"Kalau Sayang Malaysia Kenapa Duduk New Zealand?" Permaisuri Johor Bidas Pengkritik Hospital Kerajaan.
Oleh : Malaysian Digest
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Ibni Sultan Idris Shah membidas pengkritik hospital kerajaan dengan dakwaan perkhidmatan kesihatan negara berada ditakuk lama.
Menerusi akaun facebook peribadinya, Raja Zarith berkongsi semula status yang dimuatnaik baginda pada tahun 2013 berhubung lawatan ke hospital kerajaan sempena Hari Bulan Sabit Merah.
Didalam status berkenaan, Raja Zarith berkata, hospital kerajaan hanya mengenakan caj rawatan yang murah sungguhpun menjalani pesakit pembedahan disamping menggunakan menggunakan ubat-ubatan yang mahal.
"Salah seorang pakar sakit puan berkata, negara memiliki salah satu sistem perubatan kerajaan terbaik, dan untuk membuktikannya beliau memberitahu saya, terdapat seorang pesakit (wanita Cina) yang mengalami pendarahan teruk dan diberikan lebih 20 liter darah.
"Mereka (pihak hospital) melakukan pembedahan keatasnya dan semasa pembedahan, ubat-ubatan yang diberikan berharga lebih RM200,000. Dia berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 42 hari. Bil hospitalnya? RM180.
"Jika dia ke hospital swasta suaminya perlu membayar puluhan atau ratusan ribu (ringgit)," tulis baginda.
Walaubagaimanapun seorang pengguna media sosial Lee Kee Shan mengkritik inisiatif kerajaan dan mencetuskan 'perang mulut' bersama Permasuri Johor berkenaan serta beberapa pengguna media sosial lain.
"En Lee Kee Shan - apa yang saya tulis adalah berkenaan PENJAGAAN KESIHATAN negara - di Amerika jika anda tidak kaya dan anda tidak mempunyai insuran kesihatan, anda tidak akan mendapat rawatan perubatan, pembedahan dan ubat-ubatan sepertimana rakyat Malaysia dapat.
"Dan saya TAHU apa yang saya tuliskan kerana saya mendapatkan dana untuk peralatan perubatan, katil hospital bagi HSA (Hospital Sultanah Aminah) dan HSI (Hospital Sultan Ismail)," balas Raja Zarith.
Kee Shan kemudiannya membalas bahawa tidak perlu mengagungkan perkara baik sebaliknya kekurangan yang perlu dititikberatkan.
Raja Zarith kemudiannya membalas:"Saya pergi ke hospital kerajaan di Johor Bahru untuk melawat rakan saya, ahli keluarga atau pekerja yang diwadkan. Salah seorang pekerja saya dimasukkan ke ICU tetapi kini sudah pulih - dan dibenarkan keluar.
"Saya boleh lihat keadaan hospital kita sudah tua dan wadnya penuh. Tetapi orang miskin tetap dirawat," ujarnya.
'Perang mulut' berterusan apabila Kee Shan kemudiannya membalas, "Saya tidak kisah dengan Amerika. Saya kisah dengan negara kelahiran saya".
Membidas kembali, Raja Zarith bertanya kepada Kee Shan: "Jadi apa yang KAMU lakukan untuk negara kelahiran kamu? Mengapa kamu tinggal di New Zealand?".
Sistem kesihatan Malaysia merupakan antara yang termurah di dunia sepertimana yang pernah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
Menurut Najib, kerajaan menampung subsidi sehingga 98 peratus kos perubatan di hospital dan klinik milik kerajaan dimana caj bagi sesi rawatan biasa hanyalah RM1 sementara temujanji dengan doktor pakar berharga RM5, di hospital kerajaan dan ubat-ubatan pula diberikan secara percuma.
Bagi tahun 2017, kerajaan memperuntukkan RM25 bilion bagi perbelanjaan kesihatan yang diagihkan kepada hospital kerajaan serta Klinik 1Malaysia seluruh negara.