t>

Breaking News

Luahan Sayu Kakitangan Perubatan Yang Menulis Tentang Fakta Kesihatan Di Sosmed..

Oleh : Mohd Syamirulah Rahim
 

Saya ingat selepas ini, perkongsian kesihatan saya adalah terhad kepada friends saya sahaja. Seperti asalnya masa saya mula-mula menggunakan Facebook.

Mana-mana yang berminat nak baca penulisan public saya, boleh baca melalui Majalah iSihat, atau melalui artikel-artikel yang diterbitkan di page Medical Mythbusters Malaysia sendiri, atau dari sumber-sumber lain.

Apa boleh buat, menulis di Facebook ini bukannya tugas hakiki pun. Bukannya dibayar gaji lebih. Bukannya ditaja, bukannya copywriting. Saya pun bukannya jual apa-apa produk, bukannya perlukan apa-apa marketing.

Sebaliknya menulis di Facebook, silap haribulan dituduh tutup periuk nasi orang, diviralkan dan dikecam. Tiada faedahnya. Ada rakan saya yang mendapat teguran SISPAA. Ada yang dapat surat saman pun.

Bila kami aktif menulis, kami dikatakan "banyak betul masa free doktor". Kami dikatakan "berlagak pandai". Kami dikatakan "tak hormat petua orang tua." Kami dikatakan "tak pandai berlapang dada." Bila kami bagi hujah kajian, link, dibalas dengan hujah cerita dari KRT.

Kami buat kerja ni percuma saja. Pun kena tadah telinga merah muka membaca makian dan cercaan.

Is it worth it?

Saya menulis di Facebook, lama sebelum saya mempunyai lebih 50,000 followers ini. Di peringkat awal, perkongsian saya adalah lebih kepada perkongsian pengalaman untuk rakan-rakan terdekat.

Tidak terdetik untuk bergiat serius dalam health education, menulis untuk memandaikan masyarakat. Bagi saya, kalau ada manfaat yang masyarakat boleh dapat, alhamdulillah. Kalau nak kongsi, kongsikanlah.

Saya tidak menulis kerana nama, juga tidak menulis untuk mengumpul follower. Jumlah 50,000 follower saya tu pun adalah sejak saya gunakan FB sejak lebih 6-7 tahun. Saya tahu ada rakan saya yang serius menggunakan FB untuk tujuan health education, sekejap saja mengumpul lebih 100,000 follower dalam tempoh setahun dua.

Hanya pada 2016, saya bersama beberapa rakan ketika itu menubuhkan Medical Mythbusters Malaysia (M3). Concern kami ketika itu mudah - ada ramai orang menulis macam-macam di FB, justeru masyarakat susah nak bezakan mana tulisan doktor, mana tulisan manusia entah siapa yang berkongsikan ilmu yang tidak sahih. Justeru itu datangnya M3. Di M3, semua penulisnya telus dan kami tidak berselindung disebalik fake account. Semua artikel yang diterbitkan di M3, adalah turut tertakluk kepada semakan dan check and balance sesama ahli M3 yang turut terdiri daripada pakar-pakar.

Harapannya adalah supaya masyarakat dapat dipermudahkan untuk mendapatkan maklumat kesihatan yang sahih. M3 bukan diwujudkan untuk cari gaduh, untuk kutuk-kutuk. Kami memberi maklumat as it is, atas tujuan nak masyarakat pandai.

Namun tentulah,

Disebalik penggerak-penggerak media sosial yang asyik berkongsi maklumat kesihatan ini, sama ada saya sendiri, M3, rakan-rakan lain, pasti ada yang tidak suka apa yang kami buat.

Pihak yang tidak suka ini, punca utama mereka tak suka kepada kami adalah mudah sahaja.

Mereka tak suka masyarakat jadi pandai kesihatan. Sebab apa?

Sebab kalau masyarakat pandai bab kesihatan, masyarakat tidak lagi dengar atau percaya tulisan-tulisan yang tidak disertakan bukti.

Kalau masyarakat dah pandai bab kesihatan, masyarakat dah tak beli produk-produk palsu, mengarut, membazir dan pseudosains.

Kalau masyarakat dah pandai bab kesihatan, masyarakat dah tak perlu cari rawatan alternatif dari sana dan sini.

Ada golongan, tak suka kami memandaikan masyarakat. Mereka lebih suka masyarakat kekal bodoh dan bebal. Mereka lebih suka masyarakat tak percaya doktor, kutuk doktor, benci hospital, tak perlu jumpa doktor, semua benda rawat sendiri sahaja.

Bagi saya secara peribadi, saya tidaklah kisah pun. Kerana seperti yang saya sebutkan, health education (memandaikan masyarakat) itu bukan tujuan utama saya berkongsikan penulisan-penulisan mengenai kesihatan.

Sesungguhnya, tanggungjawab menjaga kesihatan adalah first and foremost terletak pada bahu sendiri masing-masing.

Bukan kerja doktor nak tulis pasal bahaya produk itu ini, pasal penyakit itu ini. Maklumat semua dah ada di internet, bercampur aduk antara yang betul dan palsu. Semua orang boleh menulis apa sahaja mengenai kesihatan, petua itu ini, tips itu ini. Tanpa mengira latar belakang apa sekalipun.

Pandai-pandailah kalian membezakan mana yang betul, mana yang salah.

Hakikatnya, kalau anda sendiri yakin anda telah mengamalkan gaya hidup sihat, yakin anda pandai jaga kesihatan sendiri, inshaAllah anda tak perlukan kami para doktor dan ahli kesihatan pun.

Kalau ada yang terpengaruh dengan pihak yang berkepentingan, beli produk itu ini, terpengaruh dengan petua yang entah apa-apa, tips mengarut dsb, nasib lah. Nanti datanglah ke hospital dan klinik, kami doktor-doktor akan tetap rawat anda juga dengan hati terbuka. InshaAllah, di situ tanggungjawab kami dah tertunai dan kami tidak lagi akan dipersoalkan di akhirat kelak.