t>

Breaking News

Rohingya : Benarkah Buat Malaysia Tersepit? Ini Jawapan Dari Aktivis.

ROHINGYA : BENARKAH BUAT MALAYSIA TERSEPIT? SATU JAWAPAN “CHECKMATE”
Tulisan : Ustaz Hakim Mohd Nor, Setiausaha Serantau Muslim,019-4505360
1. Mereka dibunuh, dirogol, dibakar hidup-hidup. Rumah mereka dimusnahkan, tanah mereka dirampas, tidak dibenarkan untuk bekerja, dinafikan peluang pendidikan. Hak asasi mereka sebagai manusia dinafikan. Bahkan dihalau dari tanah air sendiri. Hingga digelar oleh PBB sebagai etnik paling tertindas di dunia.

2. Itulah Rohingya. Etnik yang menjadi bualan ramai pihak sejak sekian lama. Ramai yang simpati kepada nasib mereka. Namun, tak semena-semena, terbit tulisan menggesa Rohingya berhenti buatkan Malaysia tersepit.

3. Soalannya, benarkah Rohingya buat Malaysia tersepit? Mari kita jawab artikel tersebut secara fakta dan bukti empirikel.

4. Pertamanya, sebelum saya menulis jawapan balas artikel tersebut, suka saya ingatkan bahawa saya bukanlah mahu mengatakan saya paling faqih dalam isu Rohingya ini. Cuma saya terpanggil untuk menjawab kerana terdapat beberapa fakta boleh dianggap mengelirukan dan tidak tepat dalam artikel tersebut. Apatah lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya cukup aktif dalam isu isu pembelaan etnik Rohingya.

5. Mungkin ada tertanya apa autoriti saya dalam menulis isu Rohingya ini. Dengan penuh rendah diri, saya hanya boleh katakan saya hanya insan kerdil dalam perjuangan membela Rohingya ini. Namun, bila bekerja secara pasukan, saya tahu saya akan jadi kuat. Dan kekuatan kami di NGO Serantau Muslim adalah kerana kami fokus. Setahun dua ini memang kami bergelumang dalam isu Rohingya ini secara langsung. Saya dan Dr Raja Iskandar ,Pengerusi Serantau Muslim telah berjaya menulis dua buah buku berkaitan Rohingya dan saya juga menjadi editor kepada satu buku lain terbitan DMDI.

6. Dalam perjuangan membela Rohingya, Serantau Muslim turun padang bermandi lumpur bersama Rohingya dengan masuk sendiri ke wilayah bergolak Arakan (Rakhine) beberapa kali tahun ini. Kali terakhir kami ke sana pada Ramadhan lepas untuk menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada mereka. Dan kami juga merupakan salah seorang pencetus dan juga peserta program Food Flotilla For Myanmar, kapal flotilla yang berlayar dari Malaysia ke Myanmar serta Bangladesh.

7. Dalam siri pembelaan Rohingya, Allah berikan saya dan pasukan Serantau Muslim kekuatan untuk pergi menyantuni Rohingya di kem-kem pelarian Rohingya di Acheh, Indonesia dan Bangladesh. Kami juga tuntas bangkit pertahankan sekolah Rohingya yang hendak dirobohkan di Selangor hingga mendapat liputan berita utama. Dan kami tidak berhenti disitu, kami pergi sendiri ke ibu pejabat PBB di KL, Pejabat ASEAN di Jakarta dan Pejabat Komanwel di London semata mata untuk membawa isu Rohingya ini.

8. Pointnya, kami sangat fokus dalam isu Rohingya ini. Dan hati kami cukup terhiris apabila membaca artikel yang mengatakan Rohingya tak sedar diri, Rohingya keras kepala, Rohingya tak sedar dek untung dan lain lain. Semua mesej ini memberi gambaran betapa malang dan tersepitnya Rakyat Malaysia membantu dan melindungi Rohingya. Persoalannya, benarkah semua dakwaan itu?

