Akauntan Ditipu Sindiket Pinjaman Wang Dari Facebook - Hati-Hati!

Akibat terlalu mudah percaya terhadap iklan pinjaman wang di Facebook, seorang akauntan berputih mata dan menanggung kerugian sebanyak RM132,120 selepas ditipu sindiket menawarkan pinjaman wang yang tidak wujud.

Menurut sumber, kejadian itu bermula pada awal bulan ini apabila mangsa, seorang wanita berusia 30 tahun, melihat iklan pinjaman wang dari Syarikat Gold Finance Group berpejabat di Jerantut, Pahang melalui laman sosial Facebook.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa kemudian berurusan dengan seorang lelaki bernama Mr Miao Sheng dan dia bersetuju membuat pinjaman berjumlah RM17,000.

"Mr Miao beritahu pinjaman akan diluluskan tetapi perlu membuat bayaran pemprosesan bagi mendapatkan wang pinjaman berkenaan.
"Bermula 10 Mac lalu hingga semalam, mangsa melakukan 21 transaksi tunai membabitkan tiga nombor akaun CIMB," katanya.

Beliau berkata, kesemua transaksi ini dilakukan di kawasan Jerantut dengan menggunakan mesin deposit tunai (CDM), mesin teller automatik (ATM) dan pembayaran melalui perbankan dalam talian.

"Jumlah pembayaran yang dibuat mangsa berjumlah RM132,120 dan kali terakhir mangsa berhubung dengan Mr Miao, dia disuruh memasukkan wang berjumlah RM17,860.00.
"Namun mangsa tidak memasukkan wang berkenaan dan berasa telah ditipu oleh individu itu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut," katanya lagi.

Menurut beliau, modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa dengan menawarkan pinjaman wang tidak wujud dan mendorongnya untuk membuat pelbagai bayaran sehingga melibatkan kerugian.

"Siasatan lanjut diteruskan bagi memburu suspek yang terlibat dan saya harap kesedaran daripada masyarakat supaya tidak mudah melakukan pinjaman wang tanpa merujuk ke pihak yang berkenaan,'' ujar beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.


Sumber : Astro Awani

Share this :

Previous
Next Post »