMANAH.

Pemuda Amanah Nasional melihat rumah merupakan keperluan asas atau dhoruriyyat dalam kehidupan manusia sejajar konsep maqasid syari’ah.


Justeru, adakah rumah di Malaysia mampu milik selari dengan purata pendapatan rakyat di Malaysia?
Realitinya perumahan di Malaysia berada di luar kemampuan pendapatan rakyat iaitu 4.4 kali ganda berbanding pendapatan median rakyat RM4,585 ke bawah.
Terengganu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sabah adalah antara negeri yang sangat kritikal ketidakmampuan rakyatnya untuk memiliki rumah.
Kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), sebuah institusi pro-pemaju menyatakan industri hartanah bagi setengah tahun 2016 menunjukkan perumahan yang dibina dibawah RM200,000 hanya sekitar 14 peratus sahaja daripada keseluruhan unit perumahan yang ditawarkan.
Perumahan yang berharga RM300,000 ke atas mendominasi pasaran perumahan iaitu lebih daripada 50 peratus.
Berdasarkan laporan Bank Negara 2015, harga rumah RM165,060 dikategorikan sebagai mampu milik.
Majoriti rakyat di negara ini berpendapatan RM4,585 ke bawah, maka rumah mampu milik adalah antara RM165,060 dan RM242,000.
Malangnya, hanya 21 peratus sahaja rumah mampu milik yang dibina, lebihan penawaran adalah bagi hartanah bernilai RM500,000 ke atas.
Isu inflasi perumahan negara juga masih gagal ditangani dengan efektif sejak pelaksanaan RPGT, moratorium, duti setem serta beberapa inisiatif lain.
Oleh itu, Belanjawan 2017 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal menyentuh pemerkasaan aspek penawaran perumahan mampu milik dan mengekang kenaikan harga rumah yang berlipat kali ganda.
Skim Pembiayaan Akhir yang dilaksanakan ditentang sekeras-kerasnya oleh Pemuda Amanah dengan risiko dan impak negatifnya kepada pembeli untuk jangka masa panjang.
Justeru, faktor penawaran perumahan mampu milik yang rendah, harga rumah mahal tidak terkawal, serta pendapatan rakyat dan bebanan yang terus meningkat secara langsung memerangkap rakyat terbanyak dan bakal menjadikan generasi “homeless” akan datang.
Pemuda Amanah Nasional akan terus membongkar krisis perumahan negara yang berterusan menghimpit majoriti rakyat tanpa memilih kasih dan seterusnya menawarkan solusi-solusi bersifat jangka masa pendek dan panjang terhadap perumahan negara.
* Ammar Atan adalah Exco Pemuda Amanah Nasional.