9. Izinkan saya menjawab satu persatu tulisan yang tular tersebut. Pertamanya isu demonstrasi di Kuala Lumpur. Sabar dulu. Jangan cepat melatah. Kena tabayyun maklumat sebenar. Hakikatnya, mereka berhimpun bukan kerana nak tuntut kerakyatan Malaysia mahupun nak minta Malaysia benarkan lebih ramai pelarian Rohingya datang ke Malaysia. Sebaliknya mereka hadirkan kerana kami para NGO Islam (MAPIM, KP1M, PASRELIEF ,SERANTAU MUSLIM dan ramai lagi) yang menyeru mereka hadir bersama sama menyokong kami menyerahkan memorandum kepada kedutaan Myanmar. Saya ulang, kepada kedutaan Myanmar, bukan kepada kerajaan Malaysia. Mereka hadir tanda solidariti terhadap tindakan kami. Ya lah, memang sewajarnya mereka hadir kerana memo yang kami hantar itu adalah memo mempertahankan hak mereka. Kami ketuai penghantaran memo tersebut dan mereka hadir menyokong tindakan kami. Apa masalahnya di situ?

10. Keduanya, berkaitan dengan asal usul Rohingya di Arakan. Berdasarkan penulisan yang tular tersebut, sumber rujukan penulis asal ialah bussiness associate nya di Bangladesh. Namun sayang, faktanya kebanyakan tidak tepat bahkan menyimpang jauh dari kebenaran. Beliau menulis bahawa orang Rohingya ada di Myanmar kerana dibawa oleh British menjadi buruh di Myanmar. Fakta dari mana ni? Totally wrong. Saudara, orang Rohingya ini adalah etnik yang telah lama wujud di wilayah Arakan (sekarang di kenali sebagai Rakhine). Mereka ini ialah orang asal (indigineous people) di wilayah ini.

11. Penghuni asal wilayah Arakan ini ialah etnik Rohingya, mereka beragama Islam. Bahkan kerajaan mereka adalah kerajaan Islam dan menggunakan dinar emas sebagai matawang mereka sendiri. Dinasti Islam Arakan atau Kerajaan Mrauk U telah bertapak selama lebih 355 tahun sejak tahun 1430 sehinggalah tahun 1785. Dinasti tersebut telah berakhir apabila mereka tewas kepada peperangan dengan Dinasti Konbaung yang berpusat di Yangon pada tahun 1785. Mereka dijajah oleh Kerajaan Buddha (Dinasti Konbaung) selama hampir 39 tahun hinggalah British pula yang menjajah Arakan pada tahun 1825 hasil dari perjanjian Anglo-Burma pertama.

12. Penjajahan oleh British ini telah menyaksikan pentadbiran wilayah Arakan dari Yangoon telah dipindahkan ke pentadbiran British di India. Secara automatik, Arakan terputus hubungan dengan Yangon. Hinggalah pada tahun 1948, apabila Myanmar mencapai kemerdekaan dari penjajahan British, British menghadiahkan wilayah Arakan ini kepada Myanmar. Arakan yang tiada kaitan dengan Myanmar selama hampir 123 tahun itu kembali menjadi sebahagian dari wilayah Myanmar dan semua rakyat di dalam Arakan termasuklah etnik Rohingya menjadi warga Myanmar atau nama lamanya Burma.

13. Dari fakta ini jelas menunjukkan penulis asal telah menyeleweng fakta dengan mengatakan orang Rohingya berasal dari luar dan dibawa menjadi buruh di Myanmar. Penulis juga telah menyeleweng fakta yang diungkapkan oleh Perdana Menteri pertama Myanmar iaitu U Nu yang mengatakan Rohingya sebagai orang asal (indigenous people) di Myanmar. Hakikatnya, orang Rohingya yang mendapat kerakyatan Myanmar telah menjadi warga yang baik termasuklah menunaian tanggungjawab mengundi serta bertanding dalam pilihan raya dan ada diantara mereka memenangi pilihan raya dan menjadi ahli parlimen. Antaranya ialah Abdul Bashar, Zhora Begum, Abul Khair, Abdus Sobhan , Rashid Ahmed dan Nasiruddin (U Pho Khine). Bahkan , bukan sekadar itu, orang Rohingya juga telah diangkat menjadi Menteri Kesihatan Myanmar iaitu Sultan Mahmood.

14. Namun, semuanya berubah apabila kerajaan junta tentera pimpinan Generel Ne Win mengadakan rampasan kuasa (coup de teat) pada tahun 1962. Siri serangan dilakukan oleh junta tentera yang bertulangbelakangkan Sami Buddha terhadap Rohingya. Antara siri serangan terhadap Rohingya ialah serangan Nagasari pada tahun 1978 yang menyaksikan ratusan ribu orang Rohingya lari keluar menyelamatkan diri pada tahun tersebut. Dan pada waktu itu , difahamkan buat kali pertama orang Rohingya sampai ke Malaysia untuk mendapat perlindungan. Fakta ini semua ingin membuktikan satu perkara penting iaitu Rohingya sememangnya adalah orang asal di Myanmar dan bukannya buruh yang dibawa masuk oleh British ke Myanmar.

