t>

Breaking News

Mulai December 2018, Semua Jenis Restoran Terbuka Termasuk Mamak Menjadi Tempat Larangan Merokok, Syabas KKM!

Mulai Disember tahun ini, semua restoran terbuka akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, pihaknya masih dalam peringkat perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan berhubung cadangan berkenaan.

Katanya, langkah ini merupakan inisiatif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.


“Pewartaan ini adalah komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau dan mematuhi panduan di bawah Artikel 8, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ia juga merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk melindungi orang awam dari bahaya asap rokok.

“Saya memohon sokongan anda semua. Jika peraturan ini tidak dipatuhi, boleh dikenakan denda RM10,000 dan penjara tidak lebih dua tahun,”
katanya sewaktu menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Kesihatan dalam sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Tambah Boon Chye, selain restoran terbuka, pihaknya turut mencadangkan bilik merokok di Parlimen ditutup mulai Oktober ini bagi menjadikan keseluruhan kawasan berkenaan sebagai bebas merokok.


Respon netizens



Dalam perkembangan berkaitan, rata-rata netizens menyatakan sokongan langkah terbaru yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan itu.

Bagaimanapun sebahagian dari mereka bersikap skeptikal apakah langkah terbaru itu benar-benar akan dikuatkuasakan sehingga menakutkan perokok tegar yang seringkali merokok di kawasan terbuka tanpa memikirkan perasaan orang disekitarnya.





Amin misalnya mencadangkan pemasangan CCTV manakala Nazri berharap perokok engkar akan dikenakan tindakan. Ini kerana katanya, terdapat sesetengah perokok engkar yang akan memaki hamun apabila ditegur pelanggan lain.

Menurut Jamal pula, tindakan terbaru KKM ini perlu komited dengan melakukan pemantauan.

Farid pula berpendapat kerajaan perlu kuatkuasa undang-undang menyediakan kawasan perokok agar perokok engkar mematuhi peraturan dengan tidak merokok di kawasan awam. - SoZPress.

Sumber berita : Utusan Online