t>

Breaking News

Analisis SPM 2017 - ZF Zamir.

Oleh : ZF Zamir

Setelah kita dengar dan baca kejayaan anak-anak SPM warga Fesbuk ni, rasanya cukup sampai di situ sahaja.

Untuk makluman, daripada 443,833 calon yang mendaftar untuk SPM pada tahun 2017, seramai 415,008 calon menduduki sekurang-kurangnya 6 mata pelajaran teras untuk pertama kali.



Berdasarkan laporan analisis keputusan SPM yang dikeluarkan pada 15 Mac yang lalu, seramai 61,421 calon atau 14.8% tidak layak dianugerahkan sijil.

Ini bermakna negara telah memproduksi seramai 61,421 calon yang gagal 2 subjek wajib lulus iaitu Bahasa Melayu & Sejarah.

Manakala untuk 6 subjek teras pula, jumlah calon gagal seluruh negara adalah seperti berikut;

Seramai 24,600 calon atau 6.6% gagal dalam subjek Bahasa Melayu.

Seramai 52,989 calon atau 14.2% gagal subjek Sejarah.

Seramai 77,928 calon atau 20.9% gagal Bahasa Inggeris.

Seramai 66,484 calon atau 17.9% gagal dalam Matematik.

Seramai 21,614 calon atau 7.9% gagal dalam subjek Sains.


Lebih menyakitkan, seramai 26,536 calon atau 11.8% gagal Pendidikan Islam sebanyak 22,639 calon atau 18.4% gagal Pendidikan Moral.

Memang benar kita tak nafikan, bukan tujuan utama sekolah didirikan untuk mendapatkan skor A dalam akademik. Tapi dalam masa yang sama kita tak boleh berpaling atau menutup mata dari data yang wujud di hadapan kita hari ini.

Apakah yang menyebabkan sehingga 24,600 calon anak-anak kita gagal mencapai kemahiran minima dalam bahasa kebangsaan setelah lebih dari 60 tahun merdeka?

Apakah yang menyebabkan sehingga 52,989 calon anak-anak kita setelah bersekolah lebih dari 12 tahun gagal menguasai pengetahuan minimum dalam bidang Sejarah?

Laporan ini juga mendedahkan dalam bidang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), 34% calon iaitu 150,903 orang menguasai KBAT pada tahap rendah. 39% calon atau 173,094 orang memberi jawapan rendah kualiti dalam Kemahiran Mengaplikasi, 33% calon atau 146,464 orang memberi jawapan kualiti rendah dalam Kemahiran Menganalisis. 31% calon atau 137,588 orang memberi jawapan rendah kualiti dalam Kemahiran Menilai serta 35% calon atau 155,341 orang memberi jawapan rendah kualiti dalam Kemahiran Mencipta.

Dan sebenarnya lebih banyak soalan harus ditanyakan kepada pihak Kementerian Pendidikan kerana mereka mempunyai data yang lebih spesifik iaitu;

i) Siapakah golongan calon yang gagal subjek Bahasa Melayu & Sejarah dari aspek bangsa dan lokasi?;

ii) Adakah wujud korelasi di antara tekanan sosio-ekonomi dengan 61,421 orang calon yang tidak layak dianugerahkan sijil serta;

iii) Apakah masa depan calon yang gagal ini nanti?

P/s - Kredit kepada Syuhada Roslan & Nazeeha Ziarat Khan untuk extraction data & laporan