15. Ketiga, penulis tulisan tular itu juga mengatakan orang Rohingya suka menggangu ketenteraman dan memberontak. Erm.. Saudara, kalau ibu, kakak dan adik perempuan saudara dirogol dan diperkosa, saudara nak duduk diam sahaja ke? Ayah dan abang saudara dibunuh dan dipenggal kepala di depan mata, takkan saudara tidak memberontak? Nak redha dan tepuk tangan gembira? Aneh sungguh hujah saudara. Sedangkan anak kecil pun kalau kita rampas gula-gula dari tangannya pun dia akan memberontak, inikan pula kekejaman yang melampaui batas kemanusiaan. Dan sesungguhnya mereka bukan suka suka memberontak sebaliknya hanya bertindak demikian kerana diganggu hak asasi mereka untuk hidup. Itupun jumlah yang memberontak sangat minima dan terhad akses mereka di dalam kampung mereka sahaja. Majoriti mereka hanya mampu menangis dan pasrah pada takdir. Kalau saudara duduk di tempat mereka, agaknya apa pula tindakan saudara ya?

16. Keempat, Penulis juga berhujah katanya kalau Rohingya dapat berkelakuan baik dan berintergrasi dengan masyarakat Buddha di Myanmar, sudah pasti tiada masalah untuk mereka diiktiraf kewarganegaraan. Saudara, ini satu tulisan yang cukup meyimpang. Tahukah saudara bahawa pada tahun 1982 kerajaan Myanmar telah menggubal perlembagaan dan hanya mengiktiraf 134 entik di sana, sekaligus menjadikan Rohingya sebagai etnik yang tidak berwarganegara. Mereka dipaksa mengaku sebagai pelarian Benggali yang datang ke Myanmar. Sedangkan mereka adalah orang asal di tanah mereka. Mereka pernah keluar mengundi sebagai warganegara bahkan menjadi sebahagian daripada ahli parlimen dan menteri. Secara tiba-tiba kerakyatan dicabut. Bagaimana mereka nak berintegrasi jikalau mereka sendiri tidak diiktiraf sebagai warganegara?

17. Sebagai contoh mudah untuk saudara faham, boleh saudara bayangkan tiba-tiba di Malaysia, kerajaan umumkan orang Melayu bukan warganegara dan dikehendaki mengaku sebagai orang Bangladesh (sebagai contoh) sekiranya mahu kekal sebagai warga Malaysia. Boleh saudara terima keadaan itu?Sedangkan Melayu mempunyai sejarah , budaya dan warisan tersendiri. Sudah tentu kita tidak dapat menerima keadaan ini. Itulah yang berlaku terhadap Rohingya. Kerajaan Myanmar mengatakan Rohingya tidak wujud dan claim mereka ini Benggali. Lebih teruk lagi, Aun San Suu Kyi sendiri pada Mei 2016 siap mengeluarkan arahan larangan menggunakan perkataan Rohingya di Myanmar. Bahkan nama Arakan pun ditukar kepada Rakhine untuk menutup fakta sejarah. Nampak tak permainan depa?

18. Kelima, Penulis juga membawa kisah IPB (Indigenous People of Bangladesh), kononnya IPB terima tawaran Bangladesh untuk menjadi warganegara kerana sudi untuk hidup berintegrasi dengan majoriti rakyat Benggali . Disinilah sisi pandang silap penulis, apabila tidak menekan bahawa IPB diberikan kewarganegaraan . Isu paling penting di Myanmar, adalah isu kewarganegaraan. Rohingya dinafikan hak warganegara. Bukannya isu Rohingya tidak boleh integrasi. Hakikatnya, mereka sudah pernah berjaya integrasi dan menjadi sebahagian ahli parlimen kerajaan pun. Tapi mengapa tiba-tiba tarik balik kerakyatan mereka dan menafikan hak-hak asasi hidup, pendidikan, bergerak, memilik harta dan pelbagai lagi nikmat warganegara? Jadi sangat tidak adil mengatakan Rohingya tidak boleh integrasi menyebabkan mereka tidak mendapat warganegara.

