t>

Breaking News

Bomoh Sebut Nama Siswa UPNM Yang Curi Laptop Punca Mati Didera Beramai-Ramai.

Harian Metro melaporkan, nama Zulfarhan Osman Zulkarnain, kadet yang mati didera kelmarin, disebut-sebut bomoh sebagai individu yang mencuri komputer riba. 


Laporan itu menyebut, bapa saudaranya berkata perkara itu dimaklumkan rakan baik mangsa melalui WhatsApp kepada ibu siswa itu Hawa Osman. 

Mesej itu menyebut Zulfarhan dipukul sebelum Ramadan lagi kerana dituduh mencuri walaupun beliau bukan satu-satunya pelajar yang disyaki. 

“Tapi Paan (Zulfarhan) jadi suspek sebab orang tanya bomoh la bagi keluar nama dia. Lepas tu nak bagi dia mengaku, kawan-kawan pukul dia beramai-ramai. “Arwah kena pukul dua hari sebab tidak mengaku,” mesej WhatsApp itu dipetik. 

Bagaimanapun laporan itu tidak menyebut nama bapa saudara dan rakan baik mangsa yang memberikan kenyataan. 

Sebelum ini media melaporkan Zulfahran, 21 meninggal dunia di Hospital Serdang pada jam 10 malam Khamis lepas dengan kesan melecur di dada, tangan dan kaki, dipercayai ditekap seterika wap. 

Seramai 36 pelajar direman bagi membantu siasatan kes kematian pegawai kadet laut tahun tiga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah mengarahkan UPNM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan segera, memetik sumber Malay Mail. 

Ibu saudara mangsa Hairiah Jelani pula menyifatkan keadaan mangsa “umpama daging bakar” dengan hampir semua tubuh ada kesan melecur. 

“Saya dimaklumkan doktor, arwah meniggal akibat melecur tahap tiga,” katanya. 

Sementara itu, Harian Metro juga melaporkan polis sedang menjejaki bomoh yang didakwa menyebut nama mangsa sebagai pelajar yang disyaki mencuri. 

Seorang doktor klinik swasta di Bangi tempat arwah dirawat pada 27 dan 31 Mei lalu juga akan dipanggil memberi keterangan, lapor portal akhbar itu. 

“Selain doktor itu, kami juga akan menjejaki dan merakam keterangan bomoh yang didakwa menyebut nama arwah sebagai individu yang mencuri komputer riba. 

“Suspek menggunakan alasan itu untuk memaksa Allahyarham mengaku tindakannya (mencuri),” kata ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat.