t>

Breaking News

Kronologi Kenapa Pak Haji Ini Lekatkan Tangannya Di Pejabat Caltex.

HAJI Fadzilah Abdul Hamid merupakan seorang bekas pengusaha stesen minyak yang telah berkhidmat selama 17 tahun sebagai pengusaha stesen minyak Caltex.


Pada Mei 2017 beliau dan beberapa pengusaha lain menerima notis mengosongkan premis dalam masa 30 hari (tarikh) gara-gara keengganan mereka membayar caj yang tidak sepatutnya dibayar dalam Perlaksanaan Perkhidmatan Layan Diri Di Stesen-Stesen Minyak.

Setelah membuat pembayaran tuntutan yang diputuskan mahkamah persekutuan sebanyak RM300,000.00 kepada pihak Caltex, perkhidmatan beliau pula ditamatkan secara tidak adil dan mengejut.

Perlu diingatkan bahawa, Surat bertajuk Perlaksanaan Perkhidmatan Layan Diri Di Stesen-Stesen Minyak bertarikh 11 April 2000 yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia telah menyebut dengan jelas bahawa:-

‘segala kos bagi melaksanakan perkhidmatan layan diri termasuk pemasangan alat-alat otomasi dan senggaraan pembiayaan alat-alat tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh syarikat minyak dan tidak dikenakan sebarang caj sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada pengusaha-pengusaha stesen minyak’.

Beliau yang merasa tertindas dengan tindakan Caltex telah hadir ke PPIM bagi membuat aduan dan memohon bantuan bagi menegakkan kebenaran serta menuntut semula bayaran deposit yang telah dibayar kepada Caltex.

Sekitar bulan Julai lalu, PPIM melalui Unit Tindakan Khas PPIM yang diketuai oleh Pengarah UTK, Yusuf Azmi telah mengadakan satu perjumpaan bersama Pengarah Chevron di Menara Mellinium bagi memohon tarikh perjumpaan secara rasmi untuk berbincang mengenai isu ini.

Pihak-pihak berwajib seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) masih lagi mengambil sikap untuk berdiam diri walaupun setelah pertemuan diadakan di antara pengusaha minyak yang tertindas dengan pihak tersebut.

Setelah berkali-kali permohonan untuk bertemu dengan pihak Caltex tiada maklum balas, hari ini Haji Fadzilah mengambil keputusan untuk melekatkan tangan beliau dilantai pejabat syarikat menggunakan Gam Gajah tetapi malangnya beliau tidak diendahkan sama sekali oleh syarikat tersebut sehingga kini.

Justeru itu, pihak KSU digesa untuk campur tangan berhubung isu terbabit memandangkan isu ini dibawah pengurusan KSU. Malahan, kami juga berharap supaya kes ini dapat membuka mata pihak berkaitan agar perkara ini tidak terjadi lagi terutamanya apabila ia melibatkan pengusaha Bumiputera yang berpengalaman.

Haruskah bekas pengusaha Caltex dilayan seperti ini meskipun beliau telah berkhidmat dengan Caltex selama 17 tahun?.

Sumber : Facebook Yusuf Azmi PPIM