19. Keenam, amat tidak adil mengatakan Rohingya secara keseluruhan bermasalah kalau disandarkan kepada satu dua insiden kecil. Sebagaimana wujud juga satu dua orang Melayu bermasalah, kita tidak wajar menghukum seluruh bangsa Melayu bermasalah. Begitu juga, tidak adil penulis menghukum Rohingya bangsa keras kepala tanpa membawakan sebarang bukti melainkan hanya dakwaan liar yang sangat tidak valid, iaitu masyarakat Rohingya tidak bersama dengan dasar asimilasi Myanmar.

20. Saudara, nak asimilasi apanya kalau mereka sendiri tidak diiktiraf sebagai warganegara. Kemudian saban tahun semenjak junta tentera merampas kuasa pada 1962, tak kurang dari 19 siri serangan dilancarkan kepada penduduk Islam Rohingya. Nampak tak seolah-olah saudara cuba meletakkan Rohingya di kandang orang bersalah sedangkan mereka ini setiap masa dibuli, dibunuh, dirogol dan dirampas hak mereka. Sepatutnya saudara perlu menulis menyalahkan kerajaan Myanmar kerana tidak berasimilasi dengan Rohingya dan bukan sebaliknya.

21. Ketujuh,Penulis juga mengatakan tidak setuju menganggap Myanmar sebagai religious state. Di sini nampaknya penulis tidak sedar kuasa dan pengaruh sami Buddha di Myanmar. Uprising 8888 yang terkenal dan telah mengangkat nama Aun San Suu Kyi itu sendiri sebenarnya berlaku hanya setelah sami Budha turun sama ke jalanan untuk berdemonstrasi. Penulis mungkin tidak tahu disana wujud gerakan tabata / 969 yang diketuai oleh sami Budha Akhsin Wirathu yang sentiasa membakar sentimen kebencian terhadap orang Islam di Myanmar. Majalah terkemuka dunia iaitu TIMES sendiri telah memaparkan muka Akshin Wirathu ini sebagai cover depan majalah dengan caption " the face of buddhist terror". Akshin ini juga telah menyifatkan orang Islam ini sebagai anjing. Rakaman video ucapan kebenciannya ada tersebar di merata tempat. Jadi, hujah penulis mengatakan masjid dibina bersebelahan kuil dibina tanpa ancaman adalah tidak benar sama sekali . Saya sendiri semasa ke Yangon pada tahun 2012 menyaksikan masjid di bakar oleh pelampau agama dan menyebabkan kematian beberapa guru agama Islam di sana. 

22. Kelapan, penulis kena tahu, di wilayah Rakhine itu bukan hanya diduduki oleh etnik Rohingya sahaja ada. Di situ juga wujud etnik Rakhine. Kalau hujah penulis Rohingya ini tidak diberikan warganegara kerana hidup dalam keadaan isolated (terasing), maka sudah tentu etnik Rakhine ini isolated (terasing) juga kerana duduk dan menginap di tempat yang sama. Tapi kenapa yang tidak diberi kewarganegaraan dan dibunuh itu hanya Rohingya sahaja. Kenapa etnik Rakhine dibiarkan hidup tanpa sebarang gangguan? Tak lain tak bukan ada faktor terpenting dan terbesar , iaitu kerana Rohingya itu Islam.

23. Kesembilan, Saudara, jangan pandang sebelah mata isu keagamaan ini. Benar, apa yang berlaku sekarang adalah isu kemanusiaan. Tetapi Rohingya ini 100% beragama Islam. Tidak ada etnik lain di dunia yang beragama Islam 100%. Melayu pun ada yang tak Islam. Melayu di Bali kebanyakannya beragama Hindu. Ada juga Melayu yang beragama Kristan. Orang arab pun tak semua beragama Islam. Tetapi Rohingya, mereka semua 100% beragama Islam.

Sebab itu kita kena lebih sensitif. Mesti ada semangat persaudaraan. Dalam Al-Quran surah Al Mukminun ayat ke 10, disebut setiap orang beriman itu bersaudara. Saudara lupakah bahawa orang Madinah terima berbondong-bondong kehadiran Muhajirin dari Mekah. Apa masalahnya kita menolong saudara seakidah di tanah air kita yang juga merupakan tuntutan Islam?

