t>

Breaking News

Kronologi Kes Cikgu Azizan & Kisah Melempang Budak Yang Menghidu Gam.

Hashtag #CikguAzizan menjadi viral sejak beberapa hari kebelakangan ini disebabkan kes saman yang dihadapi oleh guru berkenaan.


Menurut laporan dari NUTP kes itu tercetus disebabkan;

1. Cikgu Azizan mendenda seorang murid sekolah atas empat jenis kesalahan;

- Menghidu gam di dalam kawasan sekolah dan mempengaruhi 3 yang lain untuk menyertainya. Kesalahan menghidu gam dilakukan sejak tahun 2016 lagi;

- Membuli;

- Memukul murid lain;

- Memonteng dengan memanjat pagar sekolah.

Cikgu Azizan adalah Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.

Cikgu Azizan telah memilih 'tampar' sebagai hukuman ataupun denda kepada seorang murid yang berusia 11 tahun ketika itu.

Denda tersebut dijalankan pada 6 April 2017 pada jam 7.30 pagi di tapak perhimpunan sekolah berkenaan.

Murid yang ditampar itu mendakwa telah cedera di bahagian pipi kirinya.

2. Pada 31 Oktober 2017, cikgu Azizan yang juga tertuduh dalam kes ini telah didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Jenayah di Mahkamah Majistret Seremban. Sebutan kes dibacakan pada hari itu.

3. Selepas Hakim menyebutkan dan membicarakan pertuduhan ke atas cikgu Azizan, beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

4. Hakim juga membenarkan ikat jamin sebanyak rm500.

5. Pada 27 November, dokumen pertuduhan diserahkan kepada cikgu Azizan.

6. Pada 19 Disember, iaitu hari ini sepatutnya perbicaraan kes bermula.

7. Bagaimanapun, Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan membebaskan tanpa melepaskan cikgu Azizan.

8. Perkara itu diputuskan begitu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

9. Alasan menarikbalik pertuduhan juga tidak dimaklumkan.

10. Meskipun tidak dibicarakan dan dibebaskan tetapi cikgu Azizan boleh didakwa semula atas kes yang sama kerana keputusan hakim bagi sebutan kes ini ialah dibebaskan tanpa dilepaskan.

11. Cikgu Azizan diwakili peguam Francis Pereira. 

12. Turut dimaklumkan, lebih 300 orang yang menyokong Cikgu Azizan termasuk guru dan penduduk sekitar Taman Semarak, selain wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hadir di Kompleks Mahkamah Seremban memberi sokongan moral kepadanya sejak jam 8 pagi tadi.  

13. Di website pendidik2u, undian online dilakukan terhadap cikgu Azizan dan kira-kira 99.79% yang mengundi menyatakan sokongan kepada cikgu berkenaan iaitu;

172,709 menyatakan sokongan
368 memilih berkecuali


14. Ketika ini gambar murid 11 tahun yang didakwa ditampar kerana menghidu gam tersebar di laman sosial.

15. Tidak hanya gambar murid tersebut, malahan gambar keluarganya turut menjadi viral dan menjadi gosip di kalangan netizens.

16. Kami tidak menyiarkan gambar berkenaan atas alasan kes telah ditarikbalik dan budak tersebut masih dibawah umur.

17. Di media sosial rata-rata menyambut baik keputusan berkenaan dan menyokong cikgu Azizan.

18. Ketika dibebaskan tanpa dilepaskan, Cikgu Azizan dengan nada menangis mengucapkan terima kasih pada pihak yang menyokongnya selama ini. Cikgu Azizan juga menyatakan beliau tidak berdendam dengan pihak yang menyebabkan kes ini berlanjutan sehingga ke proses perbicaraan di mahkamah.

19. Dalam pada itu, rata-rata guru merasakan kekesalan berhubung tindakan sesetengah ibu bapa yang lebih suka menggunakan kuasa mahkamah dan saman dengan mengabaikan proses budi bicara dan berbincang dari hati ke hati. 

20. Sesetengah ibu bapa juga tidak membenarkan guru-guru mendenda anak-anak yang biadap bagaimanapun apabila anak-anak gagal dalam pelajaran, guru dipersalahkan.

Perkara itu melemahkan semangat cikgu untuk mengajar dan mendisplinkan anak-anak di sekolah. Sampai bila profesion perguruan perlu campurtangan keterlaluan dari ibu bapa yang membela anak sendiri membuta tuli tanpa mendengar penjelasan dari pihak sekolah? Itu menjadi persoalan mereka. Fikirkan. - SoZPress.