t>

Breaking News

Pelajar 16 Tahun Diculik Lelaki Menyamar Polis.

Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dipercayai dilarikan oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai anggota polis bernama Faiz di rumahnya di Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, semalam.

Menurut ibu mangsa, Wan Maziah Wan Mat, 37,  anaknya, Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi keluar membeli buku adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Gali, yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya dengan menaiki motosikal pada pukul 11 pagi sebelum kejadian.



Jelas ibunya, Nur Syaminn yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ruan singgah membeli pisang goreng di kedai berdekatan simpang Ulu Gali ketika pulang dari membeli buku sekolah adiknya.

“Di situ dia bertemu seorang lelaki mengaku anggota polis meminta tolong untuk membawa balik motosikal yang didakwa baru dibelinya di kedai di Sungai Ruan,” katanya yang dipetik dari laporan Harian Metro.

Wan Maziah berkata, lelaki itu kemudian mengikut anaknya pulang ke rumah mereka dan bertemunya.

“Dia memperkenalkan diri sebagai Faiz, anggota bertugas di Balai Polis Sungai Ruan.

“Katanya dia mahu meminta tolong anak saya mengambil motosikal baru dibelinya. Tanpa syak wasangka saya membenarkan Nur Syaminn mengikut lelaki berpenampilan kemas berusia lingkungan 20-an itu menaiki kereta berwarna perak," katanya.

Menurut ibu mangsa, sekitar pukul 3 petang dia menerima panggilan telefon daripada anaknya mengatakan berada di Gua Musang, Kelantan.

“Sambil menangis dia memberitahu gelang emas dipakainya diambil lelaki itu sebelum talian diputuskan,” katanya.

Menurutnya, berikutan itu satu laporan dibuat di Balai Polis Sungai Ruan pada 4 petang semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dibuat ibu mangsa dan memaklumkan siasatan lanjut dijalankan pihaknya.