24. Kesepuluh, Saudara berhujah risau mereka ramai di Malaysia dan akan bersikap keras kepala kepada kerajaan Malaysia pula. Lebih dahsyat lagi, saudara cuba membina persepsi jahat terhadap Rohingya dengan cuba membandingkan mereka dengan pelarian Vietnam dalam beberapa post saudara sebelum ini. Saya mahu menjelaskan, pelarian Vietnam dan Rohingya ini langsung tak sama. Ibarat ayam dan lembu, sangat berbeza. Latar belakang permasalahan lain. Agama lain. Budaya lain. Bagaimana penulis dengan mudah meramalkan akan berlaku perkara yang sama. Dan penulis telah berniat serong apabila cuba memberi gambaran seandainya dibiarkan lebih lama umat Islam Rohingya di Malaysia maka akan jadi kekacauan sepertimana pelarian Vietnam di Pulau Bidong. Ini satu prasangka yang sangat kacau bilau dan penuh dengan kebencian.

25. Saudara, isu antara Rohingya dan Vietnam itu pun dah jauh berbeza. Mana mungkin saudara sanggup bayangkan kesudahannya boleh jadi sama? Sedarkah saudara sehingga sekarang Rohingya tidak diiktiraf warganegara. Dan pelarian vietnam itu pula sebaliknya. Sekarang, Mana orang Rohingya nak tinggal? Kalau kekal dalam Myanmar, mereka akan dibunuh. Sebab itu mereka terpaksa lari menjadi pelarian. Dan kepada siapa mereka nak minta pertolongan kalau bukan dari negara negara jiran yang majoriti beragama Islam seperti Bangladesh, Arab Saudi , Malaysia dan Indonesia. Malulah kita nak mengaku kita majoriiti beragama Islam tapi tak peduli dengan nasib Rohingya ini.

26. Saya tahu sebenarnya saudara turut sokong perjuangan membela Rohingya ini. Tapi dari tulisan saudara telah memberi gambaran yang terpesong mengenai etnik rohingya sehingga timbul sentimen seperti “janganlah terima pelarian ini”. Sabar dulu saudara. Isu pelarian ini adalah isu sejagat. Lihatlah apabila berlaku peperangan di Syria, jutaan rakyat Syria menjadi pelarian. Turki membuka seluas luasnya pintu kepada mereka. Begitu juga negara yang bukan Islam seperti German. Alhamdulilah, Malaysia turut ambil inisiatif yang sama menyambut pelarian Syiria. Dan kita semua sambut gembira bila orang Syria yang bermata biru ini masuk Malaysia, sampai wujud pula tular siapa nak kahwini janda Syria. Mentang mentanglah Rohingya ini berkulit gelap , tidak putih dan bermata biru seperti orang Syria, kita mahu meletakkannya di kelas kedua. Nampak sangat double standard di situ. Allahu.

27. Sebab itu, jangan sesekali kita cepat menjatuhkan hukuman kepada mereka. Beri mereka peluang, mereka masih dalam keadaan trauma. Mereka ketakutan, tiada perlindungan. Kita bantu mereka dengan sedaya upaya. Jujurnya, saya dan pasukan Serantau Muslim juga mempunyai hasrat agar mereka tidak lama di Malayisa, tetapi bukan dengan asbab mereka ini bermasalah, sebaliknya atas faktor mereka perlu menuntut semula hak mereka iaitu warganegara dan tanah air mereka sendiri.

28. Oleh yang demikian, sebelum mereka pulang menuntut hak mereka, kita perlu bantu bantu mereka persiapkan diri. Kita kena sediakan pendidikan untuk mereka, kita latih sifat kepimpinan mereka. Kita asuh semangat Islam mereka. Kita didik mereka menjadi orang yang lemah lembut sesama insan namun dalam masa yang sama tegas dalam memperjuangkan hak mereka.

29. Saya tahu kerja ini tidak mudah, kami sendiri telah habis banyak masa, tenaga, wang ringgit dalam perjuangan membela mereka. Namun dengan menyatakan mereka ini bangsa tak sedar diri, kedaulatan negara terancam , Malaysia tersepit, ia satu sifat paranoid yang sama sekali tidak menyelesaikan masalah. Sebaliknya hanya menimbulkan dan menyebarkan kebencian sahaja. Bayangkan satu hari nanti kita pula diberikan ujian yang sama, dan tidak ada satu negara mahu terima kita sebagai pelarian, apa pula yang kita akan tulis dan kata? Sebab itu ,jangan cepat menghukum. Sebaiknya mari kita bersama bantu memperjuangkan hak mereka.

