Perubatan Nabi Bukan Perubatan Yang Gila..
Oleh : Ahmad Faidhi Mohd Zaini
PERUBATAN NABI BUKAN PERUBATAN GILA.
Saya melihat dengan penuh terpana satu prosedur yang didakwa Perubatan Nabi yang digelar Fasdu. Saya terpaksa menyemak kitab Tibb Nabawi berkali-kali apakah sebegitu gerangannya yang dikata Perubatan Nabi?
1. Memang benar ada disebut dalam Hadith tentang Fasdu, namun adakah ia sebagaimana dipraktikkan 'perawat' tersebut.
2. Mereka sendiri mendefinisikan Fasdu sebagai Venesection. Ia bermaksud mengeluarkan darah dari Vena, bukannya Arteri. Dalam video ini ditunjuk Posterior Tibial Artery yang ditebuk, ada satu video lain ditebuk Dorsalis Pedis Artery. Darah arteri memancut bila ditebuk kerana tekanannya tinggi berbanding Vena.
3. Betul kah mereka ni perawat yang pakar? Apakah mereka tahu beza arteri & vein? Jika rujuk kitab Tibb Nabawi karangan Ibnu Qayyim dalam bab Hijamah & Fasdu pun merujuk kepada Vena.
4. Banyak aspek boleh diteliti malah boleh dipertikaikan tentang kaedah Fasdu ini sebelum dipraktikkan dengan dakwaan ia Sunnah Nabi. Antaranya;
a. Sejauh manakah ia betul-betul mengikut kaedah yang ditunjuk Nabi. Perawat yang terlibat harus merujuk hal ini dari sumber Hadith dan syarahnya yang sahih menurut Ilmu Mustalah Hadith.
b. Jika kaedahnya tepat sebiji sebagaimana diamalkan Nabi sekalipun, ia bukanlah Sunnah yang dituntut (Tasyriiyyah). Menurut Ibn Khaldun, apa saja amalan perubatan Nabi, ia hanyalah hasil amalan kebiasaan dari budaya Arab zaman tersebut. Rujuk Mukaddimah Ibnu Khaldun.
c. Dalam Kitab Tibb Nabawi karangan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, beliau menyatakan tempat, waktu, keadaan, cuaca termasuk kelompok manusia yang dibolehkan dan tidak dibolehkan untuk Hijamah dan Fasdu. Dinyatakan juga khilaf perbezaan ahli perubatan di zaman tersebut tentang amalan Hijamah/Fasdu ini. Apakah perawat ini maklum berkenaan hal ini?
d. Indikasi Hijamah atau Fasdu dalam Tibb Nabawi tulisan Ibnu Qayyim dan yang lainnya seperti Az-Zahabi dan Imam Suyuti adalah berpandukan ilmu perubatan zaman itu. Konsepnya masih berpandukan kepada 4 elemen humour warisan dari Hippocrates & Galen yang dimasyhurkan Ibnu Sina kepada ilmuan Muslim iaitu darah, yellow bile, phlegm & black bile. Hanya penyakit yang berkaitan darah (sanguineous) sahaja yang boleh Hijamah/Fasdu. Yang 3 selainnya perlu makan madu. (Rujuk mukasurat yang disertakan)
e. Jika penulis kitab Tibb Nabawi pun menakalkan faktor 4 humour & 4 elemen sebagai indikasi Hijamah/Fasdu, dari mana pula datangnya dakwaan tentang Fasdu menghilangkan kolesterol dan asid? Kolesterol ni zaman sekarang baru disebut. 150 tahun dulu orang tak kenal pun kolesterol.
f. Maka pelopor Hijamah/Fasdu yang berasaskan Tibb Nabawi hanya mengupas indikasi kaedah tersebut mengikut tahap ilmu perubatan di zamannya yang masih menyandarkan asbab penyakit kepada 4 humour yang disebut diatas dan 4 unsur iaitu angin, api, air dan tanah. Sedangkan ilmu perubatan moden mencerakinkan asbab penyakit berpunca dari pelbagai patologi seperti metabolik, jangkitan, penuaan, kanser, racun, toksik, keradangan, kelenjar hormon, pendarahan dan trauma. Rawatan setiap penyakit adalah berlainan mengikut punca asbabnya. Bukannya semua penyakit boleh pakai Hijamah/Fasdu.
5. Justeru saya menyeru agar perawat Islam agar tidak gopoh mendakwa mereka mempromosi rawatan Sunnah. Perubatan Sunnah Nabawi adalah perubatan yang SELAMAT (SAFE) dan BERKESAN (EFFECTIVE) berdasarkan bukti yang jelas (EVIDENCE BASED). Bukanlah dari perubatan Nabi jika tiada asas agama dan perubatan, malah boleh menjadi HARAM kerana memudaratkan dan menipu pelanggan dalam keadaan perawat itu JAHIL ilmu perubatan.
6. Masyarakat diharap tidak mudah terpedaya dengan dakwaan melampau sesetengah perawat sebegini yang jahil ilmu perubatan dan agama. Mereka kelak bukan sahaja sesat dan menyesatkan, malah membahayakan nyawa umat ini.
7. Bersama kita banteras golongan sebegini. Salah faham dan kejahilan mereka hanya akan mendatangkan fitnah dan imej buruk kepada Islam. Akhirnya bukan Yahudi yang jatuhkan orang Islam, umat Islam yang jahil murakkab menjatuhkan Islam itu sendiri.
Nota sipi :
A. Darah yang berketul kehitaman semasa Hijamah (bekam) atau Fasdu seperti yang ditunjuk bukanlah bermakna darah itu kotor. Allah ciptakan darah dengan faktor pembeku (clotting factor). Jadi darah manusia yang keluar akan membeku kehitaman sebegitu, termasuk juga darah lembu.
B. Perbuatan perawat memegang meramas darah tanpa memakai sarung tangan menunjukkan kejahilannya dalam ilmu perubatan. Dia tak tahu bahaya perbuatan sedemikian. Hindarkan perawat sebegini.