t>

Breaking News

Pasangan Daif Yang Viral Kantoi Penagih Dadah Rupanya.

Pasangan dari Kampung Huma di Tanjung Dawai, dekat sini, yang menjadi tumpuan selepas kisah mereka yang didakwa hidup daif menjadi viral di laman sosial, ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pagi ini. 

Lelaki berusia 31 tahun dan isterinya, 21, ditahan selepas mereka disahkan positif dadah jenis methamphetamine. Ujian itu dilakukan ketika pondok didiami pasangan berkenaan bersama anak perempuan mereka yang berusia dua tahun di kawasan kolam udang tinggal itu dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain, susulan maklumat yang tersebar melalui laman sosial. 

Gambar - Berita Harian
Yang turut serta, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Muda dan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda. Tajul Urus ketika ditemui berkata, semakan lanjut dilakukan mengesahkan wanita berusia 21 tahun itu baharu dibebaskan daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Bachok, Kelantan, bulan lalu. 

"Amat menyedihkan apabila ujian saringan dilakukan mengesahkan dia masih di bawah pengaruh dadah. "Pasangan itu juga mengaku sudah berkahwin, namun gagal mengemukakan dokumen untuk mengesahkan perkara itu. 

"Mereka kemudian dibawa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda untuk pengesahan status sebelum diserahkan kepada pihak ADK untuk tindakan lanjut. "Anak mereka diserahkan kepada JKM untuk ditentukan status penjagaan," katanya. 

Kisah pasangan daif berkenaan yang didakwa terabai itu, tersebar melalui media sosial sehingga mencetus pelbagai komen negatif, termasuk menuduh pemimpin setempat 'tutup mata' dan tidak prihatin dengan nasib menimpa rakyat. 

Tajul Urus pada masa sama menghargai keprihatinan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keluarga berkenaan, namun diharap dapat menyemak status mereka terlebih dahulu dengan pemimpin setempat bagi mengelak timbul sebarang masalah. 

"Dalam kes ini, lelaki terbabit menerima bantuan nelayan RM300 sebulan, namun kita bimbang jika sumbangan disalurkan orang ramai disalahgunakannya untuk tujuan salah, termasuk mungkin membeli dadah," katanya.

Sumber : Berita Harian Online