t>

Breaking News

Ibu Bapa Patut Salahkan Diri Sendiri Kerana Gagal Didik Anak, Bukannya Cari Salah Guru.

Oleh : Zolkharnain Abidin

MENYANJUNGI GURU 

Gambar Oleh Google
1. Sehari dua ini, aku terbaca berita tentang ibu bapa yang marahkan guru kerana denda anak mereka cuci longkang sekolah. Bermacam-macam kata buruk dilempar kepada guru walaupun denda itu bukanlah keterlaluan dan masih berada dalam ruang lingkup mendidik. Dalam kes itu, guru disalahkan sepenuhnya sementara pelajar dan ibu bapa pula tak bersalah apa-apa. 

2. Bagi aku, dalam dunia ini, insan yang paling aku hormat adalah guru. Bukan hanya merujuk kepada guru subjek agama, tapi guru semua subjek hatta subjek lukisan dan seni. Tanpa guru seni, dunia ini akan kaku dan jemu. Kesenian menceriakan wajah dunia. 

3. Semasa di sekolah menengah, guru yang mengajar aku di peringkat SPM, majoritinya berkelulusan SPM saja (nanti aku cerita lain kali). Malah guru lukisan aku hanya rakan sekolah aku saja. Aku panggilnya abang, bukan cikgu sebab usianya tua dua tahun saja daripada aku. 

4. Siapa pun mereka, sampai sekarang, aku sangat terasa, jika tanpa mereka aku tak tahu, aku akan jadi apa. Justeru, aku sangat meluat dengan ibu bapa kini yang suka mencari kesalahan guru kepada anak-anak mereka di sekolah. Dia hanya nampak kelemahan guru tetapi tidak nampak kelemahan anaknya dan kelemahan dirinya sendiri. 

5. Ibu bapa sebegitu lupa, kelemahan anaknya berpunca daripada kelemahan diri mereka sendiri selaku ibu bapa. Mereka lupa, merekalah guru pertama anak-anak mereka. Jika mereka gagal sebagai guru di rumah, mengapa dicari kesalahan guru di sekolah? Apa yang ibu bapa itu buat semasa anak-anaknya berada di rumah? 

6. Ada ibu bapa yang hantar wasap marah-marah kepada guru kelas anaknya. Bahasa kesat digunakan. Dikata guru makan gaji buta, tak tahu mengajar, malas dan macam-macam lagi. Jika ibu bapa sebegini, dengan guru anaknya diguna bahasa kesat, agaknya bagaimana dia berkomunikasi dengan anaknya sendiri di rumah? 

7. Ada ibu bapa yang berasa dirinya lebih cerdik daripada guru anaknya. Ya, mungkin dia tahu gaji atau pangkat guru itu lebih rendah daripadanya. Kalau ibu bapa itu rasa begitu, dia patut ajar sendiri anaknya di rumah atau dia hantar ke sekolah lain yang boleh memuaskan hatinya. Atau, dia tak payah hantar anaknya ke sekolah langsung dan biarlah anaknya cerdik sendiri. Bukankah anaknya bagus dan guru anaknya tak bagus? 

8. Lebih menyedihkan, ada ibu bapa yang marahkan guru anaknya, tetapi dia sendiri tidaklah sehebat mana pun. SPM gred 3 saja. Dia salahkan kaedah mengajar guru, kononnya cara guru tak betul menyebabkan anaknya gagal. Cerminlah diri sendiri dan ajaklah anak untuk turut berdiri di depan cermin besar dan lihat diri sendiri sebelum salahkan orang lain. 

9. Biarlah guru denda anak kita dengan kadar yang wajar seperti cuci longkang, kerana itu akan menjadikan anak itu tahu letak duduk dirinya. Memanglah ibu bapa tak pernah suruh anak mereka buat itu semua di rumah, dan itulah sebenarnya kesilapan ibu bapa. Atas alasan sayangkan anak, kita memanjakan mereka tanpa batas sehingga mereka lemak dan liat. 

10. Ibu bapa mesti melihat guru sebagai penyelamat anak mereka. Hanya ibu bapa yang tidak cerdik saja yang berseteru dengan guru anak-anaknya di sekolah. Jika di rumah, anak-anak dibiar bebas bermotosikal ke sana-sini, berhand phone sepanjang hari, berkawan dgn sesiapa saja, balik rumah lewat malam, tiba-tiba jika anak itu gagal, guru di sekolah yang salah? Sebab itu saya kata ibu bapa sebegitu tidak cerdik. 

11. Ibu bapa tak perlu salahkan guru atas kegagalan anak, tapi salahkan diri mereka sendiri. Beban kesalahan juga wajar dipikul oleh anak itu sendiri atas kealpaan dirinya. Berilah kepercayaan penuh kepada guru. Hormatilah mereka sewajarnya. Sanjungilah mereka sebagai pembawa obor untuk manusia dan kemanusiaan sepanjang zaman.