t>

Breaking News

Isteri Mengandung Maut Dihempap Rak Kasut.

Suri rumah sedang sarat mengandung lapan bulan maut dipercayai dihempap rak kasut di rumahnya di Seksyen 23, di sini, petang semalam.

Mangsa Nor Haslina Harun, 35, dipercayai sedang memeriksa rak kasut yang digantung di bahagian dinding rumah kira-kira jam 6.30 petang.


Menurut suami mangsa, Izrisham Hussin, 36, sebelum ini isterinya pernah mengadu keadaan rak kasut yang sudah dimakan anai-anai dan kedudukan yang sedikit renggang.

"Selepas makan semalam, Nor Haslin keluar menutup pintu pagar dan saya percaya dia cuba membetulkan rak kasut yang renggang itu.

"Bagaimanapun, rak itu menghempapnya. Ketika kejadian, saya berada di dalam rumah,"katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Jelasnya, dia percaya isterinya meninggal dunia di tempat kejadian memandangkan keadaan yang agak parah.

"Saya terus menghubungi hospital kerana melihat bayi yang dikandungkan isteri masih bergerak.

"Bagaimanapun, bayi perempuan itu disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Shah Alam," katanya.

Mangsa meninggalkan tiga anak, iaitu seorang lelaki dan dua perempuan, berusia antara empat hingga sembilan tahun.

Kira-kira jam 11 pagi tadi, mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata siasatan mendapati rak kasut setinggi 2.4 meter itu menghempap kepala mangsa menyebabkan kecederaan parah.

Sumber : Berita Harian