t>

Breaking News

Mungkin Cikgu Patut Sekadar Punch Card, Mengajar Dan Pulang, Tak Perlu Sibuk Hal Murid-Murid Lagi..

Isu Cikgu Azizan ni semua dah tau dah rasanya, dah nak bicara pun besok. Sebenarnya start cerita ni tular aku asyik mencari maklumat berkaitan pelajar yang terbabit. Maklumat kedua orang tuanya, apa cerita sebenar mereka. Tapi pandai je dema ni menyimpan rahsia. Senyappp je.
Apa yang sebenar-benarnya terjadi? Jika diikutkan pertuduhan, Cikgu Azizan dituduh atas Seksyen 323 KK. Aku ni bukanlah mahir sangat bab undang-undang ni tapi setelah berguru dengan Prof Google beberapa hari ni aku tahu la yang 323 KK ni adalah pertuduhan mendatangkan kecederaan, tanpa senjata. Kalau 324 KK, mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.
Gambar hiasan
Jadi aku dapat gambaran yang Cikgu Azizan ni ada 'naik tangan' dengan budak ni. So dari satu sudut Cikgu Azizan dah melanggar SOP. Yes, aku katakan memang Cikgu Azizan melanggar SOP.
So bagi aku kes ni simple, kalau pendakwa raya berjaya membuktikan yang Cikgu Azizan ada 'naik tangan' pada pelajar, sah-sah beliau akan didapati bersalah!
Simple as that.
*******
Ok, sekarang ni yang buat kita sensitif, yang buat kita kecoh-kecoh bersolidariti untuk Cikgu Azizan ini hanyalah atas dasar sentimen. Sebab kita rasa kasihan pada beliau kerana tujuan beliau adalah untuk mendidik budak itu. Lagi-lagi bila beliau menggunakan alasan mendenda pelajar yang menghisap gam, membuli dan beberapa kesalahan yang lain.
Well, aku rasakan benda itu tidak akan memberi kesan langsung kepada kes tersebut. Sebabnya?
Sebab KPM telah menyediakan garis panduan atau pun SOP yang cukup jelas dalam menangani masalah disiplin di sekolah. Dan dalam SOP tersebut jelas: tiada unsur-unsur 'naik tangan'. JELAS.
Hah, apa pasal? Dah terbakar dengan kenyataan aku tu. Dah benda ni clear, SOP cakap jangan 'naik tangan' dengan pelajar. Bila dah langgar SOP, menjawab je la.
*******
Aku mengaku aku dulu pun jenis cikgu yang cepat 'naik tangan'. Lagi-lagi masa di awal-awal posting, semangat tengah membuak-buak kata orang.
Ada banyak sebab sebenarnya cikgu-cikgu 'naik tangan'. Antaranya mood tengah tak baik, saja gatal tangan, dengki dekat budak etc. Tapi yang lebih banyaknya cikgu-cikgu 'naik tangan' adalah untuk MENDIDIK.
Gambar Hiasan
Berhadapan dengan puluhan, ratusan malahan mungkin ribuan pelajar bukannya satu perkara yang mudah, ianya menuntut kesabaran dan nilai toleransi yang tinggi amat. Dalam sesetengah situasi, memang kadangkala cikgu-cikgu terpaksa juga 'naik tangan', kadangkala secara tidak sengaja. Namun itu pastinya merupakan langkah yang terakhir, setelah puas memberi amaran, puas diacah, puas digertak.
Tapi di alam pendidikan hari ini, nampak gayanya kaedah untuk mendidik seperti itu sudah tidak boleh diterima pakai.
*******
So cadangan aku pada cikgu-cikgu semua, kita ada 2 pilihan sekarang ini:
Pilihan 1:
Bagi cikgu-cikgu yang gigih nak mendidik anak-anak bangsa di sekolah tu, desak pihak atasan terutama di peringkat pembuat dasar. Kemaskinikan SOP, ambil pendekatan 'mesra pendidik' atau berorientasikan pendidik, bukan beorientasikan pelajar semata-mata. Kalau masih dengan SOP yang ada sekarang, maka jawabnya menjeling pelajar pun sudah melanggar SOP sebenarnya.
Atau pun kita ikut sahaja Pilihan ke-2:
Pagi-pagi kita ke sekolah, punch card. Kita masuk kelas mengikut jadual yang ditetapkan. Kita ajar pun ikut je silibus yang telah ditetapkan.
Masa mengajar kita jangan marah, kita pesan pada budak-budak:
"Yang nak belajar dengar baik-baik. Yang tak nak belajar, cikgu mohon jangan kacau yang nak belajar."
Kalau pelajar melanggar peraturan, kita buat catatan. Laporkan mengikut SOP yang telah ditetapkan. Jangan pukul mereka, jangan sentuh mereka pun.
Lagi satu, dengan pelajar ni kita tak perlu nak berbaik sangat. Sebab bila kita sayang pelajar ni susah juga, nanti kita terlalu mengambil berat berkenaan mereka pulak. Kita jangan peduli sangat latar belakang mereka, tak perlu ambil tahu pun urusan keluarga mereka.
Habis masa mengajar, kita pun keluar kelas. Jika ada kerja-kerja perkeranian, kita buat; jika tiada, bolehlah kita ke kantin, sembang-sembang dengan rakan sekerja. Cukup masa kita pun punch card untuk balik.
Ingat, para pelajar adalah pelanggan kita. Customer is always right. Lebih-lebih lagi ibu bapa mereka. Kita perlu menjaga hati mereka, sebaliknya pula mereka tak perlu pun menjaga perasaan kita. Jika mereka tertekan, kita akan dipersalahkan. So berhati-hati ye. Cikgu-cikgu kalau tertekan, sila berhubung dengan Kaunselor Organisasi. Kalau tak jalan, sila mereput sendirian.
Pendek kata, hari ini lebih baik kita menjadi robot yang mengajar. Tak perlulah nak jadi CIKGU sangat!