t>

Breaking News

Kanak-Kanak Stateless (Tiada Warganegara) Kini Dibenarkan Bersekolah Kerajaan.

NEGARA tanpa kewarganegaraan di negara ini kini boleh mendaftar di sekolah kerajaan bermula tahun depan dengan hanya mengemukakan sijil kelahiran, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Gambar - Google
Katanya, kanak-kanak tanpa dokumen masih boleh mendaftar tetapi mereka diberikan tempoh dua tahun untuk mengemukakan dokumen diperlukan.

“Selain sijil kelahiran, kanak-kanak ini boleh menghantar dokumen seperti sijil pengambilan anak angkat jika mereka dijadikan anak angkat atau mana-mana perintah mahkamah,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis pelancaran “Gate of Alumni” SMJK Kuching High hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Teo berkata sekolah adalah tempat terbaik untuk kanak-kanak.

Katanya, difahamkan terdapat kira-kira 300,000 kanak-kanak tanpa kewarganegaraan berumur bawah 18 tahun di negara ini, berdasarkan angka diberikan oleh menteri dalam negeri pada 2016, Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebelum ini, agak sukar mendaftarkan mereka ke sekolah kerajaan tetapi dalam satu mesyuarat minggu lalu, kami memutuskan untuk memudahkan proses itu.

“Jika mereka ada sijil kelahiran, sijil pengambilan anak angkat, perintah mahkamah atau salah seorang ibu bapa ialah rakyat Malaysia, mereka akan dapat mendaftar di sekolah.


“Mana-mana salah satu dokumen itu sudah mencukupi,” katanya.

Teo berkata dasar baharu itu juga terpakai untuk mereka yang mahu meneruskan persekolahan ke sekolah menengah.

“Kami akan benarkan mereka menduduki peperiksaan awam, PT3, SPM dan STPM juga.”

Angka dikeluarkan pada 2016 oleh pasukan petugas khas ditubuhkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 2,000 kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sarawak, kebanyakannya di kawasan pedalaman di mana mereka berdepan masalah mendapatkan sijil kelahiran, atau MyKad.

Kebanyakan masalah untuk kanak-kanak ini diklasifikasikan sebagai tiada kewarganegaraan kerana dilahirkan daripada perkahwinan tidak berdaftar, tidak dapat mengesan ibu bapa mereka, ibu tiada dokumen dan kesukaran penduduk luar bandar ke pejabat JPN terdepan untuk mendaftarkan kelahiran.


Sumber : The Malaysian Insight