t>

Breaking News

Sebat Pesalah Lesbian, Ia Memalukan Islam Dan Negara Kata Farouk Musa.

Oleh : Free Malaysia Today

Aktivis Islam terkenal menganggap hari ini adalah “hari gelap” bagi perjuangan hak asasi manusia apabila sepasang kekasih lesbian dikenakan hukuman sebat di Terengganu selepas mereka mengaku bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis.

Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa berkata tindakan itu jelas tidak berperikemanusiaan dan ia satu bentuk penghinaan.

“Pada masa Malaysia ingin dikenali sebagai sebuah kerajaan moden, sivil, dan sederhana, episod hari ini memberi gambaran hitam kepada negara kita.

“Walaupun hukuman sebat hari ini berlaku di negeri yang tidak ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan, undang-undang menjatuhkan maruah ini tidak sepatutnya dibenarkan di negara ini,”
katanya kepada FMT, merujuk kerajaan PAS yang mentadbir Terengganu.

Hari ini, kira-kira 100 orang khalayak umum menyaksikan sepasang kekasih lesbian masing-masing berumur 22 dan 32 tahun dihukum sebat di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

Hukuman sebat di khalayak umum itu adalah pertama kali dilakukan di negeri ini yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia di dalam Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.

Kedua-dua wanita itu ditangkap semasa cuba melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, pada 1.50 tengah hari 8 April lepas.

Mereka dijatuhi hukuman denda sebanyak RM3,300 setiap seorang dan 6 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Bagaimanapun Hakim Syarie Kamarulazmi Ismail menegaskan hukuman itu adalah berbentuk pengajaran, peringatan serta pencegahan kepada pesalah itu sendiri dan masyarakat supaya tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

“Sebatan dalam syariah bukan untuk mencederakan, menyeksa, dan mengazabkan pesalah. Mudah-mudahan hukuman ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada seluruh umat Islam dan memberi gambaran bagaimana hukuman syariah itu adalah satu hukuman yang berbentuk mendidik dan bukan untuk menyeksa,” katanya.

Mengulas lanjut, Farouk berkata, hukuman sebat itu melanggar Perkara 5 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang menyatakan : “Tiada sesiapa pun boleh dikenakan seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan”.

“Saya ulangi, tiada siapa yang patut dikenakan hukuman yang tidak menjaga aib seperti yang berlaku di Terengganu hari ini, yang jelas menentang hak asasi manusia pada abad ini.

“Sepatutnya kita perlu berasa malu pada diri sendiri kerana mengaibkan 2 wanita ini dengan memudaratkan dan memberi trauma kepada mereka.”
 


Beliau mengutuk keras tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan kerana ia hanya akan memalukan umat Islam dan seluruh negara.