t>

Breaking News

Semua Pulau Peranginan Di Terengganu Tutup Mulai Awal Oktober Untuk Elak Insiden Buruk.

Pulau peranginan di negeri ini dijangka akan ditutup awal bulan depan sebagai persiapan menghadapi cuaca tidak menentu.




Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman berkata, kesemua resort dan chalet akan mula menutup operasi bagi mengelak sebarang insiden buruk menjelang musim tengkujuh.

Menurutnya, langkah itu bagi menjamin keselamatan pengunjung termasuk pelancong dari luar negara.

"Kita telah berbincang dengan pengusaha-pengusaha di pulau, memang mereka mahu adakan pelbagai program terutama pada hujung tahun, namun, faktor keselamatan lebih diutamakan.

"Jadi, kita harap para pelancong juga peka dengan keadaan cuaca ketika ini sekiranya merancang untuk ke pulau-pulau peranginan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Taklimat Program Pelancongan Masjid Terengganu.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Malaysia Wilayah Timur, Zaliha Zainuddin dan Pengerusi Darul Fitrah Terengganu, Datin Norhana Ng Abdullah.

Ariffin berkata, beliau menyarankan pengusaha chalet dan resort supaya melakukan proses penyelenggaraan sepanjang penutupan operasi.

"Kita harap mereka menggunakan waktu yang ada untuk menaiktaraf penginapan bagi memberi lebih keselesaan kepada pengunjung.

"Kita juga akan berusaha menyelesaikan beberapa isu seperti masalah muara cetek yang telah menimbulkan pelbagai masalah kepada banyak pihak,"
katanya.


Sumber : Sinar Harian