t>

Breaking News

Lebih 50,000 Pekerja Hilang Pekerjaan Tahun 2018 - The Sun Daily.

LEBIH 50,000 orang pekerja dijangka akan diberhentikan tahun ini, lapor The Malaysian Insight semalam.

Portal itu memetik laporan akhbar The Sun Daily yang memetik kenyataan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsudin Bardan yang berkata sektor pembuatan akan menjadi sektor utama yang terjejas, diikuti dengan sektor insurans, perbankan dan peruncitan, dan juga sektor pembinaan.

Beliau berkata, pasaran kerja akan berdepan dengan beberapa cabaran, termasuk levi yang dikenakan terhadap majikan kerana menggaji pekerja asing dan Skim Insurans Pekerja (SIP).

"Penambahan hari cuti bersalin dari 60 hari kepada 90 hari, dan juga cuti paterniti juga akan menjadi faktor," kata Shamsudin.

Laporan itu juga menyebut, automasi juga akan terus menjadi satu lagi faktor kehilangan kerja kerana syarikat akan beralih kepada penggunaan robotik dan teknologi maklumat.

"Syarikat multinasional yang terbabit dalam industri intensif buruh juga akan keluar berikutan kos gaji yang lebih tinggi di Malaysia.

"Mereka beralih kepada negara yang mempunyai kos buruh lebih rendah di mana tiada kos sosial yang tinggi," kata Shamsudin dan menambah Kemboja dan Laos merupakan antara negara yang mana gajinya di bawah AS$100 (RM402.59) sebulan berbanding AS$250 di negara ini.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor turut memberitahu The Sun, berdasarkan laporan yang diterimanya daripada Jabatan Buruh, 30,000 hingga 50,000 orang akan diberhentikan tahun ini, membabitkan mereka dari sektor kewangan, pembinaan dan pembuatan.