t>

Breaking News

Warga Indonesia Mengaku Rakyat Malaysia Ketika Ditahan.

“KAMI rakyat Malaysia, tolong jangan tahan kami.” Itu dakwaan dua warga Indonesia ketika ditahan di sebuah rumah kongsi di Jasin, Melaka dalam Ops Mega, tengah malam tadi.

Bagaimanapun, apabila diminta mengemukakan MyKad, kedua-dua lelaki berusia 39 dan 50 tahun itu memberi pelbagai alasan, malah tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri ketika itu.

Namun, taktik berkenaan gagal mengaburi anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri apabila kedua-duanya ditahan dalam operasi bermula dari jam 12 tengah malam hingga 5 pagi.




Pengarah JIM negeri Mohd Fauzi Abdullah berkata, hasil soal siasat, kedua-duanya mengaku pasport mereka sudah tamat tempoh dan tinggal lebih masa di negara ini.

Katanya, operasi disertai 27 anggota diketuai Timbalan Penolong Pengarah JIM negeri Kasullah Ramli dan mereka memeriksa tiga rumah kongsi di Jasin, selain tapak binaan di Bukit Katil.

"Daripada 104 warga asing diperiksa, dua lelaki warga Indonesia berkenaan ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa di negara ini.

“Kedua-dua warga asing itu kemudiannya dihantar ke Depoh Imigresen Machap Umboo untuk siasatan lanjut,”
katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.


Sumber : Harian Metro