t>

Breaking News

Betul Ke Tak Boleh Guna Air Mineral Untuk Bancuh Susu? Baca Penjelasan Ini.

APA SALAH AIR MINERAL??
Sebuah media tempatan telah menyiarkan satu artikel berkenaan bancuhan susu dalam air mineral. Ia dikatakan bahaya kepada buah pinggang dek kerana campuran susu formula dan air mineral mengandungi garam (sodium) yang tinggi. Adakah ini benar?
IANYA MITOS SEMATA-MATA!
Mari kita lihat dan fahami keperluan garam (sodium) bayi seharian dan bandingkan dengan kandungan dalam susu dan air mineral. Oleh kerana sodium adalah penyebab utama kerosakan buah pinggang dalam mitos ini, kita tumpukan pada kiraan sodium.
Had pengambilan sodium pada bayi berusia kurang satu tahun ialah 400mg/hari. Manakala 1-3 tahun pula lebih sedikit iaitu 800mg/hari. Kita jadikan 400mg sebagai had ambilan harian dalam kes ini.
Menurut kajian kandungan air mineral di Malaysia pada 2012, kandungan sodium dalam air mineral berpurata antara 0.01mg/L hingga 10.68mg/L. Perhatikan dalam gambar unit asal ialah mg/LITER, maka 10.68mg/L adalah bersamaan dengan 0.01068mg/ml. Ini bermakna satu ml air mineral mempunyai maksimum lebih kurang 0.01mg sodium.
Mari lihat pula kandungan sodium dalam susu formula bayi. Kadar purata kandungan sodium dalam susu formula bayi pula adalah antara 0.16mg/ml hingga 0.3mg/ml bergantung kepada jenis formula. Bermakna, satu ml bancuhan formula mempunyai maksimum 0.3mg sodium.
Kita ulang semula secara ringkas : 
Satu ml air mineral - 0.01mg maksimum sodium
Satu ml susu formula - 0.3mg maksimum sodium
Jika dibancuh susu dalam air mineral - jumlah sodium ialah 0.31mg dalam satu ml bancuhan susu itu.
Seorang bayi seberat 5kg minum purata 500ml sehari. Jika diberi bancuhan susu dengan air mineral, bayi itu akan dapat 500ml x 0.31mg/ml iaitu 155mg sodium sehari.
Bermakna, untuk melebihi had maksimum pengambilan harian bayi (400mg), jumlah susu diberi perlu 3 kali ganda dari keperluan harian bayi. Jika ini berlaku, bayi tidak sempat mengalami kegagalan buah pinggang kerana bayi tersebut akan mudarat kerana lebihan air dalam badan.
Maka, tiada masalah bagi membancuh susu formula di dalam air mineral!
Saranan kami :
1. Bancuhan susu perlu lah dilakukan mengikut kadar yang tertulis di tin susu formula.
2. Susu terbaik adalah susu ibu yang mana mengandungi kadar sodium 0.18-0.25mg/ml susu. Namun, jika ada aral dalam penyusuan susu ibu, menambah susu formula bukanlah satu dosa.
3. Apa yang lebih penting ialah penyediaan susu perlu lah dalam air bersih. Jika air mineral yang dibotolkan tidak perlu dididihkan (jika penutup masih belum dibuka). Jika air paip atau mineral terbuka perlu dididihkan bagi membunuh kuman.
Saranan kami juga kepada media semasa, mohon dapatkan fakta yang sahih dari ahli yang bertauliah. Dengan kebanjiran maklumat di media marcapada ini, tapisan yang lebih teliti perlu dilakukan. Apa yang anda kongsikan bisa mengelirukan dan mencetus panik pada masyarakat. Mohon perkuatkan etika kewartawanan anda.
Kita tak mahu situasi demikian berlaku...
"Abang, air takda ni nak bancuh susu anak, lupa nak bawak termos dari rumah tadi. Air mineral ni boleh bancuh tak bang? Belum bukak lagi ni pun, baru beli je."
"Ehhh...jangan!!! Nanti rosak buah pinggang baby nanti!! Hari tu abang baca kat Sxxxr Hxxxxn, nanti baby kena dialysis!!! Tu ada 100+ kat belakang tu, awak bagi baby yang itu ajee"
Sekian.