t>

Breaking News

CEO Cradle Dibunuh Guna Anak Panah Rupanya Bukannya Sebab Telefon Terbakar Ketika Dicaj.

POLIS menemui anak panah yang dipercayai digunakan untuk membunuh Pengarah Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan di dalam sebuah beg set pemanah di rumah suspek, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu.

Arwah - Nazrin Hassan.
“Senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh sudah ditemui, jadi tidak ada lagi keperluan untuk menahan remaja-remaja tersebut,” kata Hakim Indera Ab. Karim Ab. Rahman ketika mengarahkan pembebasan dua anak tiri Nazrin.

Anak tiri Nazrin, masing-masing berusia 14 dan 15 tahun, sebelum ini direman selama seminggu dan dibebaskan hari ini setelah empat hari ditahan lokap.

Ketika membebaskan remaja terbabit, hakim berkata tiada justifikasi untuk menahan mereka lebih lama.

“Tiada keterangan baharu diambil, anak panah sudah ditemui dan semua maklumat asas untuk siasatan sudah ditemui.

“Jadi saya meminda perintah reman yang diberikan majistret Petaling Jaya dan remaja terbabit mesti dibebaskan hari ini,”
kata Ab Karim.

Peguam bela remaja terbabit, Hisyam Teh Poh Teik berkata beliau gembira dengan keputusan hakim dan menambah Seksyen 17 Kanun Prosedur Jenayah bukan tiket untuk menahan sesiapa.

The Malaysian Insight kemudian difahamkan, polis menemui anak panah di dalam beg memanah milik suspek berusia 14 tahun itu. Anak panah berkenaan dipercayai merupakan senjata pembunuhan, menurut sumber polis.

Sebelum ini, Nazrin dilaporkan mempunyai kesan kecederaan di bahagian leher, dipercayai berpunca daripada anak panah. Seorang daripada suspek dikatakan merupakan pemanah sekolah.

Nazrin ditemui mati terbakar dalam bilik tidur di sebuah rumah teres dua tingkat di Mutiara Damansara pada 14 Jun, sehari sebelum Hari Raya.

Menurut keluarganya, telefon bimbit mangsa meletup menyebabkan kebakaran. Cradle Fund turut mengeluarkan kenyataan mengatakan CEOnya meninggal dunia akibat kecederaan kerana letupan telefon bimbit yang dicas bersebelahan katilnya.

Bagaimanapun, polis Selangor mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas pasukan penyiasat menemui kesan petrol di bilik berkenaan.

Nazrin memiliki Bacelor Undang-Undang dari University of Buckingham di United Kingdom pada 1994. Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa eksekutif Majlis Eksekutif United Kingdom untuk Pelajar Malaysia.

Balunya berusia 43 tahun, yang turut ditahan reman, merupakan eksekutif kanan di Malaysian Intellectual Property Corporation.

Tempoh remannya berakhir khamis.


Sumber : The Malaysian Insight