t>

Breaking News

Lagi Kes Homebirth Berlaku Di Malaysia, Kali Ini Si Ibu Meninggal Dunia.

Oleh : Dr. Suhazeli Abdullah

LAGI KES HOMEBIRTH TIDAK SELAMAT

Selang tidak sampai 4 minggu berlalu kes kematian bayi akibat kelahiran tidak selamat di Kuantan, minggu ini kami dikejutkan lagi dengan dua lagi kes kelahiran tidak selamat di rumah.



Kes pertama kematian seorang ibu tunggal yang bersalin di rumah dan di sambut oleh anaknya berumur belasan tahun. Mujur bayinya selamat dilahirkan walaupun berat melebihi 4 kg. Kemungkinan kematian ibu dalam siasatan pihak berwajib. Kami mengklasifikasikan kelahiran itu sebagai kelahiran tidak selamat kerana di sambut oleh anggota tidak terlatih.

Kes kedua berlaku kepada seorang ibu yang bersalin disambut oleh suami di sebuah premis homestay. Mereka nekad untuk bersalin di tapak sewaan itu tanpa kehadiran anggota terlatih walaupun telah dinasihatkan berkali-kali tidak melakukan demikian. Mujur anak dan ibu selamat walaupun si ibu mengalami luka bersalin dan anak di masukkan ke wad bagi rawatan jangkitan kuman. Si ibu keluar dari hospital sehari selepas itu atas risiko sendiri. Sehingga kini pihak kesihatan tidak dapat memeriksa mereka berdua untuk seliaan post-natal. Tiada kerjasama diberikan sepenuhnya. Maklumat kelahiran itu kami perolehi dari facebook page rahsia yang dipercayai dibina oleh sekumpulan doula Malaysia. Kes ini juga diklasifikasikan sebagai kelahiran di rumah yang tidak selamat kerana si ibu mempunyai sejarah dua kali pembedahan bersalin dan disambut oleh suami. Lebih menyedihkan lagi teknik pengurusan uri secara lotus diamalkan.




Buat ke sekian kalinya kami tegaskan bahawa definisi kelahiran selamat itu adalah proses kelahiran yang ditangani oleh ahli yang mahir dan ditempat yang kondusif. Ini kerana kita meminimumkan komplikasi-komplikasi kelahiran yang boleh membahayakan seperti perdarahan, lekat uri, koyak pangkal rahim dan sebagainya. Kita tidak mahu terjadinya kes kematian seperti beberapa kes yang berlaku akhir-akhir ini. Kononnya mereka ingin mengikut perkembangan zaman di negara maju yang sudah lama mengamalkan kelahiran sedemikian. Tetapi tangan-tangan yang mengendali kelahiran di rumah tersebut tidak pula mahu memikul tanggungjawab sepenuhnya.

Jika hanya sekadar suami, waris mahupun peneman yang menggelarkan diri mereka sebagai doula, ianya juga tidak selamat. Kemahiran serta pengalaman yang sedikit hasil dari cuba jaya yang mereka perolehi itu tidak menjadi ukuran bahawa ianya selamat. Hatta jika mereka pandai berteori hasil telaah 10 buah kitab sekalipun atau nonton YouTube 20 jam sehari, mereka tidak lagi digelar mahir. Sekadar peneman dan pemberi semangat sahaja cukup. Nokhtah.

#SayNoToUnSafeBirth