t>

Breaking News

Kupasan Kes Adik Afini Dari Sudut Perundangan.

Oleh : Mufarwa Farid
Takziah diucapkan kepada keluarga Adik Afini yang meninggal dunia kerana kepalanya terkena bilah traktor mesin rumput itu.
Peristiwa ni memang beri kesan besar kepada ramai pihak.
Pihak pertama, sudah pastilah yang mengendalikan mesin rumput tu. Tak boleh tidak, dia akan didakwa dan akan disaman, melainkan keluarga adik Afini memaafkan dia.
Pihak kedua, pemilik syarikat mesin rumput ini. Nanti akan timbul persoalan, adakah sebelum mesin ini digunakan, ada dilakukan checkup? Adakah mereka ada usaha untok pastikan pekerja-pekerja mereka bekerja ikut SOP?
Pemilik syarikat ini, kalau pun tidak didakwa dan disaman, integriti mereka mesti tercalar teruk. Kemungkinan pelanggan akan takut menggunakan perkhidmatan syarikat mereka lagi.
Pihak ketiga, iaitu pihak sekolah. Akan dipersoal pula bagaimana sekolah boleh membiarkan orang potong rumput memotong rumput di tempat yang ada ramai pelajar di situ?
Akan dipersoalkan lagi, apakah sekolah betul-betul melakukan pencegahan supaya para pelajarnya tidak tercedera sewaktu melakukan latihan atau aktiviti di kawasan sekolah?
Walaupun pihak sekolah dan guru sekolah itu mungkin tak boleh didakwa atau disaman, ia tetap akan menjadi satu sejarah teramat hitam di sekolah itu dan integriti pentadbiran sekolah akan dipersoalkan sehingga kes ini selesai.
Pihak keempat yang terkesan dalam kes ini adalah sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Selepas ini, PPD dan Kementerian Pendidikan akan mengetatkan lagi undang-undang berkaitan aktiviti murid di padang.
Tahun 2016, gempar isu tentang murid yang meninggal dunia sebab terkena kencing tikus ketika laksanakan program di sungai. Kemudian, Kementerian terus wartakan larangan kepada semua sekolah di Malaysia untok melakukan aktiviti berkaitan sungai semenjak kes itu.
Maka, selepas ini akan wujudlah pelbagai larangan untok elakkan kes adik Afini ini berulang kembali.
Berbalik semula ke pihak pertama, iaitu orang yang memesin rumput itu. Apakah dakwaan terbaik untok dikenakan ke atas dia?
Dia takda niat nak membunuh, oleh itu dia takkan dituduh melakukan jenayah di bawah Seksyen 300 dan 301 iaitu membunuh secara sengaja.
Maka, pertuduhan yang sewajarnya dikenakan kepada orang yang kendalikan mesin ini adalah Seksyen 304 iaitu mematikan seseorang tetapi tidak lah sama jumlahnya seperti membunuh,
Atau dia juga boleh didakwa di bawah Seksyen 304A iaitu menyebabkan kematian dengan cuai.
Kesemua Seksyen-Seksyen yang aku sebutkan ini di bawah Kanun Keseksaan atau di dalam bahasa Inggerisnya, Penal Code. Boleh muat turun di Google dan baca sendiri penerangan penuhnya.
Jika dia didakwa di bawah Seksyen 304, maka dia akan berhadapan dengan hukuman penjara 30 tahun dan denda jika dia ada niat nak mematikan, atau 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika dia takda niat.
Jika dia didakwa di bawah Seksyen 304A,maka dia akan berhadapan dengan hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ingat, ini baru tuduhan. Dia belum disabitkan lagi kesalahan. Apa pun yang berlaku, kita ikuti cerita ni dari pihak sana pula.
Semua tuduhan-tuduhan yang aku tulis ini akan didakwa oleh Pendakwa Raya,bukan ibu bapa Afini.
Jadi, ibu bapa Afini boleh ke saman orang yang kendalikan mesin rumput tu?
Pastilah boleh.
Keluarga Afini boleh menuntut bayaran dan ganti rugi terhadap negligence (kecuaian) yang dia lakukan terhadap anak mereka.
Malah, keluarga Afini berhak menyaman syarikat mesin rumput tersebut kerana cuai dalam memastikan keselamatan ketika pekerjanya kendalikan mesin tersebut.
Memang anak mereka tidak boleh kembali walaupun berapa juta pun mak ayah Afini saman. Tetapi kes sebegini perlu diambil tindakan supaya ia menjadi pengajaran kepada si pelaku dan pengajaran terhadap orang lain.
Apa pun, ia satu episod yang amat gelap bagi keluarga, rakan-rakan dan guru-guru Afini.
Moga bertabah, dan sama-sama kita doakan supaya Allahyarhamah Afini Roslan ditempatkan di tempat orang-orang beriman.