Apa Agaknya Yang Membuatkan Sampai 50,000 Bakal Hilang Pekerjaan Pada Tahun 2017?
Oleh : Khairy Tajudin
1. Menurut laporan akhbar The Sun Daily, pada tahun 2015, seramai 38,499 orang Malaysia telah kehilangan pekerjaan. Pada tahun 2016, jumlah berkurangan kepada 37,699 orang. Angka pada tahun 2017 belum dikenalpasti. Namun, sehingga September 2017, seramai 30,700 orang pekerja diberhentikan.
2. Malaysian Employers Federation (MEF) pula menganggarkan, tahun 2018 keadaannya akan menjadi semakin genting apabila lebih 50,000 orang dijangka kehilangan pekerjaan.
3. Sektor utama yang terancam ialah perkilangan, insurance, perbankan, peruncitan dan pembinaan. Terdapat banyak faktor yang dikenalpasti menjadi punca bagi masalah ini.
4. Situasi yang mencabar ini kelihatannya sangat mengancam generasi muda. Sedangkan orang yang sudah bekerja dan berpengalaman pun dibuang kerja, apatah lagi fresh graduate yang baru berjinak-jinak dengan resume dan temuduga.
5. Antara faktor manusia hilang pekerjaan adalah disebabkan kerjanya itu telah digantikan dengan teknologi. Zaman semakin moden. Tenaga manusia diminimakan. Dahulunya di pam-pam minyak, setiap pam akan ada atendan. Sekarang, banyak stesen dah guna sistem komputer. Jadi, banyak pekerja stesen minyak hilang pekerjaan pada masa itu. Ini cuma satu contoh. Di kilang-kilang sekarang pun telah banyak mesin automasi yang menggantikan buruh.
6. Kemajuan dalam perbankan online juga menyebabkan banyak bank menutup cawangan mereka. Pekerja kaunter semakin dikurangkan kerana pengguna sudah boleh menggunakan perbankan online. Kemajuan dalam Teknologi Maklumat telah mengakibatkan 18,000 pekerja bank diberhentikan (The Sun Daily).
7. Begitu juga dengan kemajuan dalam perniagaan secara online. Pengguna tidak perlu lagi walk in ke premis untuk membeli. Semuanya di hujung jari. Klik, bayar dan tunggu barang sampai. Sektor peruncitan terancam dan perlahan-lahan mereka menutup premis seperti yang berlaku kepada penjual kain di Jalan TAR dan Masjid India Kuala Lumpur.
8. Namun, penerimaan pengguna terhadap kedai atas talian ini membuka peluang pendapatan kepada penjual online lantas memberi nyawa kepada perkhidmatan kurier seperti Poslaju. Jadi, peluang pekerjaan dalam sektor kurier pula kukuh.
9. Bagi orang muda yang mahu bekerja dengan kerajaan, mereka terpaksa menunggu lama kerana umur pencen telah dinaikkan kepada 60 tahun. Nak tunggu staf sedia ada pencen dulu. Itu pun ada ura-ura nak dinaikkan lagi. Maka, berjanggutlah orang muda menunggu nak masuk kerja kerajaan. Sudahlah banyak jabatan kerajaan yang telah diswastakan.
10. Majikan, lebih suka mengambil pekerja asing kerana gaji yang perlu dibayar lebih murah. Dan, mereka ini datang ke negara kita semata-mata untuk bekerja. Mereka tidak ada komitmen lain jika dibandingkan dengan rakyat tempatan. Majikan pula tak perlu carum KWSP. Jika anda di tempat majikan pun, sudah tentu anda akan meletakkan kos sebagai faktor utama. Dan, pastinya anda akan memilih pekerja yang tidak demand gaji tinggi dan mampu membuat kerja dengan cekap. Maka, kedudukan rakyat tempatan terancam kerana terpaksa bersaing dengan pekerja asing.
11. Namun, hendak dikatakan terancam dalam semua sektor pun tidak. Ada sektor yang memerlukan pekerja bermain minyak yang kotor, turun ke loji kumbahan dan kerja-kerja yang berisiko seperti ini kurang diminati oleh orang tempatan. Maka, majikan tak ada cara lain melainkan menggaji orang asing yang sanggup buat kerja-kerja ini.
12. Di samping itu, peningkatan tangga gaji minimum juga menjadi faktor majikan terpaksa mengurangkan pekerja. Majikan membayar gaji yang lebih tinggi kepada seseorang pekerja dan memberinya banyak tugasan sesuai dengan penambahan gajinya. Pada masa yang sama, majikan terpaksa membuang pekerja yang lain. Kita tak boleh nak salahkan majikan kerana kita juga yang minta naik gaji. Gaji kita naik, kawan kita kena buang kerja.
Kita semua tersepit.
13. Semua punca yang saya senaraikan di atas ini hanyalah sebagai asbab. Hakikatnya, rezeki, jodoh dan ajal semuanya telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sebagai orang Islam, kita hendaklah yakin bahawa cara yang paling tepat untuk selesaikan masalah dunia dan akhirat kita adalah dengan perantaraan iman dan amal. Kemudian, kita betulkan semula muamalat dan muasyarat kita. Seterusnya, kita hiasi pula dengan akhlak yang baik. Jika muamalat kita betul, orang Islam akan pegang ekonomi. Jika muasyarat kita betul, orang Islam akan pegang pemerintahan. Insya-Allah.
Khairy Tajudin,
"Kejayaan manusia dalam agama. Sejauh mana dapat taat perintah Allah ikut sunnah Rasulullah SAW."
"Kejayaan manusia dalam agama. Sejauh mana dapat taat perintah Allah ikut sunnah Rasulullah SAW."