30. Untuk pembelaan Orang Rohingya yang ada di Malaysia, jom sama sama kita sediakan pelan pembangunan kompetensi diri untuk mereka. Untuk rekod, itu yang sedang kami lakukan. Kita akui dengan penderitaan puluhan tahun dan sekatan kepada pendidikan, mereka membesar tanpa pedoman yang baik. Fitrah manusia , semua melakukan kelemahan dan kesilapan. Namun untuk menghukum mereka bukan kerja kita. Apatah lagi ,mereka sudah berada di samping kita. Sebagai rakyat Malaysia yang penyayang dan prihatin, semestinya kita semua mahu bersatu hati untuk membantu membina semula sebuah bangsa Rohingya yang bertamadun . Bila mereka silap kita tegur dan nasihat. Dan jauh sekali memilih untuk bersikap pentingkan diri dan tidak peduli dengan nasib mereka. Sayu hati baca komen komen di Facebook mengatakan padan muka Rohingya kena bunuh. Allahu. Jangan macam tu, hari ini mereka dalam kesusahan. Kalau bukan kita yang bantu dan peduli nasib mereka, siapa lagi?

31. Saya teringat kisah tauladan rakyat antara tikus dan ayam. Satu hari, tikus mengadu kepada ayam kerunsingan hatinya apabila tuan rumah membeli perangkap tikus. Ayam dengan sombong berkata itu bukan masalahnya. Tidak berapa lama kemudian, tikus itu mati di perangkap tikus. Bangkai tikus itu telah menarik perhatian ular. Ular masuk ke dalam rumah untuk makan tikus itu. Tuan rumah tidak perasan kehadiran ular dan akhirnya ular itu telah mematuk kaki tuan rumah. Tabib yang merawat tuan rumah mengatakan untuk merawat bisa patukan itu mestilah dengan meminum sup ayam. Akhirnya ayam yang sombong turut menemui ajalnya kerana sikap tidak mahu peduli masalah tikus. Kita tidak mahu menjadi seperti ayam yang tidak mahu berbuat apa apa apabila masalah di depan mata. Akhirnya, yang rugi adalah diri kita juga.

32. Apa yang kita mahukan ialah menjadi bangsa Malaysia yang bersikap prihatin dan proaktif. Sebab itu, ayuh bersama kita ambil langkah proaktif dengan kita sediakan pendidikan buat anak-anak Rohingya ini. Sebab kita percaya, kalau tiada pendidikan, kita khuatir anak anak Rohingya ini membesar dengan tidak sempurna dan membawa kesan buruk kepada masyarakat. Dan kita juga perlu mengembleng tenaga untuk menyediakan pelan pembangunan perniagaan dan keusahawanan dalam diri mereka supaya mereka mampu survive tanpa bergantung harap kepada mana mana pihak. Tapi, kami tak kan mampu jalankan semua ini seorang diri . Sebab itu kami seru untuk anda semua ayuh bersama kami dalam urusan ini.

33. Bagaimana pula pelan bertindak yang lain? Ya , kami di peringkat NGO Islam tidak akan berhenti mendesak masyarakat antarabangsa untuk terus menerus memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar hinggalah mereka menyelesaikan permasalahan asas isu Rohingya ini iaitu kewarganegaraan. Pelbagai perancangan kami bincangkan, termasuklah boikot Myanmar dari sudut ekonomi serta mengancam menghantar pulang semua rakyat Myanmar yang bekerja di Malaysia sekiranya perlu. Kami percaya, bila semua rakyat sebulat hati dan bersatu padu membela hak Rohingya ini, Insya Allah Myanmar akan tunduk kepada gesaan dan permintaan kita.

34. Kesimpulannya, Rohingya sama sekali tidak membuatkan Malaysia tersepit. Buat Rohingya di Malaysia, Sesungguhnya kami terima anda semua dengan hati yang cukup terbuka. Dalam masa yang sama, kami tak mahu anda rasa cukup selesa disini sehingga melupakan kampung halaman kamu. Kami mahu anda belajar membangunkan kompetensi diri dan kembali semula menuntut hak wilayah Arakan serta kewarganegaaraan Myanmar anda. Kami pula akan terus menerus menekan semua pihak untuk menjayakan hasrat ini. Biarlah apa jua orang tulis, tapi ketahuilah Rohingya, anda tidak pernah keseorangan. Selamat Malam Rohingya kini bertukar Selamat Pagi Rohingya! Sinar cahayamu terang. Hakmu akan terbela jua. Insya Allah.! Checkmate!

Ustaz Hakim Mohd Nor,
Setiausaha Serantau Muslim,
019-4505360, muhakim@gmail.com,
www.smuslim.com
2 September 2017